Thursday, August 27, 2009

PERUTUSAN RAMADHAN oleh DATO' TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN, PESURUHJAYA PAS PAHANG

KHAMIS, 27 OGOS 2009 06 RAMADHAN 1430H
RAMADHAN menjelma lagi, ia datang dengan membawa rahmat dan keberkatan. Maka marilah kita mensyukurinya dengan mentaati segala perintah Allah, memelihara puasa dan menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah. Ramadhan bukan sahaja bulan puasa, tetapi ia juga bulan ibadah, bulan al-Qur’an, bulan silaturrahim, bulan perjuangan menegakkan kebenaran dan keadilan, bulan memisahkan antara hak dan bathil.

Sabda Rasulullah s.a.w: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampuni segala dosanya yang terdahulu”. - Riwayat Bukhari.

Pada Ramadhan kali ini, saya menyeru agar kita memelihara ibadah puasa kita, bukan sekadar menjaga makan, minum dan perkara membatal pada lahiriyah sahaja, sebaliknya mari kita pelihara pakaian agar tidak mendedahkan aurat, kita pelihara mata agar tidak melihat perkara yang diharamkan, memelihara telinga dari mendengar perkara yang tidak mendatangkan manfaat, memelihara makanan, minuman sewaktu berbuka dan bersahur agar tidak dari tangan-tangan yang fasiq, dan tidak melakukan pembaziran. Awasilah apa yang akan disuap ke mulut, kerana ia akan menjadi darah daging, peliharakan ia agar hati tidak menjadi keras dan akhirnya menghilangkan kelazatan ibadah.

Negara kita sedang berhadapan dengan kemelut kegawatan sosial yang sangat serius, dengan kadar anak luar nikah mencecah 300,000 setahun, penagih dadah baru setiap setengah jam seorang, kadar bunuh diri antara 7-8 orang sehari, kematian akibat AIDS 6-7 orang sehari, masalah rasuah yang menakutkan, kadar jenayah yang makin meningkat serta wujudnya kelompok yang mula mempertikaikan persoalan asas Islam dalam masyarakat. Semuanya menuntut agar kita mesti tampil membawa negara kita kepada satu dimensi baru dalam sistem politik negara.

Kita perlu kembali kepada sistem Islam yang syumul bagi melahirkan pimpinan yang berwibawa, yang menjalankan pemerintahan negara mengikut dasar yang digariskan oleh Allah. Sabda Rasulullah s.a.w: “Manusia akan mengikuti corak hidup pemimpin mereka.” Lantaran itu, marilah kita jadikan bulan Ramadan ini sebagai jalan bagi mendekati kita dengan keindahan sistem pemerintahan yang indah ini.

Ramadhan mendidik kita agar menjauhi maksiat kepada Allah sama ada melalui pancaindera atau pemikiran kita. Dalam kegawatan berhadapan dengan wabak H1N1, yang membimbangkan, Rasulullah s.a.w menegaskan: “Bilamana zina dan riba’ berleluasa dalam masyarakat, maka mereka mendedahkan diri mereka kepada azab Allah”.

Maka di kesempatan ini saya menyeru agar kita memelihara aspek lahiriyah dalam bentuk mencegahan merebaknya wabak ini, dan dari sudut bathiniyahnya menjaga diri dari melakukan dosa dan maksiat kepada Allah.

Sekian, Selamat Melaksanakan Ibadah Ramadhan.

Ustaz Tuan Ibrahim bin Tuan Man
Pesuruhjaya Pas Pahang.

4 comments:

  1. Ust. Hadis yg ust tuan sebut tu iaitu "Manusia akan mengikut corak hidup pemimpin mereka" adalah palsu. Sila rujuk blog almuqry, katogeri artikel 'hadis palsu'

    Syukran

    ReplyDelete
  2. kalau matan hadis palsu tapi makna nya sahih berpandu hadis bila baik hati maka baik lah seluruh anggota bila buruk maka bruklah seluruh anggota.imam nawawi syarah hdis ni klu pemimpin baik maka baiklah rakyatnya dan sebaliknya .wallahua'lam.

    ReplyDelete
  3. Maka kesimpulannya ia tidak boleh dikatakan hadis tetapi "Syarah kepada hadis". kerana kita perlu berhati2 dlm menisbahkan sesuatu kpd baginda.

    ReplyDelete
  4. Itu adalah athar [ perkataan sahabat ] atau perkataan tabien . Benar bukan hadis nabi

    Tantawi

    ReplyDelete