Saturday, January 12, 2013

Nama Allah : Hukum Asal, Dakwah dan Siyasah

http://www.zaharuddin.net/soal-jawab-a-isu-pilihan/910-nama-allah-ekslusif-atau-tidak-hukum-asal-dakwah-a-siyasah.html

Nama Allah : Hukum Asal,
Dakwah dan Siyasah
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
  

Perdebatan dan perbahasan terbuka di media-media massa berkenaan isu penggunaan nama Allah oleh Kristian kelihatan sudah agak reda ditenggelami oleh isu-isu politik yang sentiasa kelihatan hangat.  Maka di kesempatan ini, saya terpanggil untuk cuba membuat sedikit ulasan dan huraian kesimpulan bagi menjelaskan letak duduk isu ini, khususnya di sebalik kepelbagaian pandangan khususnya di kalangan ilmuan Islam. Lebih khusus lagi, setelah saya memberi pengisian berkaitan tajuk ini secara online semalam. Boleh download ceramah tersebut di link ini . (sebahagian penerangan tidak dapat dinyatakan dalam tulisan ini bagi mengelakkan terlalu panjang)
BOLEH DOWNOAD PENJELASAN LISAN SAYA DI SINI http://www.mediafire.com/?4i17ush9nk45uiu   
Bagi mereka yang berminat untuk terus membaca, saya nasihatkan agar tuan dan puan dapat membaca dengan bertenang, jangan tergesa-gesa dan jangan melompat serta cepat memebuat konklusi sebelum tamat membaca. Jika tidak, salah faham akan berlaku. Jika tuan dan puan merasakan malas untuk membaca dengan teliti dan sehigga habis, saya menasihatkan agar tidak membacanya atau menangguh bacaan di waktu yang lapang dan tenang. Atau mungkin lebih ringan untuk mendengarkan kuliah terlebih dahulu.
AKIBAT BERBEZA PERSPEKTIF, HASIL BERBEZA
Setelah menyemak dan membaca artikel demi artikel dan huraian oleh pelbagai pihak dalam isu ini, jelas bagi saya bahawa perbezaan ini datang disebabkan target dan objektif setiap tulisan kelihatan cenderung kepada salah satu antara tiga perspektif berikut iaitu :-

  • 1)    Terdapat artikel dan ilmuan yang mengulas dari sudut hukum berdasarkan nas dan teks, tanpa dicampur aduk dengan perspektif lain.


  • 2)    Terdapat artikel yang kandungan isinya jelas berat kepada persoalan dakwah iaitu menjawab alasan Kristian dan mematikan hujah mereka, ia bukan memberi pandangan atas analisa teks Al-Quran.


  • 3)    Terdapat artikel yang diulas berat kepada isu kuasa kerajaan dan siyasah syar'iyyah.


  • 4)    Terdapat yang mengulas bagi meraih sokongan politik dan pengaruh. Bagi menunjukkan ‘kerterbukaan' bagi meraih sokongan bukan Islam, atau menunjuk kehandalan dalam mempertahankan Islam bagi mendapat sokongan orang Islam.

Justeru, saya berharap artikel ini mampu membantu pembaca menyusun idea dan kefahaman agar mampu menetapkan pendirian dengan lebih jitu dan tepat. Mampu memahami kepelbagaian dengan lebih saksama.

1.  NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF TEKS AL-QURAN DAN HUKUM ASAL
Melihat dari perspektif ini, perbincangannya berkisar tentang soalan  
"Adakah dibenarkan dari aspek hukum ‘Aqidah, untuk Kristian menggunakan nama Allah dalam urusan mereka?"
Dalam hal kefahaman hukum dari teks dan nas ini, ia tergolong dalam kategori hukum zhonni. Hasilnya, ilmuan berbeza pendapat dalam menentukan hukum yang paling tepat. Namun begitu, menurut penelitian saya, dari PERSPEKTIF HUKUM AQIDAH yang berdasarkan kepada teks, hukum yang lebih kukuh adalah HARUS ATAU DIBENARKAN bagi Kristian atau lain-lain penganut agama lain untuk menggunakan nama ALLAH bagi merujuk kepada Tuhan.
Ulama yang mengharuskan bersandar kepada dalil dan teks berikut, antaranya ( Lihat kepada teks yang diwarnakan) :- 

  • a.    Firman Allah di dalam Surah az Zumar ayat 3

أَلَا لِلَّهِ الدِّينُ الْخَالِصُ وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ أَوْلِيَاء مَا نَعْبُدُهُمْ إِلَّا لِيُقَرِّبُونَا إِلَى اللَّهِ زُلْفَى إِنَّ اللَّهَ يَحْكُمُ بَيْنَهُمْ فِي مَا هُمْ فِيهِ يَخْتَلِفُونَ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي مَنْ هُوَ كَاذِبٌ كَفَّارٌ 
Ertinya : Ingatlah, hanya kepunyaan Allah-lah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar. 

