السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PERKUKUHKAN PERSEDIAAN MENGHADAPI PRU 13
Saya merafakkan kesyukuran tidak terhingga ke hadrat Allah S.W.T. atas segala nikmat dan kurniaan-Nya. Sesungguhnya menjadi nikmat dan kemuliaan tidak ternilai apabila kita dipilih oleh Allah untuk tergolong di kalangan umat Islam sekali gus pula menjadi pendukung jemaah yang berjuang menegakkan risalah Islam di akhir zaman.
Saya merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada kepimpinan PAS Kawasan, dan di semua peringkat organ parti yang telah berjaya melaksanakan tanggungjawab jama’ie mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan seperti termaktub di dalam perlembagaan parti.
Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun ini perlu dijadikan medan untuk menilai pencapaian gerak kerja parti untuk memperkukuhkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) yang dijangka akan diadakan pertengahan tahun 2011. Justeru, kepimpinan dan semua petugas parti wajar memastikan agenda menambah ahli dan pengundi baru, penubuhan cawangan di seberapa banyak lokaliti, persediaan kewangan yang mapan, penebaran mesej parti kepada segenap segmen masyarakat, dan pengukuhan tarbiah terus menerus menjadi keutamaan di dalam setiap kesempatan musyawarah, pertemuan atau wacana.
PRU13 dipercayai medan terbaik bagi PAS bersama Pakatan Rakyat untuk mengajak rakyat melakukan perubahan demi menyelamatkan negara ini daripada kehancuran akibat pemerintahan korup Barisan Nasional. Kefahaman dan keberanian rakyat untuk berubah mesti digembleng mulai sekarang sehingga ke saat hari mengundi akan datang.
Pada masa yang sama kepimpinan parti di semua peringkat perlu berterusan menambahkan ilmu dan kemahiran serta membina kewibawaan untuk memikul amanah pemerintahan negara yang bukan kepalang bebanannya. Prinsip Islam sebagi rahmatan lil ‘alamin mesti sentiasa menjadi garis pandu dalam kita melakar dan menjayakan apa sahaja strategi dan program parti.
Sekian, selamat bermesyuarat agung semoga semua amal jihad yang dilakukan mendapat anugerah kemuliaan daripada Allah S.W.T.
Sekian, jazakumullahu khairan katsira.
DATO’ TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
Pesuruhjaya PAS Negeri Pahang
No comments:
Post a Comment