18. Apa makna nisab?
Nisab bermakna kadar minima yang ditetapkan Syarak untuk mewajibkan zakat. Ia bermakna jika pemilik harta memiliki harta menyamai atau melebihi kadar tersebut wajiblah zakat ke atasnya dan jika tidak tidaklah wajib zakat.
Adakah semua jenis harta ditetapkan nisab yang sama?
Tidak. Harta-harta ditetapkan kategori-kategori nisabnya yang akan kita terangkan nanti.
Bagaimana dengan hitungan nisab bagi harta perkongsian?
Harta milik bersama atau perkongsian hukumnya sama seperti harta individu. Apabila harta milik bersama mencukupi nisab, maka wajib dikeluarkan zakat darinya sekalipun jika diagihkan, pemilikan setiap ahli yang berkongsi kurang dari nisab. Hukum ini sama bagi semua jenis harta yang wajib dizakati.
[16]Bilakah tempoh hitungan nisab?
Nisab hanya dikira pada awal haul dan akhirnya, tidak dikira di tengah-tengahnya.[17] Jadi, apabila seseorang memiliki harta yang mencukupi nisab pada awal syawal –sebagai contohnya-, maka tarikh itu dikira sebagai permulaan haul bagi hartanya itu. Kemudian, apabila tiba awal syawal tahun berikutnya, hendaklah dilihat; jika hartanya itu masih mencukupi nisab atau lebih dari nisab, maka wajiblah ia mengeluarkan zakat (tanpa perlu mengambil kira keadaan harta di tengah-tengah haul sama ada cukup nisab atau tidak). Jika tidak mencukupi nisab di akhir haul itu, tidak wajib ia mengeluarkan zakat.[18]
Adakah nisab dikira selepas ditolak keperluan asasi atau selepasnya?
Selepas ditolak keperluan asasi. Harta yang wajib dizakati ialah setelah ditolak kos keperluan hidup yang asas merangkumi diri sendiri dan orang-orang yang berada di bawah tanggungan nafkah (isteri, anak-anak dan keluarga). Orang yang mempunyai lebihan harta setelah ditolak keperluan-keperluan asas dianggap kaya dan ia berkewajipan membantu mereka yang miskin atau memerlukan.
Apa maksud keperluan asasi?
Maksud keperluan asasi ialah apa-apa yang diperlukan untuk menjamin kelangsungan hidup sama ada secara realiti seperti makan-minum, pakaian dan tempat tinggal atau secara andaian seperti hutang (kerana yang berhutang perlu membayar hutangnya untuk mengelak dari dikenakan tindakan ke atasnya), alat-alat pekerjaan, kemudahan-kemudahan asas rumah, kenderaan, belanja menuntut ilmu dan sebagainya.
Apakah item-item keperluan asasi hari ini?
Menurut Mujaini Tarimin dalam bukunya “Zakat Menuju Pengurusan Pfofesional”; “Pada masa ini, item-item keperluan asas yang layak diberi pertimbangan pelepasan zakat ialah;[19]
a) Makanan, pakaian, tempat tinggal, pengangkutan, perubatan dan pendidikan.
b) Membayar hutang segera
c) Modal kekal bagi golongan profesional
d) Buku rujukan pembelajaran
e) Perhiasan diri wanita dan kelengkapan tempat tinggal
f) Barang-barang stok keperluan asas selain dari mata wang.
Adakah keperluan sampingan juga boleh ditolak?
Tidak. Hanya keperluan-keperluan asasi yang ditolak semasa menghitung nisab. Adapun keperluan-keperluan sampingan, tidak boleh ditolak.Apa makna bebas dari hutang?Maknanya; harta yang diwajibkan zakat ialah harta yang pemiliknya tidak dibelenggu oleh hutang yang perlu dibayar segera dan jumlah hutangnya itu merangkumi kebanyakan atau keseluruhan hartanya. Maka dalam hal ini, hendaklah ditolak dahulu hutang segera itu, kemudian jika ada baki barulah dikeluarkan zakat. Itu pun jika jumlah baki itu sampai nisab yang ditetapkan.Adapun jika sekiranya hutang itu tidak perlu segera dibayar –seperti tempoh bayar belum sampai atau bayaran dikenakan secara ansuran- maka zakat hendaklah dikeluarkan kerana zakat apabila cukup tempoh atau haulnya, wajib segera dibayar. Adapun hutang itu belum sampai tempohnya.[20]
Apa maksud “hutang yang perlu dibayar segera” dalam ungkapan di atas?
