Wednesday, September 16, 2009

SOAL JAWAB DAN KUPASAN ZAKAT - Siri 3......menarik untuk dibaca. Baca! Jangan Tak Baca

7. Apa makna zakat?
Perkataan Zakat (الزكاة) dari segi bahasa bermaksud; berkat, tumbuh, suci dan baik.
Dalam pengertian Syarak pula, ia bermaksud; “Kadar tertentu dari harta tertentu yang wajib dikeluarkan kepada orang-orang tertentu, pada masa yang tertentu”.[3]
Dari takrif ini, beberapa kesimpulan dapat kita ambil;
1. Zakat adalah kewajipan Syarak terhadap harta.
2. Kadar yang perlu dikeluarkan telah ditentukan oleh Syarak
3. Harta yang terbabit juga ditentukan ciri-cirinya oleh Syarak.
4. Orang yang berhak menerimanya juga telah ditentukan oleh Syarak (tidak harus diberikan kepada orang lain).
5. Syarak juga menentukan tempoh bagi pengeluaran zakat (bagi jenis harta tertentu, bukan semua jenis).

9. Selain zakat apa kalimah yang lain yang digunakan oleh al-Quran untuk zakat?
Adakalanya zakat diungkap –di dalam al-Quran dan juga as-Sunnah- dengan memakai kalimah as-Shadaqah (sedekah)

10. Ke atas siapa diwajibkan zakat?
Telah disepakati oleh sekelian ulamak bahawa zakat diwajibkan ke atas harta milik orang yang memiliki ciri berikut;
1. Muslim; tidak wajib zakat ke atas harta orang kafir
2. Baligh; tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa orang baligh wajib mengeluarkan zakat dari hartanya jika mencukupi syarat. Adapun harta kanak-kanak yang belum baligh, terdapat khilaf di kalangan ulamak (akan kita jelaskan nanti).
3. Berakal; tidak ada khilaf di kalangan ulamak bahawa orang Islam yang baligh dan berakal wajib mengeluarkan zakat dari hartanya. Adapun harta orang gila atau tidak siuman, terdapat khilaf di kalangan ulamak apakah wajib dikeluarkan zakat darinya atau tidak? (akan kita jelaskan nanti).
4. Merdeka (bukan hamba); hamba tidak wajib mengeluarkan zakat.
5. Memiliki harta dengan kadar tertentu (nisab) dengan pemilikan yang sempurna mengikut syarat-syaratnya.

11. Apa pandangan ulamak tentang harta milik kanak-kanak belum baligh dan orang gila?
Adakah wajib dikeluarkan zakat darinya? Jika wajib, siapa yang bertanggungjawab mengeluarkannya?
Pertama; Jumhur ulamak (yang terdiri dari Imam Malik, Imam Syafi’ie, Ahmad, ‘Ata’, Mujahid, az-Zuhri dan sebagainya) berpendapat; wajib dikeluarkan zakat dari harta mereka. Orang yang bertanggungjawab mengeluarkannya ialah wali atau penjaga mereka.
Kedua; Imam Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya berpendapat; zakat yang wajib dikeluarkan dari harta kanak-kanak dan orang gila itu hanyalah bagi harta pertanian dan buah-buahan sahaja, tidak bagi harta-harta dari jenis yang lain.
Ketiga; Imam Abu Jaafar, as-Sya’bi dan an-Nakha’ie perpandangan; keseluruhan harta kanak-kanak dan orang gila tidak wajib dikeluarkan zakat.Pendapat yang kuat menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi ialah pandangan jumhur.

