Tuesday, October 9, 2012

GAJI CEO TABUNG HAJI RM85,000 sebulan ?


Menteri: Gaji CEO Tabung Haji 'ikut peraturan'
NIZAM ZAIN
8 Oktober 2012
Jamil Khir Baharom
Datuk Seri Jamil Khir Baharom
[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR – Gaji Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail, yang didakwa berjumlah RM85,000 tidak ditentukan secara sembarangan dan bukan sesuatu yang "tersembunyi", kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
“Lembaga kenaikan gaji dan lembaga pemutusan yang menetapkan gajinya, jadi dia bukan dibuat secara sembaragan, tersembunyi dan sebagainya, ia berdasarkan kepada jadual dan peraturan yang termaktub dalam Tabung Haji,” kata beliau.
Ismee didakwa menerima gaji dan bonus RM1.7 juta tahun lalu.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menjelaskan bahawa bayaran gaji yang dibuat oleh Tabung Haji mengikut peraturan berdasarkan kepada tahap profesionalisme, kepakaran dan nilai pasaran semasa.
Katanya, oleh kerana perkara itu telah dibangkitkan di Dewan Rakyat, penjelasan akan diberikan kemudian.
“Saya akan jawab persoalan gaji ini dalam Parlimen, sebab Tabung Haji ini adalah syarikat bernilai bilion ringgit, lima tahun berturut-turut Tabung Haji menjangkau keuntungan melepasi daripada satu bilion ringgit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran agihan bantuan pakaian dan peralatan persekolahan Baitulmal Sesi 2013 di MAIWP di sini, hari ini.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Pokok Sena dari Pas, Datuk Mahfuz Omar ketika membahaskan Bajet 2013 di Dewan Rakyat mendedahkan beliau mempunyai bukti penyata gaji Disember 2011 milik CEO Tabung Haji yang hanya bekerja secara kontrak memperoleh RM85,000 dan bonus RM700,000.
Mahfuz mempersoalkan bagaimana gaji seorang CEO berstatus kontrak memperolehi gaji sebesar itu berbanding CEO syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang berjawatan tetap tidak menikmati gaji selumayan itu malah gaji dan bonus itu sendiri lebih daripada yang diperolehi perdana menteri.
Mengulas lanjut, Jamil Khir berkata, jumlah itu setimpal dengan sumbangan diberikan kepada Tabung Haji bersesuaian prestasi yang memberangsangkan dengan hampir sejuta penyimpan untuk mengerjakan haji manakala pendeposit sahaja berjumlah 7.8 juta orang.
“Ramai juga yang menyimpan dengan Tabung Haji sedang mereka mempunyai pilihan simpanan dengan bank dan sebagianya, kita juga menguruskan dana Tabung Haji sebanyak RM7.8 bilion sehingga kini,” jelasnya lagi.
Ismee telah menjadi Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif sejak 2006. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif ECM Libra Securities Sdn Bhd dari Disember 2003 hingga Disember 2005.
Beliau mempunyai 15 tahun pengalaman bekerja dalam bidang perakaunan, kewangan dan pembangunan perniagaan & korporat yang berkaitan dengan pelbagai industri seperti tekstil, hartanah, minyak & gas, hotel dan perubatan.
Selain itu, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan Lembaga Tabung Haji dan juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Besar Kanan bagi Kewangan dari Disember 2001 hingga Disember 2003.
Mengikut laporan akhbar tahun lalu, Tabung Haji merupakan agensi pengurus dana yang bermatlamat untuk memberi peluang kepada umat Islam di Malaysia menggunakan simpanan mereka untuk menceburi bidang pelaburan dan perniagaan di negara ini.
Tabung Haji telah menyertai bidang-bidang pelaburan yang berpotensi merangkumi pelaburan saham jangka pendek dan jangka panjang dalam sektor-sektor ekonomi seperti perindustrian, perkhidmatan, peladangan serta pemilikan hartanah.
Ia juga melabur secara aktif dalam instrumen-instrumen pelaburan kewangan Islam seperti bon, nota korporat, sijil pelaburan kerajaan dan akaun bank mudharabah.
Empat anak syarikat milik penuh Tabung Haji yang beroperasi dalam sektor-sektor strategik termasuk TH Plantations Bhd. dalam sektor perladangan; TH Properties Sdn. Bhd. dalam sektor pembangunan hartanah; TH Technologies Sdn. Bhd. dalam sektor pembinaan dan TH Travel & Services Sdn. Bhd. dalam sektor perkhidmatan, haji, umrah dan pelancongan.
http://www.sinarharian.com.my/nasional/menteri-gaji-ceo-tabung-haji-ikut-peraturan-1.92558

4 comments:

  1. walau profesional mcamana pun takan gaji sampai 85 ribu.ini tak betul

    ReplyDelete
  2. Apa matlamat asal penubuhan TH yg sebenarnya? Sepatutnya memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam ke5. Pasti ramai penabung yg belum cukup simpanan utk menunaikan haji wpun dah bertahun2 lama menyimpan.Kos menunaikan haji pun patutnya boleh dikurangkan dan bonus penabung boleh ditambah. Jawatan yg dipegang adalah satu amanah yg akan dipertgjwbkan kelak.

    ReplyDelete
  3. patutlah sampai ada pakej haji sampai RM 65000/=. nak kena tampung kos bayar gaji dia ni kot

    ReplyDelete
  4. Salam,
    kita minta senaraikan prgrm yg di laksanakan ceo ini dan setatus kejayaannya. Berlaku adillah kepada penyimpan2 tabunghaji.

    ReplyDelete