Bercinta Menurut Islam
Dalam Al-Quran dalam surah Al-Nur ayat 30-31 memerintahkan kaum lelaki dan wanita Islam menutup pandangan dari perkara maksiat, menjaga kehormatan diri dan tidak boleh menzahirkan perhiasan badan kecuali yang biasa kelihatan sahaja iaitu muka dan tapak tangan bagi kaum wanita.
قُلْ لِلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ذَلِكَ أَزْكَى لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ
خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ(30)وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ
وَلا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَى جُيُوبِهِنَّ
Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;
Perasaan cinta sebenarnya adalah perasaan semulajadi yang wujud pada badan manusia. Mereka cinta kepada ayah ibu, anak, sahabat handai dan lain-lain. Islam tidak pernah melarang cinta ini, cuma yang Islam tekankan ialah teknik bercinta itu sendiri.
Jika cinta seseorang itu kepada bapa dan ibunya melebihi cinta kepada Allah dan rasulnya, jelas perbuatannya ini satu perbuatan yang bercanggah dengan nas al-Quran. Seseorang yang bercinta mengikut cara Islam begitu mudah, tidak payah sebagaimana sangkaan sesetengah pihak. Apabila hatinya berkenan kepada seseorang gadis hendaklah ia menunaikan solat hajat atau istikharah dua rakaat. Setelah keputusannya bulat kepada gadis terlibat hendaklah dia meminang gadis itu melalui ibubapanya atau secara terus kepada gadis terlibat, seterusnya melangsungkan perkahwinan.
Setelah berkahwin bolehlah suami tadi bercinta dengan isterinya sebanyak mana yang dia mahu, kerana cara ini adalah satu cara yang paling halal di sisi Allah dan syarak. Inilah satu-satu caranya bercinta dalam Islam, bukan sebagaimana yang banyak berlaku sekarang bercinta bertahun-tahun sehingga banyak berlaku perkara mungkar dan maksiat dan menjadi masalah kepada negara.
'Berdating'
Berdating bererti menghampiri perzinaan. Dalam Islam seseorang itu dilarang keras dari menghampiri perzinaan. Oleh kerana pezinaan itu mendatangkan dosa besar, maka melakukan perbuatan yang boleh membawa kepada perzinaan termasuklah Dating ini adalah haram dan berdosa.
Kaedah feqah menjelaskan "Setiap sesuatu yang membawa kepada perlakuan yang haram, maka hukum melakukan perkara tersebut adalah haram". Jauhilah dari berdating kerana ianya adalah jalan mudah bagi syaitan menjerumuskan anak Adam ke lembah perzinaan. Jauhilah dari berdating kerana orang yang ketiga di masa itu ialah syaitan.
Berbual dengan Bukan Mahram Melalui Telefon
Seorang lelaki dan seorang wanita bukan mahram menjalin hubungan dengan sering berhubung melalui telefon. Mereka berbual mesra tentang kehidupan seharian, perasaan hati masing-masing, ataupun hanya berbual kosong kerana seronok dapat berbual mesra antara satu sama lain. Apakah pendapat ustaz tentang perkara ini? Apakah hukumnya?
Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya di tempat yang sunyi kerana perbuatan ini dilarang keras oleh Islam. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad menjelaskan larangan berdua-duaan antara seorang lelaki dengan seorang perempuan kerana pihak yang ketiganya adalah syaitan. Setiap orang Islam wajib mematuhi larangan ini dan jangan cuba sekali-kali melanggarnya, kerana ia melibatkan hukum-hukum Allah.
Al-Quran menjelaskan dalam surah Al-Maidah orang yang melanggar hukum Allah tidak sunyi daripada tiga golongan manusia iaitu samada termasuk ke dalam golongan orang yang fasik, zalim atau kafir.
Termasuk ke dalam ertikata berkhalwat yang dilarang oleh Islam ialah berbual di dalam telefon dengan perempuan yang bukan mahram, sambil menyatakan perasaan hati masing-masing tanpa tujuan yang syar'i, kerana ia menjadi jalan ke arah khalwat dan khalwat menjadi jalan ke arah perzinaan. Setiap yang menjadi jalan ke arah itu hendaklah ditutup berdasarkan kaedah feqah "menutup pintu fitnah “.