Ini jelas menunjukkan mereka menyembah berhala kerana ingin dekat kepada Allah. Justeru mereka sedar Allah itu Tuhan. Dan nama Allah itu telah digunapakai oleh mereka sejak dari dulu. Ayat ini menunjukkan situasi di waktu itu dan juga membawa implikasi hukum keharusan kerana Allah tidak membantah kafir memanggilnya sebagai Allah. Walaubagaimanapun, di dalam ayat ini dan ayat-ayat yang lain, Allah SWT membantah tindakan mereka menyekutukanNya. Sekiranya penggunaan itu salah, pastinya Allah akan menafikan perkataan kafir tadi dan mengelakkan dirinya dikait dengan keyakinan sesat kafir musyrik.


  • b.    Firman Allah Surah Yunus ayat 18 :

وَيَعْبُدُونَ مِن دُونِ اللّهِ مَا لاَ يَضُرُّهُمْ وَلاَ يَنفَعُهُمْ وَيَقُولُونَ هَـؤُلاء شُفَعَاؤُنَا عِندَ اللّهِ قُلْ أَتُنَبِّئُونَ اللّهَ بِمَا لاَ يَعْلَمُ فِي السَّمَاوَاتِ وَلاَ فِي الأَرْضِ سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى عَمَّا يُشْرِكُونَ 
Ertinya : Dan mereka menyembah selain daripada Allah apa yang tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada mereka dan tidak (pula) kemanfaatan, dan mereka berkata: ""Mereka itu adalah pemberi syafaat kepada kami di sisi Allah"". Katakanlah: ""Apakah kamu mengabarkan kepada Allah apa yang tidak diketahui-Nya baik di langit dan tidak (pula) di bumi?"" Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka mempersekutukan (itu)

Selagi lagi ayat ini menunjukkan kesalahan kafir musyrik adalah kerana menyengutukan Allah dengan mengambil berhala sebagai perantara dan bukan pada memanggil Tuhan sebagai Allah.


  • c.     Firman Allah surah al-Ankabut ayat 63 :

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّن نَّزَّلَ مِنَ السَّمَاء مَاء فَأَحْيَا بِهِ الْأَرْضَ مِن بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ 
Ertinya : Dan sesungguhnya jika kamu menanyakan kepada mereka: ""Siapakah yang menurunkan air dari langit lalu menghidupkan dengan air itu bumi sesudah matinya?"" Tentu mereka akan menjawab: ""Allah"". Katakanlah: ""Segala puji bagi Allah"", tetapi kebanyakan mereka tidak memahami (nya)
Imam Fakhruddin Ar-Razi berkata ketika mengulas ayat dari surah Yunus dan Ankabut ini :
   
هذا يدل على أن المخاطبين بهذا الكلام كانوا يعرفون الله ويقرون به
Ertinya : Ini menunjukkan mereka yang  ditujukan pertanyaan dan kata-kata ini ( iaitu puak kafir musryik), mereka telah pun sentiasa mengetahui tentang Allah dan sentiasa mengiktirafNya (sebagai tuhan). (Rujuk Tafsir Al-Kabir, 17/86)
 
 
  • d.    Firman Allah surah Al-An'am ayat 136 :

وَجَعَلُواْ لِلّهِ مِمِّا ذَرَأَ مِنَ الْحَرْثِ وَالأَنْعَامِ نَصِيبًا فَقَالُواْ هَـذَا لِلّهِ بِزَعْمِهِمْ وَهَـذَا لِشُرَكَآئِنَا فَمَا كَانَ لِشُرَكَآئِهِمْ فَلاَ يَصِلُ إِلَى اللّهِ وَمَا كَانَ لِلّهِ فَهُوَ يَصِلُ إِلَى شُرَكَآئِهِمْ سَاء مَا يَحْكُمُونَ 
Ertinya : Dan mereka memperuntukkan bagi Allah satu bahagian dari tanaman dan ternak yang telah diciptakan Allah, lalu mereka berkata sesuai dengan persangkaan mereka: ""Ini untuk Allah dan ini untuk berhala-berhala kami"". Maka saji-sajian yang diperuntukkan bagi berhala-berhala mereka tidak sampai kepada Allah; dan saji-sajian yang diperuntukkan bagi Allah, maka sajian itu sampai kepada berhala-berhala mereka. Amat buruklah ketetapan mereka itu.
   
Sahabat besar nabi, Imam Ibn ‘Abbas r.a ketika mengulas ayat ini  berkata :
من إيمانهم إذا قيل لهم من خلق السماء ؟ ومن خلق الأرض ؟ ومن خلق الجبال ؟ قالوا : الله , وهم مشركون
"Dari keyakinan dan iman puak-puak kafir ini apabila ditanya siapa yang menciptakan langit?, dan siapa yang menciptakan bumi?, dan siapa yang menciptakan gunung?. Mereka telah menjawab : ALLAH, namun begitu mereka mensyirikkanNya. 

