Thursday, February 16, 2012

Robert Kuok kekal rakyat M’sia terkaya

Robert Kuok kekal rakyat M’sia terkaya


Beliau masih menduduki tempat pertama walaupun kekayaannya merosot 8.0 peratus.

KUALA LUMPUR: Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai orang Malaysia paling kaya, dengan aset bernilai RM45.7 bilion, walaupun kekayaannya susut 8.0 peratus, diikuti T Ananda Krishnan dari Usaha Tegas dan Tan Sri Teh Hong Piow dari Public Bank.

Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Corporation Bhd mengekalkan kedudukan di tempat keempat manakala usahawan Bumiputera terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, di tempat kelima, demikian menurut laporan Malaysian Business mengenai 40 rakyat Malaysia paling kaya.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berada pada kedudukan ke-15, dengan aset bernilai RM1.77 bilion.

Malaysian Business berkata aset 40 orang paling kaya di Malaysia itu adalah berasaskan nilai pegangan mereka dalam syarikat-syarikat senaraian sehingga 20 Jan, 2012.

Ananda merapatkan jurang dengan Kuok dengan memiliki kekayaan bernilai RM42.99 bilion, namun ia turun kira-kira 6.0 peratus tahun ini berbanding 2011.

Teh secara relatifnya mengekalkan kekayaannya berjumlah RM12.64 bilion, susut satu peratus berbanding sebelumnya.

Syed Mokhtar bumiputera terkaya

Walaupun kekayaannya merosot 10.8 peratus kepada RM11.36 bilion, Lee (IOI Corp) mengekalkan kedudukan di tempat keempat manakala Syed Mokhtar dari Yayasan Albukhary, dengan syarikat utamanya DRB-Hicom Group, menambah kekayaannya sebanyak 8.0 peratus kepada RM9.53 bilion.

Penerbitan itu melaporkan gabungan aset 40 orang paling kaya di Malaysia itu merosot tahun ini akibat krisis kredit dunia serta pasaran ekuiti yang lemah.

Nilai aset 40 orang paling kaya di Malaysia itu secara kolektifnya berjumlah RM193.2 bilion sehingga 20 Jan, susut 7.0 peratus berbanding RM206.37 bilion setahun lepas, lapor Malaysian Business dalam terbitan 16 Feb.

Bagaimanapun tahun ini terdapat penambahan tiga jutawan berbanding 27 pada 2011.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Hong Leong Malaysia tidak berubah di tempat keenam, dengan aset merosot 25 peratus kepada RM8 bilion.

Tiga jutawan baru dalam senarai

Tan Sri Lim Kok Thay (Genting Group) turun dua anak tangga kepada tempat ketujuh dengan kekayaan bernilai RM7.58 bilion, susut kira -kira 30 peratus.

Ibunya Puan Sri Lee Kim Hua, kembali ke tangga kelapan dengan harta dianggarkan bernilai RM6.58 bilion, merosot 11 peratus.

Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan jutawan yang menetap di Singapura, Ong Beng Seng, masing-masing mengekalkan kedudukan di tempat kesembilan dan 10.

Aset Tiong dianggarkan bernilai RM6.41 bilion manakala Ong menokok 23 peratus kepada RM4.92 bilion.

Tiga jutawan baru yang menyertai senarai 40 orang paling kaya itu ialah Datuk AK Nathan dari Eversendai Corporation Bhd dan Ngau Boon Keat (Dialog Group Bhd), yang pertama kali tersenarai, manakala Datuk Abdul Hamed Sepawi (Ta Ann Holdings Bhd) kembali selepas empat tahun.

Senarai penuh 40 jutawan dan maklumat mengenai kekayaan mereka dimuatkan dalam majalah itu. Ia juga menyiarkan senarai 10 jutawan paling kaya di Pasaran Ace.

Berikut ialah senarai lengkap 20 orang paling kaya di Malaysia pada 2012 (sehingga 20 Jan, 2012):

Nama Kekayaan (RM Juta) Syarikat
Robert Kuok Hock Nien 45,700.00 Kerry Group/Kuok Group
T Ananda Krishnan 42,998.00 Usaha Tegas
Tan Sri Teh Hong Piow 12,642.01 Public Bank
Tan Sri Lee Shin Cheng 11,356.55 IOI Group
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary 9,530.00 Albukhary Foundation
Tan Sri Quek Leng Chan 8,002.92 Hong Leong Malaysia
Tan Sri Lim Kok Thay 7,585.07 Genting Group
Puan Sri Lee Kim Hua 6,588.33 Genting Group
Tan Sri Tiong Hiew King 6,411.46 Rimbunan Hijau
Ong Beng Seng 4,919.56 Hotel Properties Ltd
Tan Sri Azman Hashim 3,470.00 Arab-Malaysian Corp
Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun 2,541.74 Berjaya Group
Datuk Mokhzani Mahathir 1,937.27 Kencana Petroleum
Datuk Lee Yeow Chor 1,787.85 IOI Group
Tan Sri Tony Fernandes 1,772.42 AirAsia
Lee Yeow Seng 1,746.00 IOI Group
Tan Sri Lau Cho Kun 1,721.64 Hap Seng Consolidated
Tan Sri Yeoh Tiong Lay 1,711.84 YTL Group
Tan Sri Lee Oi Hian 1,589.97 Batu Kawan
Datuk Lee Hau Hian 1,586.18 Batu Kawan

- Bernama


Source: http://www.freemalaysiatoday.com/2012/02/16/robert-kuok-kekal-rakyat-msia-terkaya/

No comments:

Post a Comment