Orang Melayu hendaklah berpandu kepada al-Quran sebagai amalan hidup supaya tidak berpecah belah walaupun mempunyai
fahaman politik berbeza, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau
berkata al-Quran jelas menekankan peranan persaudaraan sesama sendiri,
justeru orang Melayu perlu membina peradaban bangsa berteraskan tamadun
Islam.
"Kalau di negara Arab, bukan semua
orang Arab itu adalah Islam, ada yang menganut agama lain, tetapi di
Malaysia, orang Melayu mestilah beragama Islam, jadi kita perlu membina
tamadun yang berteraskan al-Quran dan hadis yang sahih.
"Selain itu, orang Melayu juga perlu
berusaha menjadi bangsa yang maju dan kita perlu belajar daripada orang
lain seperti Jepun, China atau Korea yang tidak bertentangan dengan
ajaran Islam," katanya pada forum perdana Membina Peradaban Bangsa
Melayu Berteraskan Tamadun Islam di Bangunan Parlimen hari ini.
Selain Dr Mahathir, turut menjadi
anggota panel pada forum anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu
adalah bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad dan tokoh
korporat Tan Sri Muhammad Ali Hashim.
Dr Mahathir berkata jika orang Melayu
ingin membina tamadun bangsa yang berteraskan agama, fahaman tentang
Islam perlu jelas supaya ia lebih menepati kehendak agama itu sendiri.
"Saya yakin kalau kita ikut kehendak
agama Islam sebagai Ad-din dalam kehidupan kita, orang Melayu akan
menguasai sains, dapat mencipta alatan kita sendiri dan bukan sebagai
pengguna semata-mata. Apabila kita menjadi negara maju, ia akan menjadi
sebahagian daripada tamadun kita," katanya.
Beliau berkata orang Melayu perlu
membentuk tamadun Melayu Islam yang boleh mempertahan umat serta
menguasai ilmu pelbagai bidang lebih daripada orang lain.
"Kalau kita cekap dan sedar tentang
tanggungjawab kita kepada bangsa Melayu yang dikaitkan dengan Islam,
kita akan berusaha memajukan bangsa kita, janganlah kita berpecah belah
kerana ia tidak disebut dalam agama kita.
"Apabila kita mempunyai kuasa, guna
kuasa itu dengan baik, tidak ada penindasan dan kita juga mesti
pertahankan agama Islam dan tidak membiarkan agama kita diperlekeh oleh
sesiapa, itulah sepatutnya menjadi sumbangan orang Melayu kepada agama
Islam," katanya.
Abdul Hamid pula berkata bangsa Melayu jangan menjadi bangsa yang terlepas
peluang serta perlu ke depan agar tidak ketinggalan dengan pembangunan sosio-ekonomi yang sedang pesat berkembang.
"Bangsa Arab mempunyai ramai
pemimpin tetapi pada abad ini, mereka terbukti tidak mampu memimpin dan
memanfaatkannya. Sebaliknya di Malaysia, orang Melayu senyap-senyap
telah membina tamadun ini dengan prinsip syariah yang mana kita dalam
proses pembinaan. Saya yakin jika bangsa Melayu bersatu, kita pasti
boleh," katanya.
Beliau berkata cabaran itu perlu
difikir dengan serius oleh 18 juta bangsa Melayu yang merupakan
penggerak ekonomi, sosial dan agama di negara ini.
Sementara itu, Muhammad Ali berkata usaha melahir lebih ramai usahawan
Melayu perlu diterap dari peringkat akar umbi bagi memastikan orang
Melayu terus menjadi pemacu ekonomi negara.
"Ibu bapa perlu mendedahkan dunia perniagaan kepada anak mereka sejak
kanak-kanak lagi, supaya mereka inovatif dan berdaya saing," katanya.
Terdahulu,
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam ucapannya
berkata sokongan serta perpaduan orang Melayu penting bagi memastikan
segala kebajikan, peningkatan ekonomi dan martabat agama dipertahan
tanpa mengabaikan bangsa dan agama lain di negara ini.
"Kita perlukan sokongan orang Melayu
dengan mendapatkan dua pertiga majoriti dalam Pilihan Raya Umum akan
datang. Politik Melayu Islam sekarang perlukan perubahan agar bangsa
Melayu tidak hilang di dunia," katanya.
sUMBER :
http://www.malaysiakini.com/news/224892-
Bernama