  • e.    Firman Allah surah Zukhruf ayat 87-88

وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَهُمْ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّى       
 
وَقِيلِهِ يَارَبِّ إِنَّ هَؤُلَاء قَوْمٌ لَّا يُؤْمِنُونَ يُؤْفَكُونَ 
Ertinya : Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: ""Siapakah yang menciptakan mereka, niscaya mereka menjawab: ""Allah"", maka bagaimanakah mereka dapat dipalingkan (dari menyembah Allah)?

  • f.     Firman Allah surah Al-Isra ayat 42 :-

قُل لَّوْ كَانَ مَعَهُ آلِهَةٌ كَمَا يَقُولُونَ إِذًا لاَّبْتَغَوْاْ إِلَى ذِي الْعَرْشِ سَبِيلاً 
Ertinya : Katakanlah: ""Jika ada tuhan-tuhan di katakan, nescaya tuhan-tuhan itu mencari jalan kepada Tuhan yang mempunyai Arasy ( Tuhan yang sebenar)"
Imam Ibn Kathir ketika mengulas tentang kesalahan kafir musyrik dalam surah Al-Isra' ini berkata ia adalah kerana mereka mensyirikkan Allah dengan berhala-berhala mereka. Padahal mereka telah  mengakui Allah sebagai Tuhan, itu tidak dicela, apa yang dicela adalah tindakan mereka mensyirikkan Allah dengan berhala mereka. Beliau berkata:

"Ayat ini boleh difahami iaitu arahan Allah kepada Nabi Muhammad untuk bertanya kepada kepada kafir musyrikin yang menyangka ada bagi Allah sekutu-sekutu dari kalangan makhluk yang sehingga dijadikan barang sembahan selain Allah, kononnya sebagai perantaraan mendekatkan diri kepada Allah. ( Tafsir al-Quran Al-Azim)

Jelas dari dalil-dalil ini menunjukkan nama Allah sebagai TUHAN TIDAK EKSKLUSIF kepada orang Islam sahaja, cuma orang Islam adalah eksklusif pada pandangan Allah kerana menggunakannya dengan betul dan tepat.

Dakwaan Dr Khalif Muammar[1] yang mengatakan pengunaan nama Allah yang wujud dalam ayat-ayat di atas semuanya adalah sebelum diIslamisasikan adalah satu dakwaan tanpa bukti yang jelas.

Apakah dalil mukhassis yang ingin digunakan oleh beliau dalam menegaskan pandangan itu?. Jika surah al-Ikhlas ingin dijadikan dalil, maka surah ikhlas adalah suatu penjelasan konsep tauhid dan pengunaan nama Allah secara tepat sahaja. Ia bukan mukhassis kepada umum satu waktu kepada waktu yang lain. Justeru apakah dalil bagi menganggap Allah di zaman jahiliyyah yang disebut dalam ayat itu terhad kepada satu waktu tertentu, dan tidak selepas kebangkitan Nabi SAW ?

Bagi saya, ayat-ayat di atas tadi jelas menunjukkan pengunaan nama Allah bagi bukan Islam dibenarkan dari dulu sehingga sekarang bagi merujuk kepada Tuhan, tidak ada persoalan ‘Tuhan Umum' dan ‘Tuhan Khusus' dalam bab ini. Yang ada adalah kes kafir musyrik beriman kepada ketuhanan Allah tetapi mereka sesat kerana mensyirikkan Allah.

Dr Khalif juga berkata :
"Here the word Allah cannot mean the true God because they don't know who Allah is simply because no prophet was sent to them. Therefore, the use of Allah here is to mean God in general."

Dakwaan ini agak ganjil bagi saya, kerana Nabi-nabi telah dihantar secara bersambung-sambung dari nabi Adam, walau dimusim ketiadaan nabi seperti zaman bapa nabi, beliau menggunakan nama Abdullah merujuk kepada syariat yang dibawa oleh nabi sebelumnya iaitu nabi Isa.

Justeru, Arab jahiliyah hakikatnya mengetahui siapa itu Allah dan boleh membaca berkenaannya melalui syariat Nabi sebelum Nabi Muhammad. Bukankah bapa saudara Khadijah bernama Waraqah Bin Nawfal yang meramal Nabi Muhammad akan menjadi Nabi, itu tahu siapa itu Allah melalui wahyu kepada nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad.[2]

Lihat pula bagaimana seorang penyair Jahiliyah bernama Lubayd Bin Rabi'ah selalu mempersembahkan syairnya, lalu baginda Nabi mengakui satu syair Lubayd yang ada menyebut nama Allah. Hadis Nabi ini berbunyi :-
أصدق كلمة قالها شاعر , كلمة لبيد بن ربيعة : ألا كل شيء ما خلا الله باطل 
Ertinya : Sebenar-benar perkataan yang dikatakan oleh penyair (Jahiliyah) adalah perkataan Lubayd bin Rabiah yang berkata : "Ketahuilah semua perkara selain Allah adalah batil (hancur)"[3]

Jelas dari hadis ini bahawa Jahiliyyah dahulu sudah kenal Allah dan kekuasaan-Nya, Cuma mereka menyembah berhala sebagai perantara lalu syiriklah mereka.

