Tuesday, April 20, 2010

MAKSIAT BERCAMBAH, BALA BERTAMBAH

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah S.W.T dalam ayat 27-28 surah as-Syura :

ولو بسط الله الرزق لعباده لبغوا فى الأرض ولكن ينزل بقدر ما يشاء انه بعباده خبير بصير . وهو الذي ينزل الغيث من بعد ماقنطوا وينشر رحمته وهو الولي الحميد

Maksudnya: Dan jika Allah S.W.T memewahkan rezeki kepada sekalian hambaNya nescaya mereka akan melampaui batas di muka bumi (dengan perbuatan liar). Tetapi Allah S.W.T menurunkan rezeki itu mengikut kadar tertentu sebagaimana yang dikehendakinya. Sesungguhnya Dia mengetahui secara mendalam tentang keadaan hambaNya lagi Maha Melihat dengan nyata. Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan ingatlah bahawa Dialah Pengawal yang melimpahkan ihsanNya lagi Amat Terpuji.

Nikmat anugerah Allah S.W.T kepada umat manusia amat banyak sehingga tidak terhitung jumlahnya. Anugerah nikmat ini mestilah disambut dengan penuh kesyukuran serta digunakannya dalam memperbanyakkan lagi ibadat kepada Allah S.W.T paada setiap masa dan tempat. Kita juga mesti ingat bahawa segala kebaikan yang diturunkan oleh Allah S.W.T ke atas hambaNya bergantung kepada baiknya amalan kita terhadap Allah S.W.T. Begitu juga dengan curahan keberkatan dan kebaikan dari langit disebabkan umat manusia berusaha menjauhkan diri daripada jalan-jalan kesesatan yang memesongkan mereka daripada landasan Islam yang sebenar. Kita sentiasa berdoa agar rezeki yang diperolehi adalah suatu nikmat yang datang bersama dengan keberkatan dan keredhaan daripada Allah S.W.T sehingga kita mampu meraih kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Disamping itu, kita juga sentiasa memohon perlindungan daripada Allah S.W.T agar jangan jadikan rezeki yang diterima sebagai suatu pemberian yang tiada bersamanya keberkatan apatah lagi ia bertujuan untuk melalaikan kita daripada mendapatkan keredhaan Allah S.W.T sehingga menjadikan kita umat yang rugi di dunia dan akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Ketika kita mendapat rezeki yang bermacam-macam maka ada masanya di mana Allah S.W.T menahan nikmatNya sebagai suatu ujian untuk menguji tahap kesabaran dan kerelaan manusia dalam menghadapi bala’ atau pun ia merupakan suatu peringatan dan pengajaran kepada mereka yang melakukan kezaliman dan lalai daripada mematuhi perintah Allah S.W.T. Antara bala’ daripada Allah S.W.T ialah Dia tidak menurunkan hujan dengan cuaca panas yang begitu terik sebagaimana yang sedang kita hadapi sekarang ini. Ia menyebabkan manusia dan binatang menghadapi kesukaran, pokok dan tanaman turut kekeringan dan sebagainya. Islam sentiasa memberi tunjuk ajar yang sempurna kepada umatnya agar mencari jalan dalam menghadapi sebarang ujian yang datang. Kita mesti memperbanyakkan istighfar bagi memohon keampunan daripada Allah S.W.T di atas segala dosa dan kesilapan yang dilakukan. Jangan campur adukkan antara ibadat dan maksiat sehingga lebih banyak bala’ Allah S.W.T yang turun seumpama pesta air yang dicemari dengan persembahan artis dan program maksiat yang melambangkan sebahagian daripada kita tidak bersungguh untuk bertaubat kepada Allah S.W.T.

Ingatlah kita kepada suatu hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Wahai kaum Muhajirin! Ada 5 perkara di mana jika telah menimpa kamu maka tiada lagi kebaikan bagi kamu. Dan aku berlindung dengan Allah S.W.T agar kamu tidak menemui zaman itu. 5 perkara itu ialah : [1] Tidak bermaharajalela perbuatan zina pada suatu kaum sehingga mereka berani secara terang-terang melakukannya melainkan akan berjangkit yang merebak dengan cepat dan mereka akan ditimpa penyakit-penyakit yang belum pernah menimpa umat-umat yang lain. [2] Tiada mereka mengurangi sukatan atau timbangan melainkan mereka akan diuji dengan kemarau panjang dan kesulitan dalam mencari rezeki serta berhadapan dengan kezaliman daripada kalangan pemimpin mereka. [3] Dan tidak menahan mereka akan zakat harta benda melainkan ditahan juga untuk mereka air hujan dari langit. Jika tiada binatang yang hidup di muka bumi ini nescaya mereka tidak diberikan hujan oleh Allah S.W.T. [4] Dan tiada mereka menyalahi akan janji Allah S.W.T dan rasulNya melainkan Allah S.W.T akan menurunkan kepada mereka musuh yang akan merampas sebahagian daripada apa yang ada di tangan mereka. [5] Dan apabila pemimpin-pemimpin mereka tidak melaksanakan hukum Allah S.W.T yang terkandung dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan utama maka Allah S.W.T akan menjadikan bencana di kalangan mereka sendiri.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 10-12 surah Nuh :

