Saturday, October 15, 2011

KERJA-KERJA DAN PENGARUH JAHAT SYAITAN - Siri 2

5. Syaitan juga membawa mimpi-mimpi ngeri bagi menjadikan manusia berada dalam sedih. Seorang lelaki menceritakan kepada Nabi s.a.w. bahawa dia melihat dalam mimpi bahawa kepala telah dipukul.

Nabi s.a.w. menasihatkannya dengan sabdanya :
لاَ تُحَدِّثِ النَّاسَ بِتَلَعُّبِ الشَّيْطَانِ بِكَ فِى مَنَامِكَ
“Jangan kamu ceritakan kepada manusia dengan permainan syaitan kepadamu dalam tidurmu”. (Riwayat Muslim).

6. Syaitan ketawa apabila seseorang menguap kerana ia tanda kemalasan. Sabda Nabi s.a.w. :
وَأَمَّا التَّثَاؤُبُ فَهُوَ مِنَ الشَّيْطَانِ فَلْيَرُدَّهُ مَا اسْتَطَاعَ
“Adapun menguap maka ia dari syaitan maka tolaklah ia semampunya”. (Riwayat Muslim).

Sebenarnya syaitan mungkin masuk ke dalam badan manusia ketika menguap apabila mulut tidak di tutup.

Sabda Nabi s.a.w. :
إِذَا تَثَاءَبَ أَحَدُكُمْ فَلْيُمْسِكْ بِيَدِهِ عَلَى فِيْهِ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ
“Apabila seseorang kamu menguap maka letakkanlah tangannya atas mulutnya kerana syaitan akan masuk”. (Riwayat Muslim).

7. Syaitan juga bertenggek atas batang hidung setiap manusia. Sebab itu digalakkan membersihkan hidung kerana diriwayatkan sabda Nabi s.a.w. :


إِذَا اسْتَيْقَظَ أَحَدُكُمْ مِنْ مَنَامِهِ فَلْيَسْتَنْثِرْ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَبِيْتُ عَلَى خَيَاشِيْمِهِ
“Apabila seseorang kamu bangun daripada tidur maka bersihkanlah hidungnya tiga kali kerana syaitan bermalam di atas hidungnya”.

8. Syaitan mewaswaskan manusia
. Asalnya syaitan ingin merosakkan manusia tetapi jika manusia itu seorang mukmin, maka syaitan hanya mampu menimbulkan was was dalam hatinya. Pun begitu penyakit was was perlu diubati kerana ia berpunca daripada syaitan.

9. Was was yang paling utama ialah ketika solat. Seorang sahabat mengadu masalah ini ketika solat kepada Nabi s.a.w. Sabda Nabi s.a.w. :


ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خَنْزَب فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْهُ وَاتْفُلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا
“Itulah syaitan yang dipanggil Khanzab. Apabila kamu merasainya maka berlindunglah kepada Allah dan ludahlah di sebelah kirimu sebanyak tiga kali”. (Riwayat Muslim).

Biasa juga syaitan akan mengkhayalkan seseorang yang bersolat. Misalnya dia mencari sesuatu benda seperti kunci tetapi tidak dijumpai. Apabila bersolat barulah dia teringat di mana kunci itu berada. Oleh itu dia akan terfikir macam mana kunci itu berada di situ.

Akhirnya dia tidak khusyuk dalam solat. Sabda Nabi s.a.w. :
إِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا قَامَ يُصَلِّي جَاءَهُ الشَّيْطَانُ فَلَبَّسَ عَلَيْهِ حَتَّى لاَ يَدْرِي كَمْ صَلَّى ، فَإِذَا وَجَدَ ذَلِكَ أَحَدُكُمْ فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ
“Sesungguhnya apabila seseorang kamu bangun untuk bersolat, syaitan akan datang kepadanya lalu mewaswaskannya hingga dia tidak sedari berapa rakaat yang dia telah tunaikan. Maka apabila kamu mendapati berlaku yang demikian maka sujudlah dua kali sujud dalam keadaan duduk”. (Riwayat Muslim).

No comments:

Post a Comment