Lidah memang tak bertulang, tak bertulang bukan beerti lemah. Tangan dan kaki kuat kerana ada tulang. Lidah lagi kuat walaupun tanpa tulang kerana kata-kata yang disusun atur oleh lidah boleh menghancur-musnahkan negara, masyarakat, jama'ah dan keluarga bahkan memusnahkan diri sendiri.
Ketahuilah bahawa bahaya lisan (lidah) itu besar sekali, dan manusia tidak akan selamat daripada bahaya ini, melainkan dengan bertutur kata yang baik saja.
Nabi s.a.w. telah bersabda:
“Tidak akan lurus keimanan seorang hamba, sehingga lurus pula hatinya, dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus pula lidahnya. Dan seorang hamba tidak akan memasuki syurga, selagi tetangganya belum aman dari kejahatannya.”
Berkata Mu’az bin Jabal kepada Rasulullah s.a.w.: Apakah kita akan dihisab juga atas apa yang kita katakan, wahai Rasulullah? Rasulullah menjawab: Wahai Mu’az! Tidakkah engkau ketahui bahwa manusia itu akan ditelengkupkan menerusi hidung-hidung mereka disebabkan hasil tuaian lidah-lidah mereka.
Ibu Mas’ud (Abdullah bin Mas’ud) r.a. pernah berkata: Wahai lidah! Sebutkanlah yang baik-baik, niscaya engkau akan dapat faedah. Dan berdiamlah dari berkata buruk, niscaya engkau terselamat sebelum engkau menyesal.
Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Barangsiapa yang memelihara lidahnya, Allah akan menutup kecelaannya. Barangsiapa yang menahan kemarahannya, Allah akan melindunginya dari siksaNya. Dan barangsiapa yang menyatakan keuzurannya kepada Allah, Allah akan menerima uzurnya”.
Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Barangsiapa beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka berkatalah yang baik ataupun berdiam saja”
Sabdanya lagi:
“Jagalah lidahmu kecuali bila berkata yang baik. Dengan berlaku demikian engkau akan mengalahkan syaitan.”
Bak dendangan kumpulan In-Team dalam nasyidnya:
"Kata ibarat pedang yang tajamnya bisa membunuh lawan
Kata-kata yang berhikmah menyedarkan kita
Kata madah pujangga bisa menjadi pedoman manusia
Jagalah bahasa kata kita jangan disalah guna..."
Justeru, suka untuk saya mengajak dan mengingatkan diri saya serta sahabat-sahabat semua untuk kita lebih telus dan berhati-hati dalam berkata-kata. Berkatalah benar walaupun ianya pahit.
Sekian, terima kasih.
MInta izin copy ye ustaz sbg perkongsian bersama2 sahabat2 ana yang lain... Syukran ustaz..
ReplyDelete