Selain itu, bukankah terdapat dalam sirah nabawiyyah, apabila sahabat nabi menyebar kalimah tauhid kepada pemimpin kafir, sebahagian mereka memberi response :
إذن تحاربك العرب و العجم 
"kalau begitu, ‘Arab dan ‘ajam (bukan arab) pasti akan memerangimu" kata-kata mereka ini menunjukkan arab Jahiliyyah memahami erti nama Allah dan erti mentauhidkan Allah, tetapi mereka degil dan tetap mahu mensyirikkan-Nya dengan berhala mereka kerana itu adalah ajaran nenek moyang mereka dan mereka beroleh manfaat duniawi dari kepercayaan itu. Lalu pengakuan kalimah Shahadah bakal mengubah keseluruhan hidup mereka.  [4]

Maka oleh itu, dari dalil-dalil di atas, jelas Allah membiarkan nama-Nya digunapakai oleh kafir Musyrik apabila merujuk sebagai Tuhan pencipta, namun Allah ta'ala mengutuk dan membetulkan kesalahan mereka apabila mereka menyekutukan Allah dengan selain-Nya.

Justeru itu, jika Kristian di Malaysia atau dimana juga, jika mereka ingin menggunakan nama Allah merujuk kepada Tuhan pencipta, ia adalah benar, betul dan diharuskan. Kerana Allah sememangnya Tuhan dan pencipta dan maha berkuasa. Namun tindakan mereka mengaitkan Allah dengan trinity, berhala dan sebagainya adalah Syirik dan salah dan dikutuk oleh Allah sendiri di dalam Al-Quran. Pun begitu, pokoknya, mereka HARUS menggunakan nama Allah apabila ingin merujuk kepada Tuhan, kerana Allah sememangnya Tuhan, apa yang TIDAK HARUS adalah mensyirikkanNya dengan yang lain.

Malah penggunaan nama Allah dan pengakuan ketuhanan Allah ini juga dapat dilihat dalam syair-syair Arab Jahiliyyah, seperti syair oleh Ubayd bin Abras :
من يسأل الناس يحرموه * وسائل الله لا يخيب
Ertinya : Sesiapa yang meminta dari manusia, tidak diberi * dan yang meminta dari Allah tidak rugi.

Syair dari Uways Bin Hujr:
وباللات والعزى ومن دان دينها * وبالله إن الله منهن أكبر 
Ertinya : dan demi Latta dan Uzza dan yang hampirinya* dan demi Allah, sesungguhnya Allah itu lebih besar dari mereka (berhala) [5]

JADI, ADAKAH KALAU MEMBENARKAN KITA AKAN JADI KUFUR KERANA IKTIRAF KESYIRIKAN MEREKA?

Tidak begitu, apa yang dibenarkan oleh Allah ta'ala sendiri adalah bukan Islam boleh guna nama Allah apabila merujuk kepada Tuhan, tetapi Allah mengutuk dan melarang mereka mensyirikkanNya. Justeru, itulah tugas umat Islam, berdakwah dan memperbetulkan keyakinan salah mana-mana kafir yang mensyirikkan Allah dengan yang selainNya. Kita tidak boleh menafikan benarnya dakwaan mereka bahawa nama Allah itu juga merujuk kepada Tuhan, apa yang kita mesti dan boleh nafikan hanyalah Allah itu tidak punyai anak, dan sekutu. 

Atas asbab itulah wujudnya tugas berdakwah, bagi mengajak mereka kembali kepada mentauhidkan Allah. Jika kita telah atau sedang berdakwah, MEREKA TETAP DEGIL, Allah mengajar kita meletakkan pendirian seperti berikut :-

·       Biarkan mereka dengan agama dan keyakinan salah mereka dan pisahkan diri kita dengan keyakinan mereka. Pendirian ini nyata dari firman Allah berikut :-

وَإِن كَذَّبُوكَ فَقُل لِّي عَمَلِي وَلَكُمْ عَمَلُكُمْ أَنتُمْ بَرِيئُونَ مِمَّا أَعْمَلُ وَأَنَاْ بَرِيءٌ مِّمَّا تَعْمَلُونَ 
Ertinya : Jika mereka mendustakan kamu, maka katakanlah: ""Bagiku pekerjaanku dan bagimu pekerjaanmu. Kamu berlepas diri terhadap apa yang aku kerjakan dan aku pun berlepas diri terhadap apa yang kamu kerjakan (Yunus : 41)