12. Apa syarat-syarat harta yang dikenakan zakat?
Bukan semua harta dikenakan zakat. Harta yang dikenakan zakat ialah yang memenuhi syarat-syarat berikut;
1. Milik sempurna
2. Harta yang boleh berkembang
3. Cukup nisab
4. Lebihan dari keperluan-keperluan asasi
5. Bebas dari hutang
6. Cukup haul

13. Apa makna milik sempurna?
Iaitu pemilik harta berkuasa ke atas harta yang wajib dizakati itu di mana ia boleh menggunakan harta itu dengan kehendaknya tanpa terikat dengan kebenaran dari orang lain.[9] Ada sebahagian ulamak mensyaratkan juga hendaklah harta yang dimiliki itu berada di dalam tangan pemiliknya, barulah dikatakan milik sempurna dan wajib dizakati.

14. Apa jenis-jenis harta yang dikecualikan dari zakat berdasarkan syarat tersebut?
Berdasarkan syarat “milik sempurna’ itu, dikecuali dari kewajipan zakat harta-harta berikut;
a) Harta yang tidak mempunyai pemilik tertentu seperti harta milik kerajaan dari pungutan cukai, zakat atau sebagainya. Begitu juga, harta milik awam.
b) Harta yang diwakafkan untuk orang ramai seperti untuk fakir-miskin, masjid, para mujahidin, anak-anak yatim, madrasah atau sekolah dan sebagainya.
c) Harta dari sumber yang haram seperti mencuri, merampas, rasuah, penipuan, riba dan sebagainya. Orang yang mempunyai harta haram, ia tidak diiktiraf oleh Syarak sebagai pemilik harta tersebut kerana ia wajib memulangkan harta itu kepada pemiliknya yang sebenar.[11] Oleh demikian, tidak harus ia menggunakan harta tersebut termasuklah untuk mengeluarkan zakat kerana harta itu bukan miliknya.
d) Harta yang dihutangi oleh orang lain.

15. Ada berapa jenis hutang? Dan hutang jenis mana yang wajib dizakati?
Jumhur ulamak membahagikan hutang kepada dua jenis;[12]
i. Hutang yang dapat diharap pelunasannya. Hutang jenis ini hendaklah dizakati bersama harta yang ada apabila cukup haul.
ii. Hutang yang tidak dapat diharap perlunasannya. Hutang dari jenis ini tidak wajib dikeluarkan zakat kecuali apabila orang yang berhutang melunasinya, maka wajib dikeluarkan zakat sebaik sahaja hutang itu berada dalam tangan tanpa perlu menunggu genap haul[13] dan begitu juga, tidak dituntut mengqadha bayaran bagi tahun-tahun yang lepas.

16.Apa maksud harta yang boleh berkembang?
Iaitu harta yang mempunyai potensi untuk mendatangkan hasil atau pendapatan sama ada semulajadi atau dengan inisiatif manusia.

Berapa kategori harta berkembang?
Ada dua kategori;
Pertama; berkembang semulajadi; iaitu emas, perak dan wang. Oleh kerana ia berkembang semulajadi, maka sesiapa memilikinya wajib ia menzakatinya walaupun tidak melaburnya.
Kedua; berkembang dengan inisiatif manusia; iaitu seperti rumah tempat tinggal kita, kereta, alat-alat keperluan rumah dan sebagainya. Semua harta ini tidak berkembang secara semulajadi, maka selama mana ia tidak diperkembangkan, maka tidak wajib dizakati. Adapun jika diperkembangkan seperti dijadikan barang-barang perniagaan, maka wajib dikeluarkan zakat ke atasnya kerana ia telah menjadi harta yang berkembang. (al-Mu’amalat al-Maliyah al-Mu’asarah, hlm. 327).

17. Apakah contoh harta yang tidak wajib dizakati berdasarkan syarat di atas?
Berdasarkan syarat di atas, tidak wajib zakat atas binatang tunggangan, rumah kediaman, alat perabot rumah, alat kerja dan sebagainya dari benda-benda yang diambil untuk kegunaan sendiri.[15] Ini kerana harta tersebut tidak berkembang dan tidak mempunyai potensi untuk berkembang.
oleh : USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

No comments:

Post a Comment