Friday, July 20, 2012

PERUTUSAN RAMADHAN 1433H – Peluang Merawat Hati Dan Iman - Tn Guru Nik Abdul Aziz


Oleh: Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Al-Mursyidul Am PAS.

Bersyukur kehadrat Allah SWT, kerana kita masih diberi peluang oleh-Nya dapat bertemu lagi dengan Ramadhan 1433H, bulan yang mulia (Ramadhan Karim).

Sempena dengannya. marilah kita merenung perjalanan masa kita hidup ini, kita telah memanfaat segala anggota tubuh badan bagi menyempurnakan segala urusan seharian. Jika diibarat sebuah motokar yang kita pakai sehari-hari, akan ada masanya kita perlu bawa motokar ke bengkel untuk diservis atau mungkin perlu dioverhaul bagi memulih dan menjaga kondisi motokar sentiasa berkeadaan baik.

Demikian juga tubuh kita, kena jaga dan perlu dibersihkan luar dan dalam. Maka sampainya Ramadhan adalah bulan untuk kita membersihkan aspek dalaman kita agar pelbagai penyakit berkaitan dengan hati dan iman dapat diubati dengan cara berpuasa dan beribadat. Antara penyakit ialah penyakit syirik, takabur, ujub (seronok sendiri), hasad-dengki, niqmah (dendam), riak (menunjuk-nujuk) dan sebagainya. Maka ibadat sepanjang Ramadhan adalah penawar mujarab bagi semua jenis penyakit ini.

Oleh yang demikian, amalan puasa Ramadhan ini diwajibkan oleh Allah sekali setahun antaranya bertujuan supaya manusia melawan nafsu dalam diri, terutama nafsu makan dan minum. Dengan melawan nafsu kita telah melatih diri untuk menghayati bagaimana mengawal hati dan iman supaya tunduk kepada perintah Allah Taala. Di sebalik perintah Allah, wajib atas kita berhenti makan dan minum di siang hari selama sebulan. Meskipun perintah-Nya bercanggah dengan hak kita sendiri. Apa yang utama, dengan cara puasa dan amal ibadat Ramadhan, ia sebagai cara untuk kita membendong perasaan tamak supaya tahu mana satu hak kita dan mana pula hak orang lain.

Oleh sebab itu, bulan Ramadhan ada kelebihan tertentu, antaranya dimuliakan dengan ibadat solat tarawih. Islam meletakkan solat tarawih sebagai sunat mua’akad dengan tujuan supaya manusia yakin dengan apa sahaja kelebihan yang disebut dalam Al-Quran. Ini kerana Al-Quran adalah sebagai buku panduan “How to Use”. Ibarat kita memandu motokar, bagaimana cara pemanduan yang selamat ada disebutkan dalam buku “How to Use.” Ini bermakna, pemanduan tanpa panduan yang betul, maka berkemungkinan motokar akan rosak dan tidak selamat.

Oleh yang demikian, manusia kena faham tujuan Allah menjadikan manusia. Firman-Nya:


Bermaksud, “Dia-lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Ia menuju dengan kehendak-Nya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna; dan Ia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” (Surah Al-Baqarah 2:29).
Oleh sebab itu manusia yang ramai di dunia ini, perlu ada “How to Use” yakni sentiasa menjadikan Al-Quran sebagai panduan, jika tidak, akan porak peranda masyarakat. Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Katakanlah: “Sesungguhnya aku hanya menurut apa yang diwahyukan kepadaku dari Tuhanku. Al-Quran ini ialah panduan-panduan – yang membuka hati – dari Tuhan kamu, dan petunjuk serta menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Surah Al-A’araf 7:203).


Bagi menjayakan perintah ini, Allah menetapkan dalam Al-Quran betapa setiap manusia akan berdepan dengan pembalasan dan pada hari pembalasan setiap manusia kena berdepan dengan Allah SWT. Firman-Nya:

Maksudnya, “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya” (Surah Ali-Imran 3:185).
Di akhirat kelak tidak guna lagi harta, tiada lagi benda untuk kita pujuk, bodek atau rasuah seumpama beli undi untuk masuk syurga. Harta yang kita banggakan di dunia ini sudah tidak berguna di akhirat. Hakikatnya semua manusia akan berdepan dengan suasana pembalasan. Firman Allah SWT:

Bermaksud, “Apabila berlaku hari kiamat itu. Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat)” (Surah Al-Waaqi’ah 56:1-3).
Oleh sebab itulah, diwajibkan sebut “maaliki yaumid-din” dalam segenap kali kita solat, Atas kerananya kita diwajid baca Surah Al-Fatihah dalam solat. Ini kerana intisarinya mengandungi maksud kita mohon dan merayu kepada Allah SWT, berserta dengan kita memuji Allah SWT..