Firman Allah :-

وَإِذَا سَمِعُوا اللَّغْوَ أَعْرَضُوا عَنْهُ وَقَالُوا لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ سَلَامٌ عَلَيْكُمْ لَا نَبْتَغِي الْجَاهِلِينَ 

Ertinya : Dan apabila mereka mendengar perkataan yang tidak bermanfaat, mereka berpaling daripadanya dan mereka berkata: ""Bagi kami amal-amal kami dan bagimu amal-amalmu, kesejahteraan atas dirimu, kami tidak ingin bergaul dengan orang-orang jahil ( Al-Qasas : 55 )

Firman Allah :-
لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ 

Ertinya : Untukmulah agamamu dan untukkulah agamaku (Al-Kafirun : 6)

KESIMPULAN : Hasil dari beberapa petikan dan kumpulan teks al-Quran ini, majoriti ulama Islam di  zaman silam sehingga hari ini dari pelbagai Negara telah berijtihad, hukum HARUS bagi bukan Islam untuk menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Namun kesalahan mereka yang perlu didakwah dan diperbetul adalah kerana menyekutukan Allah sahaja. Itulah juga pandangan yang terlebih kuat pada hemat saya. Namun perlu difahami, hukum HARUS di peringkat ini tidak semestinya akan berterusan pada setiap keadaan sehingga mesti dibenarkan oleh kerajaan Malaysia tanpa banyak soal. Satu faktor lain mesti diteliti iaitu faktor dakwah dan penjagaan konflik yang boleh mengugat keamanan.


2.    NAMA ALLAH DARI PERSPEKTIF DAKWAH

Faktor dakwah yang saya maksudkan di sini boleh merujuk kepada Maqasid Shariah yang pertama iaitu ‘mempertahankan Islam' (Hifdzu ad-Din). Menurut Imam As-Syatibi, mempertahankan aqidah Islam adalah wajib dalam dua bentuk iaitu:-

  •  Mengukuhkan aqidah Islam melalui ajaran, ajakan dan sebaran kefahaman tauhid yang betul.

  • Mempertahankan aqidah Islam dari penyelewangan, pengeliruan dan gangguan gerakan bukan Islam.

