Monday, November 15, 2010

JAGA-JAGA, JANGAN BUAT DOSA SEMASA MELAKUKAN IBADAT QURBAN

Assalamu'alaikum warahmatuLLAH.

Beberapa hari lagi kita akan menjalankan perintah ALlah walaupun hanya hanya sunat muakkad kepada yang berkemampuan iaitu melaksanakan Ibadat Qurban. Berkemampuan dalam ertikata ada lebihan kewangan untuk belanja atau nafqah anak isteri pada hari Raya Haji 10 zulhijjah dan hari-hari tasyriq 11, 12 dan 13 zulhijjah. Buatlah Ibadat Qurban, jangan tak buat, jangan kedekut.

Ada beberapa perkara-perkara yang perlu kita jaga ketika melakukan Ibadat Qurban khususnya yang membawa kepada berlakunya dosa dan maksiat.

Pertama:
Jagalah niat hati supaya sentiasa ikhlas semata-mata kerana ALlah. Jangan menunjuk-nunjuk, sombong dan sebagainya. Bukan kerana malu pada jiran dan kawan kalau tak melakukan Ibadat Qurban. Apatah lagi orang yang ada kedudukan dalam msyarakat seperti YB, Imam, Ustaz dan lainnya.

Nabi saw mengingatkan bila melakukan qurban hendaklah ikhlas.....
فَطِيبُوا بِهَا نَفْساً
(Oleh itu, ikhlaskanlah hati kamu ketika berqurban itu”. )

Kedua
:
Jangan mengambil upah daripada Daging Qurban samada oleh mereka yang menguruskan atau membuat kerja-kerja bersangkutan seperti melapah, menyembelih dan lainnya.

Begitu juga, tidak harus menjadikan kulit, bulu dan sebagainya sebagai upah kepada tukang sembelih. Upah hendaklah datang dari sumber lain, bukan dari binatang korban. Diriwayatkan daripada Saidina Ali(k.w) yang menceritakan;


أَمَرَنِي رَسُولُ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ- أَنْ أَقُومَ عَلَىَ بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لاَ أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا. قَالَ: "نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا". “Rasulullah s.a.w. memerintahku supaya menguruskan (pengembelihan) unta baginda dan mensedekahkan daging, kulit serta kain/pakaian yang diletakkan di atas belakang unta itu (kepada orang miskin). Dan baginda juga memerintahkan supaya aku tidak memberi kepada tukang sembelih dari unta itu. Kata ‘Ali; kami memberi (upah) kepadanya dari harta yang ada pada kami”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Ketiga :

Jangan menjual Daging Qurban.

Tidak harus orang yang melakukan korban menjual apapun dari binatang korban sama ada daging, kulit, tanduk, bulu, lemak atau sebagainya. Begitu juga, tidak harus menyewanya kerana sewaan termasuk dalam pengertian menjual (yakni menjual manfaat). Ketidakharusan menjual dan menyewa ini merangkumi korban wajib dan juga korban sunat. Sabda Nabi(s.a.w);

من باع جلد أضحيته فلا أضحية له
“Sesiapa menjual kulit binatang korbannya, maka tiada (pahala) korban baginya”. (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)

Keempat :

Jangan lupa mensedekahkan walaupun sedikit Daging Qurban kepada orang miskin atau faqir walaupun sedikit.

Mensedekahkan daging korban kepada faqir atau miskin dari kalangan muslimin adalah wajib sekalipun sedikit iaitu dengan kadar paling minima yang dapat dinamakan sedekah. Dan disyaratkan daging yang disedekahkan itu hendaklah dalam keadaan mentah dimana orang faqir dan miskin yang memperolehinya dapat menggunakannya mengikut kehendaknya sama ada menjualnya, memakannya atau sebagainya.

Semoga kita mendapat keberkatan dengan menjalankan Ibadah Qurban pada tahun ini. tk

No comments:

Post a Comment