Satu kaedah lain menjelaskan "Sesuatu yang boleh membawa kepada haram maka hukumnya adalah haram". Sehubungan dengan itu seseorang lelaki Islam hendaklah menjauhkan perkara ini untuk mendapatkan keselamatan diri. Jika ia bertanya perempuan berkenaan tentang tarikh penetapan perkahwinan, beberapa ramai yang hendak datang meminang, hari apa-apa majlis itu hendak diadakan dan lain-lain yang ada hubungan dengan urusan perkahwinan, dan masanya pula
tidak lama, tanpa pula ada kata-kata yang mengghairahkan, maka hukumnya adalah harus. Bagaimanapun sebaiknya pihak lelaki hendaklah bertemu terus dengan pihak keluarga perempuan untuk menguruskan perkara itu, kerana ia lebih selamat dari fitnah.
Pergaulan Menurut Islam
Islam tidak membenarkan apa jua bentuk hubungan antara lelaki dan perempuan bagi mengelakkan fitnah dan menjauhi zina. Kecuali dalam keadaan darurat sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh imam muslim di mana Rasullullah SAW membenarkan orang perempuan pergi ke medan perang bagi menolong merawat pesakit-pesakit dan menyediakan minuman.
Dalam suasana kebebasan yang ada pada hari ini setiap individu muslim harus menyedari batas-batas pergaulan agar terhindar dari perkara terkutuk sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat ke 32 yang bermaksud:
وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا
Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).
Perbuatan kita membatasi pergaulan dengan wanita adalah sangat elok untuk menjaga diri sendiri, dan kita harus mempertahan prinsip tersebut tanpa memperdulikan kata-kata orang lain. Namun kita juga perlu bergaul dengan ramah dalam keadaan-keadaan tertentu yang tidak menimbulkan fitnah seperti dalam dewan kuliah dan sebagainya agar kita tidak dianggap sombong dan memencilkan diri dari teman-teman kerana desakan hidup pada masa ini memerlukan kita bergaul dengan semua lapisan masyarakat.
Panduan dan Doa Mendapat Pasangan yang Soleh.
Untuk mencari pasangan yang soleh seorang wanita hendaklah memilih calon suaminya yang faham dan menjalankan perintah agama. Jangan terlalu mementingkan perkara yang bersifat kebendaan atau meterialistik, sebab harta, kecantikan, kedudukan dan pangkat tidak akan bertahan lama. Seandainya calon suami seorang yang soleh, Insya Allah rumahtangga akan bahagia dan diberkati Allah SWT.
Dalam usaha untuk mempercepat mencari pasangan hidup hendaklah kita banyak berdoa dan bermohon kepada Allah agar kita sentiasa memperoleh berkah dan rahmat-Nya. Kerjakan segala yang diperintahkan agama dan tinggalkan segala yang dilarang oleh Islam, jika amalan-amalan yang mulia ini kita laksanakan, maka Insya Allah akan ditentukan Allah dengan suatu yang lebih baik nantinya. Mungkin saja keterlambatan itu kerana ada hikmah yang terkandung didalamnya yang kita sendiri tidak dapat untuk menterjemahkannya. Mungkin juga terlambatnya jodoh kita itu kerana kelalaian kita dalam mengingati Allah SWT sehingga Allah mengingatkan kita dengan cara melambatkan jodoh tersebut, akhirnya kita sedar bahawa Allah lah tempat kita bermohon. Berdoalah setiap selepas solat lima waktu agar anda memperoleh pasangan yang baik dan menjalankan agama Islam dengan cara yang sempurna.
Walaupun begitu mulailah dari diri sendiri, hiasi peribadi dengan akhlak yang mulia agar nanti kita akan dianugerahkan Allah pasangan yang mulia pula. Ini sesuai dengan firman Allah dalam surah An Nuur ayat 26,
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ
أُوْلَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.
*Di antara wirid yang perlu diamalkan agar disayangi orang iaitu mengucapkan "Yaa Rahim" sebanyak 100 kali setiap hari, insya Allah hajat dan kasih sayang ditumbuhkan dalam hati.
*Doa lain iaitu mohon petunjuk yang lurus dari segala urusan (al Kahfi ayat 10).
رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا
"Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami".
*Doa memperoleh hikmah dan tergolong orang yang soleh (surah Asy Syuara ayat 83 - 85).
رَبِّ هَبْ لِي حُكْمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ(83)وَاجْعَلْ لِي لِسَانَ صِدْقٍ
فِي الآخِرِينَ(84)وَاجْعَلْنِي مِنْ وَرَثَةِ جَنَّةِ النَّعِيمِ(85
"Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan ugama, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh; "Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian; "Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim;
والله أعلم
uye121199 - nota lama
terima kasih sbagai peringatan bersama...
ReplyDelete