Dalam ayat “maaliki yaumid-din” itu juga disebut “ad-din” iaitu lafaz “musytarikun” iaitu hari ‘agama’ sebagai al-jazak. Sedangkan lafaz “al-jazak” adalah makna asal dalam memahaami “maaliki yaumiddin”, tetapi hikmatnya yang tinggi digunakan “ad-din” supaya diyakini ketika itu berlaku pembalasan mengikut agama. Atas asas agamalah, segala akta, dan undang-undang yang digubal di parlimen atau sebarang keputusan oleh badan tertinggi di dunia seumpama Pertubuhan bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mana yang tidak selaras dengan ad-din akan tertolak.

Memahami waqi’ sedemikian, bulan Ramadhan ini hendaklah dilalui dengan penuh keimanan dan ketakwaan. Ia selari dengan kelebihan beribadat sepanjang Ramadhan akan meningkatkan takwa diri kita di sisi Allah SWT. Firman-Nya:

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah 2:183).
Selamat menyambut Ramadhan Al-Muabarak dengan penuh ketakwaan.

Source: http://www.blogtokguru.com/perutusan-ramadhan-1433h-peluang-merawat-hati-dan-iman/?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+BlogTokGuru+%28Blog+Tok+Guru%29
Baca Selanjutnya...

Thursday, July 19, 2012

Kebangkitan Islam, dunia Arab akan terus berlaku




(Gambar: Abdelilah Benkirane mengucapkan terima kasih kepada Tuan Guru Abdul Hadi kerana bersama dengan kemenangan PJD.)
RABAT: Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berada di Maghribi pada Jumaat dan Sabtu lalu bagi menghadiri Muktamar kali ke-7 Parti Islam Pembangunan dan Keadilan (PJD).
Kehadiran Presiden PAS itu adalah atas jemputan rasmi Perdana Menteri Maghribi Abdelilah Benkirane yang juga ketua parti PJD.
Muktamar yang diadakan di Kompleks Moulay Abdellah itu turut dihadiri 2,000 perwakilan dan puluhan pemerhati dari negara luar khususnya pemimpin negara Arab dan pemimpin gerakan Islam seluruh dunia.


Muktamar kali ini adalah yang pertama diadakan selepas PJD memenangi pilihan raya parlimen yang diadakan November tahun lalu.

Ianya sekaligus menjadi medan meraikan kemenangan parti itu oleh seluruh pemimpin dan ahli PJD.

Turut hadir dan diberi penghormatan berucap pada majlis itu adalah pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.

Pemimpin gerakan Islam yang hadir juga turut mengambil kesempatan mengadakan pertemuan bagi membincangkan hala tuju negara-negara yang kini dimenangi parti Islam dan juga krisis Asia Barat.

Tuan Guru Abdul Hadi juga turut mengadakan pertemuan secara tidak langsung dengan Abdelilah Benkirane sekaligus menyampaikan ucapan tahniah PAS kepada parti PJD pimpinannya itu yang telah memenangi pilihan raya tahun lalu.

Abdelilah Benkirane dalam ucapannya sebelum itu berkata kebangkitan Islam yang berlaku merupakan sesuatu di luar jangkaan dan diyakini akan terus berlaku di negara-negara lain.

"Apa yang berlaku kepada dunia Arab dan umat Islam sekarang ini adalah sukar untuk dipercayai dan ianya akan terus berlaku di tempat lain," katanya dalam ucapan pembukaan Muktamar.

Tuan Guru Abdul Hadi bersama pemimpin Hamas, Khaled Meshaal.

Tuan Guru Abdul Hadi ditemubual wakil media Maghribi.