Iaitu hutang yang perlu segera dibayar pada tahun wajib zakat, bukan keseluruhan yang ditanggung kerana yang diambil kira ialah milik dan tanggungan pada tahun itu. [21]
19. Apa makna cukup haul?
Iaitu berlalu tempoh setahun (12 bulan) harta dimiliki. Maksudnya, apabila genap setahun harta dimiliki, barulah diwajibkan zakat. Perkiraan haul dalam hukum Syarak hendaklah dibuat berdasarkan tarikh hijrah, bukan masihi.[22]
Adakah semua harta disyaratkan haul?
Tidak. Bukan semua jenis harta disyaratkan haul untuk diwajibkan zakat.
Oleh demikian, jenis-jenis harta melihat kepada syarat haul ini terbahagi kepada dua;[23]
i) Yang disyaratkan haul; iaitu harta-harta yang bersifat modal, iaitu;
a) Binatang ternakan
b) Wang
c) Barang dagangan
ii) Yang tidak wajib haul; iaitu harta-harta yang bersifat pendapatan, iaitu;
a) Tanaman dan buah-buahan
b) Madu
c) Hasil galian
d) Harta karun
e) Al-Mal al-Mustafad (mengikut sebahagian ulama’ dan ditarjih oleh Qaradawi)
Harta dari kumpulan pertama hendaklah dihitung haul (atau tempoh tahunannya), barulah dikeluarkan zakat.
Adapun harta dari kumpulan kedua, tidak perlu di hitung haul, akan tetapi dikeluarkan sebaik sahaja menerimanya.
Zakat padi sebagai contoh; ia dikeluarkan sebaik sahaja padi dituai dan tidak perlu menunggu cukup tempoh setahun.
20. Apa makna harta mustafad?
Al-Mal al-Mustafad ialah harta perolehan baru iaitu harta yang dimiliki oleh tuannya dengan pemilikan baru melalui jalan pemilikan yang diizinkan Syarak.[24]
Apa kedudukan harta mustafad dari segi kewajipan mengeluarkan zakat?
Kedudukan al-Mal al-Mustafad adalah seperti berikut;[25]
1. Harta perolehan baru (mustafad) jika dari jenis harta yang tidak disyaratkan haul seperti hasil pertanian, madu, harta karun dan galian, maka zakat ke atasnya wajib dikeluarkan ketika memperolehi harta tersebut. Hal ini tidak menjadi perbahasan di kalangan ulamak kerana ia telah disepakati (ijmak).
2. Adapun harta perolehan baru dari jenis yang disyaratkan haul seperti mata wang, barang-barang perniagaan dan ternakan, maka bagi kategori ini ada perincian.
Imam Ibnu Qudamah membahaginya kepada tiga kategori;
a) Jika harta yang baru diperolehi seseorang itu merupakan hasil dari harta sedia ada padanya seperti untung dari harta perniagaannya atau anak-anak yang lahir dari haiwan ternakannya, maka harta perolehan baru itu wajib digabungkan kepada harta sedia ada padanya dan dikeluarkan zakat bersama-samanya. Jadi, haul bagi harta perolehan baru itu dikira bersekali dengan haul harta sedia ada kerana ia terbit darinya dan dari jenis yang sama. Hukum ini tidak ada khilaf di kalangan ulamak.
b) Jika harta yang diperolehi bukan dari jenis harta yang sedia ada. Contohnya; seseorang mempunyai binatang ternakan dari jenis unta, kemudian ia memperolehi harta baru berupa lembu. Atau; ia mempunyai harta berupa kambing ternakan, kemudian memperolehi harta baru berupa wang. Dalam hal ini, harta perolehan baru itu tidak perlu dicampurkan kepada hartanya yang sedia ada, akan tetapi hendaklah dijadikan harta yang bersendirian di mana jika kadarnya mencukupi nisab, maka hendaklah ditunggu hingga cukup haul, kemudian baru dizakati jika mencukupi nisab (di akhir haul itu). Jika kadarnya tidak mencukupi nisab (ketika diperolehi), tidak perlu ia menunggu haul kecuali apabila harta itu bertambah selepas itu dan mencukupi nisab (maka hendaklah dihitung haul bermula dari ia mencukupi nisab). Itu adalah pandangan jumhur ulamak.