استغفروا ربكم انه كان غفارا يرسل السماء عليكم مدرارا ويمددكم بأموال وبنين ويجعل لكم جنات ويجعل لكم أنهارا

Maksudnya: Pohonlah keampunan daripada Tuhanmu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Akan dikirimkan oleh Allah kepada kamu awan yang menurunkan hujan lebat. Diberikan oleh Allah S.W.T kepada kamu kekayaan harta dan anak-anak serta diadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Melihat kepada arahan dan amaran daripada Allah S.W.T dan rasulNya agar kita sentiasa bertaubat dengan segala dosa serta mematuhi segala perintah dan menjauhi segala apa yang ditegah maka sepatutnya kita lebih sedar tentang kesalahan kita yang menyebabkan turunnya sesuatu bala’ daripada Allah S.W.T. Kita juga mesti sentiasa istiqamah dan berada di atas landasan Islam yang sebenar dengan menghindarkan segala jalan yang membawa kepada kesesatan.

Firman Allah S.W.T dalam ayat 16 surah al-Jin :

وأن لو استقاموا على الطريقة لاسقيناهم ماء غدقا

Maksudnya: Dan sesungguhnya jika mereka (manusia dan jin) itu berjalan betul di atas landasan Islam maka sudah tentu Kami menurunkan hujan lebat kepada mereka

Kita mesti tegas dalam melawan kebatilan dan maksiat sehingga datangnya kemenangan dan keredhaan daripada Allah S.W.T. Kita jangan takut untuk menegur kemungkaran yang berlaku di sekeliling kita kerana sebarang dosa bakal mengundang bala’ dan bala’ apabila telah turun maka ia menyeluruh bukan tertentu kepada pembuatnya sahaja. Oleh itu melalui mimbar yang mulia ini kita menegur tentang kegagalan program Khidmat Negara yang menelan wang rakyat sebanyak 500 juta ringgit dalam melahirkan rakyat yang soleh kerana terlalu menekankan latihan fizikal dan keduniaan tanpa menitikberatkan pembinaan rohani. Ini menyebabkan berlakunya banyak pergaduhan, pengabaian kepada kewajipan agama di kalangan peserta Islam terutama solat, aktiviti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan sehingga ada peserta yang dirogol dan beberapa orang lagi didapati mengandung. Melihat kepada kegagalan dan bahayanya program ini terhadap keselamatan akhlak anak-anak maka kita seru agar program Khidmat Negara digantung atau dihentikan buat sementara bagi membolehkan suatu siasatan dan pembaikian terhadap aktiviti dan pengisian yang dijalankan di dalamnya sehingga ia benar-benar selamat dan berkesan untuk melahirkan warganegara yang soleh.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Kita mesti ingat tentang ujian Allah S.W.T berbentuk hujan peluru musuh yang menimpa saudara kita. Palestin menyaksikan bagaimana dalam masa tidak sampai sebulan selepas pengasas dan pemimpin HAMAS iaitu Syeikh Ahmad Yasin dibunuh maka pemimpinnya yang baru iaitu Abdul Aziz Rantisi pula dibunuh dengan peluru berpandu helikopter Israel. Iraq terus bermandi darah selepas kebangkitan pejuang Iraq dalam menentang penjajah. Malah Arab Saudi turut digegarkan dengan letupan bom kereta yang dipandu penyerang berani mati memusnahkan bangunan pasukan keselamatan di Riyadh. Malah keganasan di Selatan Thailand yang didakwa dirancang rapi oleh Amerika terus menekan kebebasan umat Islam di sana. Jika saudara kita di tempat lain mampu bersabar dan tetap meneruskan perjuangan dalam melawan musuh maka kita di negara ini yang ditipu secara terang dalam pilihanraya mesti lebih bersabar dengan meningkatkan usaha dakwah Islam serta menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran sehingga datangnya pertolongan dan kemenangan besar daripada Allah.

Firman Allah dalam ayat 55-56 surah al-A’raf :

ادعو ربكم تضرعا وخفية إنه لايحب المعتدين . ولاتفسدوا فى الأرض بعد اصلــحها وادعوه خوفا وطمعا إن رحمت الله قريب من المحسنين

Maksudnya : Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah S.W.T tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Dan janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah S.W.T memperbaikinya dan berdoalah kepadaNya dengan penuh perasaan takut dan mengharap. Sesungguhnya rahmat Allah S.W.T amat dekat kepada mereka yang berbuat baik.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

1 comments: