Wednesday, January 20, 2010

JANGAN BERHASAD DENGKI

Larangan Berhasad Dengki

Terjemahan hadis:

Sabda Rasulullah s.a.w. Tidak dibenarkan berhasad kecuali pada dua perkara sahaja iaitu seorang yang dikurniakan oleh Allah hartabenda maka ia membelanjakannya pada jalan yang benar dan seorang dikurniakannya ilmu pengetahuan lalu ia mencari kehidupan dengannya dan ia mengajarkannya.


Huraian Hadis

Satu daripada sifat buruk yang dikutuk oleh ugama dan masyarakat ialah "hasad" iaitu perasaan tidak senang hati dengan kelebihan-kelebihan yang dicapai oleh seorang lain dan ia berusaha pula untuk menghapus dan melenyapkan kelebihan-kelebihan itu daripadanya.


Sifat hasad ini amatlah keji sekali kerana ia boleh mendatangkan akibat buruk bukan sahaja kepada orang yang dengki, bahkan kepada masyarakat seluruhnya, kerana segala kebaikan akan lenyap dan terhapus. Dalam hadisnya yang lain pula Rasullullah bersabda:

Ertinya: Sifat hasad itu boleh memakan segala kebaikan seorang bagaimana api membakar kayu api.

Satu sifat lain yang bertentangan dengan hasad ini ialah sifat "GHIBTOH"....
Iaitu seorang yang bercita-cita dan berusaha untuk mendapatkan kelebihan-kelebihan seperti mana yang didapati oleh orang lain tanpa ia berniat untuk menghancurkannya.

Sifat ini amatlah terpuji dan dikehendaki ada pada tiap-tiap orang, kerana dengannya boleh mendatangkan kebaikan dan kemajuan hidup.


Dalam hadisnya di atas Rasullullah menjelaskan bahawa seorang yang dikurniakan harta kekayaan dan ia telah menggunakan harta itu pada jalan-jalan yang benar, seperti untuk menunaikan haji, membayar hutang dan untuk jalan-jalan yang memberi faedah seperti membina rumah anak yatim, rumah orang tua, orang cacat dan lainnya. Kemudian ada orang lain yang hendak mendapatkan harta kekayaan seperti itu untuk digunakan pada jalan-jalan yang baik juga maka keadaan seperti itu tidak dikatakan hasad dengki bahkan dikatakan yang sangat digalakkan, demikian juga halnya dengan seorang yang dikurniakan ilmu pengetahuan dan ia telah menjalani kehidupan dengan ilmu pengetahuan yang didapatinya itu dan mengajar orang lain pula.


Oleh yang demikian tiap-tiap orang Islam hendaklah menjauhkan diri daripada hasad dengki, dan sebaliknya hendaklah ada sifat "GHIBTOH"....
Iaitu inginkan kemajuan dan kebaikan sebagaimana yang telah dicapai oleh orang lain dan seterusnya hendaklah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan lebih banyak dan janganlah berperasaan memadai dengan apa yang telah ada, dengan itu kehidupan kita akan berjalan dengan baik dan dipandang tinggi oleh masyarakat ramai.


Pengajaran Hadis:

Di antara pengajaran yang dapat difahamkan ialah:

  1. Kita mesti menjauhkan diri kita daripada sifat-sifat buruk seperti hasad dengki dan sebagainya.
  2. Kita dikehendaki berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kekayaan dan pengetahuan sebagaimana yang didapati oleh orang lain.
  3. Kita juga dikehendaki berlumba-lumba dengan tujuan mendapatkan kemajuan dan kebahagiaan hidup.

1 comments:

  1. saya memang bersetuju dan sokong dengan ilmu yg tuan curahkan...sebenarnya saya sndiri mempunyai perasaan dengki dan irihati serta prasangka yg begitu kuat sekali sehinggakan saya berada dlm ketakutan dan tidak selesa...alhamdulillah, selepas membaca risalah serta blog termasuk blog tuan,saya pasti akan ke pangkal jalan dan bertaubat kpd Allah...sbb sy tidak tahu kenapa ada saja sekatan utk saya utk terus maju dan berjaya dlm hidup...sekarang saya dah jumpa jawapannya...yakni, saya kena buang perasaan dengki dan iri hati serta prasangka buruk sesama insan...amin...semoga doa saya termakbul utk kembali bersih dan melalui liku2 hidup dengan aman dan sejahtera...amin(fb: Azri Idzwan).

    ReplyDelete