Apabila saya merujuk kepada penulisan beberapa tokoh dan ilmuan di Malaysia dalam isu penggunaan nama Allah ini, saya melihat majoriti mereka mencampur adukkan fokus dan penyataan hukum disebabkan terpengaruh dengan faktor kedua ini. Mereka banyak mengulas dalam konteks ini berbanding konteks hukum asal dan asas.
Sebagai contoh:-
Prof Madya Dr Khadijah Hambali [6] dalam tulisannya membuktikan TIDAK BENARNYA dakwaan Kristian dan rasional mereka yang ingin menggunakan nama Allah kerana nama itu yang wujud di dalam kitab bible asli mereka. Beliau membawakan petikan-petikan yang membuktikan hujahnya. Di samping itu, beliau juga mengulas ketidakwajaran terjemahan God kepada Allah dari sudut bahasa dan mempertikaikan rujukan Kristian dalam hal ini.
Saya bersetuju dengan hujjah Dr Khadijah ini, namun perlu difahami apa yang dibawakan oleh Dr Khadijah sebenarnya lebih cenderung kepada faktor dan objektif dakwah, kerana ia jelas memperlihatkan beliau menolak keharusan (penggunaan nama Allah oleh Kristian), melalui kaedah menghancurkan hujjah Kristian, selain menimbulkan keraguan kepada sumber rujukan Kristian itu sendiri. Saya tidak melihat beliau mengulas dari perspektif hukum Islam berasaskan dalil-dalil al-Quran tetapi beliau berusaha mematikan alasan kumpulan Kristian agar melaluinya diharap dapat melunturkan keinginan Kristian untuk meneruskan permohonannya.  Ini bermakna Dr Khadjiah menolak atas dasar dan rasional untuk mempertahankan dakwah Islam dan aqidah Islam dalam konteks semasa, bukan atas hujjah teks Al-Quran dan Hadis secara specifik. Ia jelas cara seorang pendakwah mengemukakan hujahan balas kepada pihak bertentangan. Kesimpulannya, hukum larangan dan bantahan yang dikemukan oleh Dr Khadijah berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat dan bukan hujjah menafikan hukum asal keharusan.
Ada juga yang penulis yang berhujjah termasuk Dr Khadijah dan ramai lagi penulis lain, menyatakan bahawa kebenaran TIDAK BOLEH diberi kerana Kristian menggunakan nama ALLAH PADA KONTEKS DAN MASKUD YANG SALAH, seperti dikaitkan sebagai Tuhan bapa, mensyirikanNya dan sebagainya.
Bagi saya ini bukanlah hujjah yang betul untuk melarang, kerana JIKA semua penganut Kristian menggunakan Nama Allah pada tempat yang betul maka tidaklah mereka menjadi Kristian, lalu mereka akan seolah mengikut Islam secara paksaan pula. Bukankah mereka bukan Islam dan mempunyai keyakinan agama tersendiri?. Maka kita tidak boleh memaksa mereka untuk mengikut penggunaan nama Allah pada tempat yang betul menurut aqidah Islam kerana mereka BUKAN ISLAM (atau belum). Apa yang boleh dilarang adalah MENYEBAR KEKELIRUAN DAN AJARAN SALAH MEREKA (MENURUT PERTIMBANGAN AQIDAH ISLAM) ITU KEPADA UMAT ISLAM.
Dato' Dr Haron Din, dalam rakaman penjelasannya memperlihatkan beliau menolak dan memberi amaran atas dasar maslahat dakwah dan bukan sangat bergantung kepada teks al-Quran dan Hadis.
Tulisan Dr. Syed Tawfiq Al-Attas[7], yang juga jelas memperlihatkan ulasannya menolak rasional terjemahan God kepada Allah dari sudut bahasa. Selain itu, beliau juga menolak alasan Kristian yang kononnya cuba merujuk kepada Bible. Kedua-dua bantahan Dr Syed ini bukanlah ulasan dari perspektif hukum dan Aqidah Islam tetapi lebih kepada mematikan alasan Kristian, sama seperti Dr Khadjiah. Justeru, tulisannya lebih mirip sebuah tulisan terpengaruh dengan objektif dakwah. Ia lebih kepada sebab dakwah dan bukan hujjah teks Al-Quran secara specifik. Hukum larangan yang diletakkan oleh Dr Syed ini jelas berpaksikan hujjah dan maqasid dakwah dan situasi setempat sebenarnya.
Hal yang sama juga boleh dilihat dalam tulisan Pegawai JAKIM, Ust Aizam Mas'oud. Yang dengan jelas penulisannya berobjektif dakwah berbanding menjelaskan hukum asal. Dari 5 hujjah yang dikemukakan hampir kesemuanya membantah melalui bangkangan hujjah dan alasan Kristian. Hanya satu sahaja ulasan mengulas teks Al-Qurqan, beliau menyertakan dua hujjah menolak. Namun kedua-duanya tidak kukuh tapi tidak sempat untuk saya ulas di kesempatan ini.
Begitulah juga Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan dalam fatwa tahun 2008, pandangan Ketua Pengarah JAKIM dan hampir semua pegawai-pegawai JAKIM dan IKIM yang lain. Semua mereka bagi saya, mengulas dari sudut realiti dakwah, situasi khas di Malaysia dan berobjektif mempertahankan dakwah dalam konteks dan situasi khusus Malaysia. Ia bukan mengulas dari sudut hukum asal dari teks Al-Quran.
Malah tulisan ringkas  saya yang disiarkan dahulu di web ini juga, selepas saya menyatakan hukum asal adalah HARUS, TETAPI realiti dan konteks semasa dakwah di Malaysia BOLEH menghasilkan keputusan ijtihad yang berbeza, iaitu LARANGAN.
Namun begitu, walapun larangan telah difatwakan secara rasmi oleh Majlis fatwa dan disokong oleh Institusi keagamaan rasmi dalam negara, ia tetap sebagai sebuah ijtihad. Ijtihad hasil penelitian konsep mudarat dan manfaat kepada umat Islam dan keharmonian rakyat.
Oleh kerana itu, pertimbangan seseorang dan sesuatu organisasi dengan yang lain, dalam melihat kesan manfaat dan mudarat mungkin berbeza. Hasilnya, beberapa ilmuan seperti Dr Mohd Asri, YB Khalid Samad, Dr Dzulkefli Ahmad, dan parti politik seperti PAS, PKR dan sebagainya terus berpegang dengan hukum asal, iaitu membenar dan mengharuskan orang Kristian untuk menggunakan kalimah Allah tersebut. Jangan pula meletakkan syarat agar "Kristian TIDAK MENYELEWENGKAN penggunaan nama Allah", ini kerana seleweng mengikut piawaian kita tidak sama dengan penyelewengan mengikut piawaian mereka. Justeru, syarat perlu konkrit dan jelas.

namaallah2.jpg
namaallah3.jpg

namaallah4.jpg
Baca Selanjutnya...
http://www.sinarharian.com.my/nasional/nik-aziz-bukan-islam-wajar-diberi-ruang-guna-kalimah-allah-1.119168

Nik Aziz: Bukan Islam wajar diberi ruang guna kalimah ALLAH
ROSMIZA KASIM
8 Januari 2013
Nik Aziz
Nik Aziz
KOTA BHARU - Di sebalik percanggahan pendapat mengenai isu kalimah ALLAH, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berpendapat sepatutnya orang bukan Islam diberi ruang menggunakannya.

