Sunday, February 26, 2012

Bantah Lynas: 20,000 sertai Himpunan Hijau 2.0

Bantah Lynas: 20,000 sertai Himpunan Hijau 2.0

Nazri Abdullah, 26 Feb 2012

KUANTAN, 26 Feb: Hampir 20,000 rakyat Malaysia khususnya masyarakat Kuantan hari ini turun ke Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 4 bagi menyatakan solidariti membantah pembinaan loji pemprosesan nadir bumi di Gebeng oleh syarikat Lynas Advanced Material Plant (Lamp).

Perhimpunan yang diberi nama Himpunan Hijau 2.0 hari ini dianjurkan oleh lebih 80 NGO perihatin dan turut mendapat sokongan parti-parti politik Pakatan Rakyat khususnya PAS, PKR dan DAP.

Pelbagai cara bantahan dizahirkan bukan sahaja dengan memakai baju hijau, malah juga dengan membawa kain rentang, pengikat kepala, poster dan payung mengecam tindakan Lynas itu.

Antaranya tulisan seperti 'Stop Lynas', 'Save Malaysia', 'No Toxic Cyanide' dan belbagai lagi.

Mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan majoritinya Tionghua turut melaungkan slogan 'Selamatkan rakyat, Hancur Lynas, Say no to Lynas, undur Lynas, Pilihan ditangan kita dan sebagainya.

Turut hadir pada himpunan hari ini, beberapa pemimpin utama Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PKR Datuk Sri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Zulkefly Mohamad Omar dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Selain mereka turut hadir memberi sokongan adalah Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said dan Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Himpunan yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi itu sekarang ini sedang berlangsung dengan ucapan wakil-wakil NGO dan tamat jam 11.20 pagi, sebentar tadi.


Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/8362-bantah-lynas-20000-sertai-himpunan-hijau-20

No comments:

Post a Comment