Terdapat pandangan lain yang diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas dan Mu’awiyah di mana mereka berpendapat; Harta perolehan baru itu (al-Mal al-Mustafad) wajib dizakati ketika menerimanya (yakni tidak perlu menunggu genapnya haul).
Terdapat riwayat menceritakan; “Ibnu Mas’ud memberi kepada kami al-‘Ata (pemberian) kemudian ia mengambil zakat ke atasnya”. Imam al-Auza’ie berkata terhadap orang yang menjual hambanya dan rumahnya; “Hendaklah ia membayar zakat terhadap harga (bayaran) yang diperolehinya sebaik saja bayaran itu berada di tangannya kecuali baginya bulan yang diketahui (akan sampai haul bagi harta yang sedia ada padanya), maka bolehlah ia menangguhkan pengeluaran zakat ke atas harta perolehan baru itu untuk disekalikan pengeluaran zakat bersama hartanya yang sedia ada. Pandangan inilah yang ditarjihkan oleh Syeikh al-Qaradhawi.[26]
c) Jika harta yang baru diperolehi adalah dari jenis harta yang sedia ada –tetapi bukan hasil dari harta sedia ada itu- dan harta sedia ada telah berlalu baginya sebahagian haul, adakah perlu dizakati bersama atau secara berasingan? Contohnya; seorang memiliki 40 ekor kambing yang telah berlalu tempoh pemilikan lapan bulan, kemudian ia membeli 100 ekor kambing, maka apabila tiba haul 40 kambing tersebut empat bulan berikutnya, apakah perlu dizakati bersamanya bagi 100 ekor kambing yang baru dibeli? Menurut mazhab Syafi’ie dan Hanbali; zakat hanya wajib ke atas 40 ekor kambing tersebut sahaja, tidak wajib ke atas 100 ekor kambing yang baru dibeli hinggalah sampai haulnya tersendiri bermula dari tarikh ia membelinya. Adapun Imam Abu Hanifah berpandangan; “Kambing 100 ekor yang baru dibeli itu hendaklah digabungkan dengan jumlah kambing yang lama (yakni 40 ekor) dan dikeluarkan zakat kedua-duanya bersama apabila tiba haul bagi kambing yang lama tersebut”.
Nota hujung;
[1] Melihat disudut Makkiyah dan Madaniah, sebanyak lapan kali kalimah az-Zakah itu disebut dalam surah-surah Makkiyah dan selebihnya (iaitu 22 kali) disebut dalam surah-surah Madaniyyah. (Fiqh az-Zakah, 1/58).
[5] Kalimah as-Sadaqah disebut sebanyak 12 kali di dalam al-Quran dan kesemuanya dalam surah-surah Madaniyyah. (Fiqh az-Zakah, 1/58).
[6] Dalam pemahaman masyarakat, zakat ditujukan kepada pemberian harta yang wajib, sementara sedekah pula ditujukan kepada pemberian harta yang sunat. Namun hakikat yang sebenarnya mengikut al-Quran dan as-Sunnah, kedua-dua kalimah tersebut memberi makna yang serupa. Dalam pengertian lain; zakat yang wajib adakalanya di dalam al-Quran dan as-Sunnah diungkap dengan kalimah as-Sadaqah (Sedekah). Kerana itu Imam al-Mawardi menegaskan; “Sedekah adalah zakat dan zakat adalah sedekah. Berbeza dari segi nama, namun maksudnya adalah serupa”. (Fiqh az-Zakah, 1/57).
[9] Berdasarkan takrifan al-Milk oleh al-Kamal ibn al-Humam (lihat; Fiqh az-Zakah, 1/148).