Katanya, itu adalah pendapat peribadi beliau.

Sehubungan itu katanya, keputusan muktamad akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Ulama Syura Pas, Sabtu ini.

Menurutnya, ruang tersebut boleh diberikan namun beliau menegaskan penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam adalah berdasarkan ketetapan tertentu.

"Ini pandangan saya, sekiranya mesyuarat nanti tidak memberikan kebenaran, saya akan ikut," katanya kepada media.

Terdahulu beliau merasmikan majlis Penyampaian Watikah dan Seminar Ahli Pihak Berkuasa Tempatan Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
Baca Selanjutnya...

Friday, January 11, 2013

Fenomena Amanat dan Takfir - PRESIDEN PAS


Saya tidak menduga petikan ucapan saya diawal 80-an telah dimartabatkan oleh seorang peniaga agama dalam PAS yang telah melompat masuk UMNO selepasnya, telah dijadikan satu polemik. Petikan ucapan saya ini pula secara terancang telah dijadikan hujah untuk merendahkan PAS, dan saya dijadikan sasarannya. Saya percaya bahawa isu lama ini diberi nyawa semula oleh UMNO, mungkin kerana menutup isu yang dikira menghantui mereka, seperti kegusaran generasi peneroka FELDA dan penyelewengan yang berlaku kepada FELDA, riuh-rendah pembongkaran Deepak, penganiayaan mereka terhadap orang Melayu, dan lain-lain kelemahan kerajaan UMNO-BN yang begitu menekan mereka di hujung penggal pemerintahan ini. Alhamdulillah, saya baru sahaja selangkah kehadapan untuk menyahut cabaran, manakala mereka pula berundur sepuluh langkah kebelakang.

Isu “takfir” (kafir mengkafir) dicetuskan oleh golongan sekular di dalam UMNO, diseluruh dunia Islam, termasuklah di negara Arab, bagi menyanggah kebangkitan Islam di zaman selepas mencapai kemerdekaan seawal tahun 60an. Kebanyakan kalangan umat Islam menjadi mangsa serangan pemikiran barat sehingga berjuang menganut ideologi yang dibawa oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam. Kalangan umat yang masih menganut Islam, tetapi kerana jahilnya telah menghina hukum-hukum Islam yang dinaskan dalam al-Quran dan Hadith sahih lagi mutawatir, seperti halal dan haram, hukum-hukum yang berkait dengan negara dan masyarakat, politik,ekonomi dan sebagainya.

Ada yang menghalalkan riba, arak dan judi, menghina hukuman qisas dan hudud, mempersenda hukum menutup aurat dan sebagainya, kerana kejahilan. Di waktu itulah kita mendengar istilah ‘hantu kum-kum’ dilabelkan kepada kalangan muslimat yang menutup aurat dan memakai hijab. Ada pula yang berdiri diatas pentas komunis yang menolak adanya Tuhan dan menolak agama, dalam keadaan masih bersembahyang. Sebahagian umat Islam pula tetap berpegang teguh dengan ajaran Islam dan mempertahankannya, tetapi mempelajari kitab turath (kitab-kitab lama) yang menegaskan hukum murtad berdasarkan kepada kefahaman masyarakat dizaman kita bitu dikarang, sebelum umat Islam dijajah sepenuhnya. Akhirnya berlakulah gejala murtad secara jahil di satu pihak dan penentangan terhadapnya disatu pihak yang lain, sehingga meledakkan isu kafir mengkafir dalam masyarakat Islam.

Isu ini berlaku diseluruh dunia Islam. Malangnya golongan yang berkuasa memerintah mengambil kesempatan perpecahan masyarakat Islam bagi mengekalkan kedudukan mereka diatas landasan yang salah dan menjadikan parti Islam dan paraulamanya sebagai kambing hitam yang dikorbankan dengan hukuman bunuh, penjara dan sebagainya.Terpenting bagi mereka yang berkuasa adalah untuk menang bagi terus memerintah selama-lamanya dengan cara yang salah, tanpa ambil peduli kerosakan akidah yang berlaku. 

Ramai di kalangan ulama PAS dan pemimpinnya merengkuk dalam penjara sejak awal60an, malangnya ramai pula kalangan agamawan yang menjadi syaitan bisu, tidak berani menegur atau menasihati pemimpin yang menghina Islam. Maka meledaklah pada waktu itu kenyataan seperti : “Kalau laksanakan hukum Islam berlakulah huru-hara, tak  cukup batu nak bina jalan dan bangunan, boleh  makan sup tangan bila banyak tangan dipotong kerana mencuri” dan sebagainya. Di peringkat kampung ada yang menjadi imam masjid membuat ucapan yang sama kerana jahil hukum Islam sepenuhnya, hanya  tahu hukum sembahyang dan ibadat yang lain sahaja. Terlalu jauh untuk mengetahui sistem politik, ekonomi Islam dan segala sistemnya sehingga keperingkat antarabangsa dan angkasa lepas.