Source: http://bm.harakahdaily.net/index.php/headline/11768-kebangkitan-islam-dunia-arab-terus-berlaku
Baca Selanjutnya...

Tuesday, July 17, 2012

Ramai bekas pegawai kerajaan masuk Pas

Ramai bekas pegawai kerajaan masuk Pas
Hadirin berdoa pada Himpunan Hijau di Stadium Kuala Selangor, kelmarin.
KUALA SELANGOR - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu menyifatkan tindakan bekas pegawai tinggi kerajaan dan pejuang Umno menyertai Pas pada masa kini mampu menggerunkan pemimpin Umno-BN dan mampu merealisasikan hasrat menawan Putrajaya.

Menurutnya, bekas orang nombor tiga dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Datuk Fauzi Shaari sudah pun menyertai Pas dan menjadi ahli seumur hidup.

Dakwanya, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula sedang mengintaiintai untuk bersama Pas.

“Tan Sri Musa dah kata, perangkaan jenayah yang dikeluarkan PDRM tidak boleh dipercayai, bahkan hakikatnya jenayah meningkat dengan dahsyat,” katanya pada Himpunan Hijau di Stadium Terbuka Kuala Selangor, kelmarin.

Dalam program itu, tiga lagi bekas pegawai kanan kerajaan menyerahkan borang keahlian menyertai Pas iaitu bekas Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang juga bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ismail Hamzah dan bekas Pengarah Kanan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Abd Rahman Taib.

Manakala seorang lagi adalah bekas Pengarah Sumber Manusia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang juga pernah menjawat jawatan Timbalan Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Yusuf Hassan.

Menurut Yusuf, kemasukan golongan pesara kerajaan dalam Pas dapat membantu parti itu dari segi pengalaman mengurus tadbir kerajaan apabila PR memenangi pilihan raya kelak.

“Semua jangan takut kerana kita menyediakan pakar pelbagai bidang dari dalam kerajaan bagi bantu mengurus tadbir negara ini dengan baik. Pengalaman kami, akan dicurahkan untuk bantu rakyat dan menjadi negara yang paling baik,” katanya.

Sementara itu, veteran Umno, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir mendakwa, kerajaan Umno-BN mewujudkan sebuah unit khas melancarkan fitnah terhadap pemimpin pembangkang, sedangkan apabila kenyataan menerangkan keadaan sebenar untuk menafikan dakwaan itu ditolak tepi.“Mereka sudah wujudkan unit khas cipta fitnah, tetapi bila keluarkan kenyataan menerangkan keadaan sebenar untuk menafikan dakwaan itu, tak terbit, mereka teruskan fitnah itu lagi,” katanya.

Beliau turut kagum dengan pendirian ahli Pas yang tetap mempertahankan maruah mereka walaupun menerima tekanan hebat daripada parti yang mentadbir negara selama 54 tahun itu.

Sementara itu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abd Aziz Nik Mat turut menyampaikan amanatnya melalui tayangan video dan menyarankan masyarakat khususnya ahli Pas untuk menumbangkan kerajaan Umno-BN yang dianggapnya sebagai merosakkan perpaduan penduduk negara ini.

Source: http://www.sinarharian.com.my/politik/ramai-bekas-pegawai-kerajaan-masuk-pas-1.67484
Baca Selanjutnya...

Monday, July 16, 2012

Giliran Noryn Aziz Bersama PAS



Nampaknya AC Mizal makin pening. Sokongan untuk Abby Abadi makin bertambah. Kini Noryn Aziz bersama PAS. Dia menjadi tetamu Santai Bersama Selebriti 13 Julai 2012. Tahniah kerana sudi bersama PAS, semoga makin bersemangat.
Juga AC Mizal terpaksalah mendapat semangat Jamal dan Amy Search untuk berdebat dengan Abby Abadi.
Lagu-lagu Jamal Abdillah dan Amy Search masih sedap didengar walaupun mereka Umno. Kalau dari AC Mizal, bolehlah kita dengar debatnya.
Tahniah Noryn. Kini ingin menunggu giliran Nasha Aziz bersama PAS, insyaallah…dia tak akan seksi lagi!!

Source: http://www.harakahdaily.net/index.php/terbaik-dari-blog/11685-giliran-noryn-aziz-bersama-pas
Baca Selanjutnya...