[10] Iaitulah ulamak-ulamak mazhab Hanafi. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie mereka tidak mensyaratkan harta yang dimiliki berada dalam tangan pemiliknya. Memadai harta itu miliknya untuk diwajibkan zakat ke atasnya jika cukup nisab dan syarat-syarat yang lain sekalipun harta tersebut tidak berada dalam tangannya. Kesan khilaf dapat dilihat dalam masalah Mal al-Ghimar (مال الغمار) iaitu harta yang pemiliknya tidak dapat mengambil manfaat darinya kerana tidak berada dalam tangannya –walaupun harta itu secara sah diakui haknya- seperti; hutang yang diengkari dan pemiliknya tidak mempunyai saksi (untuk mensabitkan haknya ke atas orang yang berhutang) sedang tempoh haul telah pun sampai. Dalam hal ini, mazhab Hanafi berpandangan tidak wajib zakat kerana pemilikan tidak sempurna disebabkan harta itu tidak berada dalam tangan pemiliknya. Adapun ulamak-ulamak mazhab Syafi’ie berpandangan ia tetap diwajibkan zakat kerana mereka tidak mensyaratkan hal tersebut bagi pemilikan penuh. (Lihat; Al-Mufassal, Dr. Abdul Karim Zaidan, 1/354).
[11] Orang yang memiliki harta haram wajib membebaskan dirinya dari harta tersebut dengan mengembalikannya kepada pemiliknya jika ia mengetahui pemiliknya, atau kepada ahli-ahli warisnya. Jika ia tidak mengetahui siapa pemilik harta itu atau waris-warisnya, maka hendaklah ia mensedekahkan ke semua harta itu kepada orang-orang fakir. (Fiqh az-Zakah, 1/152)
[13] Kerana ia tergolong halam al-Mal al-Mustafad (Fiqh al-Zakah, jil. 1, hlm. 154-157)
[15] Barang-barang ini disebut sebagai al-Qinyah (القنية) iaitu yang diambil untuk kegunaan sendiri, bukan untuk diniaga atau dilaburkan. (Lihat; al-Misbahul Munir).
[16] Ini adalah pandangan Imam Syafi’ie, Hasan al-Basri dan as-Sya’bi. Adapun di sisi Imam Malik dan Abu Hanifah; setiap ahli perkongsian wajib membayar zakat bagi bahagian masing-masing jika bahagiannya mencukupi nisab. Jika tidak mencukupi nisab, tidak wajib zakat ke atasnya sekalipun jika dicampur dengan bahagian ahli-ahli perkongsian yang lain, jumlah harta itu akan sampai nisab atau lebih dari nisab. (al-Mufassal, 1/356, Fiqh az-Zakah, 1/301).
[17] Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah. Adapun jumhur imam-imam mazhab iaitu Syafi’ie, Maliki dan Ahmad mensyaratkan nisab itu di sepanjang haul barulah diwajibkan zakat. (Fiqh az-Zakah, 1/302).
[20] Inilah pandangan jumhur Ulama’ iaitu orang yang dibelenggu oleh hutang, tidak wajib zakat atasnya kerana ia adalah orang yang memerlukan, sedangkan zakat hanya wajib atas orang kaya (yakni memiliki harta melebihi keperluan utamanya). Walau bagaimanapun pandangan jumhur ini berbeza dengan pandangan ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie iaitu; Hutang tidak menggugurkan kewajipan zakat. Ada juga di kalangan ulamak yang berpandangan; hutang menggugurkan kewajipan zakat dari harta-harta bathin sahaja iaitu emas, perak dan harta perniagaan, tidak dari harta-harta dzahir iaitu pertanian, buah-buahan, ternakan dan logam/galian. Perbezaan antara harta batin dan harta dzahir ialah; harta-harta dzahir subur dengan sendirinya, adapun harta-harta batin tidak subur dengan sendirinya. Pandangan yang rajih ialah pandangan jumhur ulamak tadi yang menyatakan; hutang menggugurkan zakat tanpa membezakan antara harta dzahir dan harta batin.(Lihat; al-Fiqhul Wadhih, jil. 1, hlm. 468, Fiqh az-Zakah, 1/177-178)
[22] Fiqh az-Zakah, 1/181, al-Fiqhul-Wadihi, 1/468. (Satu tahun hijrah berkurangan 11 hari berbanding satu tahun masihi).
[25] Fiqh az-Zakah, 1/184-185, al-Mufassal, 357-358.
Oleh : USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment