Sunday, October 4, 2009

SIS(Sister In Islam) MAKIN MELAMPAU.......ekoran isu sebat kerana minum arak ke atas Kartika

1. Tindakan Sister In Islam [ SIS ] dan Kumpulan Tindakan Bersama untuk Persamaan Jantina [ JAG ] semakin berani mencabar keputusan mahkamah Syariah berhubung isu sebat ke atas Kartika Dewi yang mengaku bersalah minum arak .

2. Biarpun hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah iaitu 6 sebatan dan denda sebanyak RM 5,000 tidaklah sepenuhnya menepati hukum syara' tetapi sekurang - kurangnya ia membawa semangat perlaksanaan undang - undang syariah dalam negara ini .

3. Jika 6 sebatan sahaja dibantah dan ditentang habis - habisan oleh SIS dan JAG , saya tidak dapat gambarkan bagaimana mereka mahu bertindak jika negara ini benar - benar melaksanakan hukum syara' iaitu antara 40 ke 80 kali sebat bagi mereka yang sabit bersalah meminum arak .

4. Jelasnya SIS dan JAG menggunakan hujjah kononnya hukuman itu kejam , menjatuhkan maruah malah bercanggah dengan hak asasi manusia . [ Jika 6 rotan sudah dianggap kejam ertinya mereka akan berkata 40 rotan sangat kejam .]

5. Hujjah yang dikemukan ini nyata menunjukkan kejahilan mereka terhadap hukuman Islam . Mereka tidak melihat kepada hikmah dan unsur spiritual yang terdapat di dalam satu - satu perlaksanaan hukum Islam . Mereka hanya menilai dari unsur luar pula dengan cara yang salah dan menanggapinya dengan persepsi yang asing dari pandangan syara' dan maqasid syari'yyah .

6. Lebih menghairankan , mereka hanya peka terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah , kononnya hukuman itu kejam dan menjatuhkan maruah serta bercanggah dengan hak asasi manusia , sedang mereka tidak bersuara apa lagi menentang hukuman sebat yang dijatuhkan oleh mahkamah sivil ke atas pesalah dalam pelbagai kes jenayah dalam negara kita . Sedang sebatan dalam hukuman Islam tersangat jauh bezanya dengan sebatan dalam hukum sivil .

7. Sebatan mengikut cara Islam :
a] Panjang rotan tidak lebih 1.22 meter , tebal tidak lebih 1.25 sm
b] Jika pesalah hamil, hukuman dilaksana selepas 2 bulan melahirk anak
c] Sebatan tidak boleh kena muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit.
d] Pesalah lelaki disebat berdiri manakala perempuan dalam keadaan duduk
e] Sebatan dengan kekuatan sederhana
f] Tukang sebat tanpa mengangkat tangannya melebihi kepala
g] Tidak melukakan kulit pesalah.

8. Adapun sebatan mengikut kaedah sivil pula :
a] Rotan yang digunakan terdiri daripada berbagai-bagai saiz.
b] Pesalah akan ditanggalkan pakaiannya dan digantikan dengan pakaian cawat
c] Pakaian cawat hanya menutupi bahagian kemaluan depan sahaja
d] Bahagian daging punggung akan terdedah untuk disebat
e] Pesalah akan dibaringkan secara berdiri pada patung yang dikhaskan dan diikat kedua kaki dan tangan.
f] Sesetengah tukang sebat menyebat dengan cara terus.
g] Sesetengah yang lain menyebat dengan cara sentap.
h] Sebatan dengan cara sentapan lebih menyakitkan kerana dirasakan cebisan kulit tersentap keluar .

9. Jika SIS dan JAG terus menerus begini seperti mempunyai dendam terpendam terhadap Mahkamah Syariah dengan mengambil langkah menentang keputusannya malah mengheret persepsi mereka yang separuh masak terhadap Islam , suka saya tegaskan Dewan Pemuda PAS Pusat sedia berhadapan dengan SIS dan JAG demi memelihara kesucian Islam sekaligus membetulkan tanggapan salah mereka terhadap Islam .

10. Kami sedia turun dalam apa jua medan atau forum , wacana atau debat dan dialog atau bahas . Sila anjurkan dan kami akan hadhir . Tindakan SIS dan JAG sudah keterlaluan . Saya tidak faham , apa yang mereka mahu ? Nak jaga maruah ? maruah siapa ? maruah apa yang mereka nak jaga ?

11. Kalau dihukum itu menjatuhkan maruah , maknanya minum arak itu tidak menjatuhkan maruah . Jika sebat pesalah dengan 6 rotan menggunakan kaedah cara sebatan Islam [ biarpun jumlah sebatan itu tidak menepati hukuman Islam ] dianggap kejam , maknanya membiarkan orang mabuk lalu mengheret berlakunya pelbagai jenayah ekoran mabuk seperti berzina atau membunuh itu tidak kejam .

12. Persoalannya , kenapa hukuman sebat yang diputuskan oleh mahkamah syariah dianggap kejam sedang hukuman yang sama diputuskan oleh mahakamah sivil mereka sepi dan membungkam seribu bahasa . Saya nak tanya , apa sebenarnya yang mereka mahu ?

13. Sekali lagi saya cabar Dr. Hamidah Marican Pengarah Eksekutif Sistem In Islam membuka gelanggang debat ilmiyyah dan jemput kami Dewan pemuda PAS Pusat bagi kita membahaskan Benarkah Sebat Kartika satu Kekejaman yang Menjatuhkan Maruah ?

14. Apakah langkah yang diambil oleh SIS dan JAG sebagai tindakan sengaja mahu memberi tekanan ke atas Mahkamah Syariah dan pihak berkuasa agama dalam negara ini untuk tidak bertindak ke atas pesalah - pesalah agama ? atau mereka suka dan bangga melihat negara ini bebas tanpa batas atas nama hak asasi lalu semua boleh berbuat apa sahaja sekalipun suatu yang bertentangan dengan agama ?

15. Tindakan SIS dan JAG ini menimbulkan interpretasi yang bersimpang siur dan paling dekat , orang - orang yang beriman dan bertaqwa melihat mereka ini berniat jahat terhadap agama Islam dan tidak keterlaluan jika ramai yang menganggap SIS dan JAG berlaku biadab terhadap Islam amnya dan mahkamah Syariah khasnya .

sebelum ini saya telah mengulas isu Kartika . sila
klik di sini
dan juga isu berkait dengan Arak dan hukumannya . sila klik di sini
oleh: Nasrudin Hassan at Tantawi (http://episodeperjuangan.blogspot.com/)
Baca Selanjutnya...

Saturday, October 3, 2009

ORANG-ORANG YANG LALAI @GHAFILUN

Salam sahabat-sahabat,

Ghafilun atau Ghafilin adalah bentuk jama’dari lafaz mufrad "Ghafil", yang ertinya adalah orang yang lalai. Iaitu golongan yang lalai dengan ayat-ayat Allah yang berupa perintah dan larangan janji serta ancaman-Nya, yang di akhirat kelak akan dipertanggung jawabkan di hadapan Allah SWT. Mereka lupa bahawa kehidupan di dunia ini hanya sementara, sehingga mereka melupakan kehidupan akhirat yang abadi.

Mereka dilalaikan oleh harta benda kekayaan, pangkat, anak pinak dan kenikmatan hidup dunia. Semua itu tidak salah dan tidak dilarang jika diperolehi secara yang halal dan diredhai Allah. Semua itu hendaklah menjadi wasilah atau alat bukannya matlamat. Iaitu matlamat untuk mengabdikan diri kepada ALlah.


وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِّنَ الْجِنِّ وَالإِنْسِ لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لاَّ يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ ءَاذَانٌ لاَّ يَسْمَعُونَ بِهَآ أُوْلَـئِكَ كَالأَنْعَـمِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ أُوْلَـئِكَ هُمُ الْغَـفِلُونَ
"Sesungguhnya kami menjadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata tetapi tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai." (Al A’raf:179)


Ciri-ciri orang yang lalai kepada Allah.
1. Mereka cenderung mengikut hawa nafsunya dan melampaui batas terhadap ketentu-ketentuan Allah.

Allah berfirman: "Dan janganlah kamu mengikuti orang yang hatinya telah Kami lalaikan dari mengingati Kami serta menuruti hawa nafsunya dan adalah keadaannya itu melampaui batas." (AL-Kahfi-28)

2. Mereka yang hanya mengetahui/nampak yang lahir/zahir (saja) dari kehidupan dunia.
Mereka terus menerus menempuh jalan yang sesat,tidak mahu mengikut jalan yang benar.

Allah berfirman: "Aku akan memalingkan orang-orang yang menyombong dirinya di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tanda kekuasaan-Ku. Mereka apabila melihat ayat-ayatKu, mereka tidak beriman kepadanya. Dan jika mereka melihat jalan yang membawa kepada petunjuk, mereka tidak mahu menempuhnya, tetapi jika mereka milihat jalan kesesatan, mereka terus menempuhnya. Yang demikian itu, adalah kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami, dan mereka selalu lalai daripadanya." (Al A’raf-146).

Hanya satu jalan sahaja untuk kita tidak tergolong dari kalangan orang yang lalai iaitu firman Allah:

﴿وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالاٌّصَالِ وَلاَ تَكُنْ مِّنَ الْغَـفِلِينَ
"Dan sebutlah nama tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan takut dan dengan tidak mengeraskan suara diwaktu pagi dan petang,dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai." Al 'Araf ayat 205

Jadi, mengingati Allah dan merendahkan diri adalah jalan bagi kita terhindar dari menjadi golongan yang lalai. Sekian terima kasih.
Baca Selanjutnya...

Friday, October 2, 2009

5 perkara>SEBUT-SEBUTLAH SENTIASA.....barulah hati ceria sokmo

4. Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga.
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan samada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya.

Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub.

Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria'(menunjuk-nunjuk) yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik khafi).

Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.


5. Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri.
Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya.

Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

Sekian terima kasih.......disedut daripada koleksi nota-nota tazkirah samada sendiri punya atau orang lain punya. Kita sebarkan ilmu.
Baca Selanjutnya...

Thursday, October 1, 2009

5 perkara>SEBUT-SEBUTLAH SENTIASA.....barulah hati ceria sokmo

Salam teman-teman.
1. Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk.
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah.

Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habis-habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera atau meresap hingga ke hati.
2. Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat.

1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat.

Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang sempit fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) semata-mata hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA).

Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting(jangan tinggal pulak), tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda.
Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

3. Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati.

Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak.

Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat?

Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa? - bersambung
Baca Selanjutnya...