PAS dan parti Islam di negara lain menghadapi cabaran getir bagi membetulkan masyarakat yang songsang pemikirannya ini. Ketika itulah kita berdepan dengan umat yang jahil, para ulama yang lemah dan kerajaan yang zalim. Di negara Arab,Mursyid Am Ikhwan Muslimin Sheikh Hasan Hudaibi menulis buku “Nahnu Dua’at La Qudat” (Kita Pendakwah Bukan Hakim Yang menjatuhkan hukuman). PAS berada dalam kerajaan campuran 1970 -1978 memberi kesempatan kepada bahagian agama Jabatan Perdana Menteri, menerbitkan buku Mustika Hadith Jilid 1 menampilkan perkara yang merosakkan iman (membatalkan iman), bagi menyedarkan penganut Islam adanya perkara yang membatalkan Dua Kalimah Syahadah, bukan sahaja membatalkan sembahyang. Malangnya ramai kalangan pengikut UMNO tidak mempelajarinya di waktu itu.

Apabila PAS ditendang keluardaripada BN pada tahun 1979 isu kafir mengkafir dihidupkan semula. Pimpinan PAS dibawah pimpinan Datuk Asri, telah menugaskan saya menulis buku kecil dengan tajuknya “Batas – Batas Iman dan Kufur” dengan huraian yang lebih terperinci daripada kitab Mustika Hadith yang terlalu ringkas penerangannya. Saya panjangkan lagi dalam buku yang saya namakan Muqaddimah Aqidah Muslimin.

Apabila kalangan UMNO yang masih bebal memainkan isu tersebut, mereka sengaja mencari mana-mana ucapan saya yang difikirkan menjadi hujah bagi mereka, sehingga ke satu capan saya di selidik oleh pasukan yang ditugaskan secara khusus, maka terpilih sedutannya yang difikirkan munasabah. Saya telah dicabar dalam sidang Dewan Undangan Negeri 1982. Saya terus menjawab :”Ya ! Sebenarnya itu ucapan saya “. Maka hamba Allah yang mencari peluang terus mengangkat martabatnya kepada nama amanat yang disebarkan kepada umum. Namun petikan secebis daripada ucapan yang panjang itu tidak merosakkan sedikit pun mesej untuk menyelamatkan umat daripada gejala murtad secara jahil dan tidak sengaja.

PAS berulang kali mengajak kalangan ilmuwan agama dalam UMNO secara langsung dan melalui pihak ketiga kalangan NGO Islam, dengan ruang terbuka dengan UMNO boleh mendapat khidmat daripada mana-mana mufti yang sanggup menjadi khadamnya, kalau malu secara tertutup atau tidak mahu secara terbuka. UMNO tidak menjawab.

Tiba-tiba Presiden UMNO di masa itu memberi isyarat kepada kalangan agama dalam UMNO supaya berdebat, dengan tajuk secara unilateral pihak UMNO yang menentukannya tanpa berunding dengan pihak PAS, pihak UMNO melantik pengerusi dan penentuan masa. PAS menerima dengan terbuka. Akhirnya PAS dipujuk membatalkan debat dengan UMNO, padahal UMNO lah yang membuka pintunya. Akhirnya UMNO terpaksa diselamatkan oleh perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang mengisytiharkan pembatalannya seperti perisytiharan tarikh puasa dan hari raya.

Saya bentangkan senario tersebut semata –mata untuk pengetahuan generasi muda yang belum lahir atau belum baligh  di masa itu , kerana ada kalangan yang tidak ada pengetahuan hujung pangkalnya lalu membuat kenyataan tanpa pengetahuan yang sebenarnya.

Apa yang penting bagi kita semua ialah tidak kedengaran lagi suara dari kalangan orang Melayu yang bercakap bahawa politik tidak ada kaitan dengan agama ataupun yang berani menghina hukum Islam seperti yang berlaku dalam tahun 80an dahulu. Di sini kita mendahului Arab Spring yang masih mencetuskan kalangan nasionalis Arab yang menghina Islam. Maka saya nasihatkan kepada ahli PAS tidak melatah dengan permainan kalangan UMNO yang masih jahil atau hanya mencari kesempatan tanpa batas halal dan haram atau tanpa perhitungan dosa dan pahala.

Firman Allah yang bermaksud:

"Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredhaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan sopan santun, dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat sejahtera dari perkara yang  tidak diingini." (al-Furqaan : 63)


Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
10 Januari 2013

Baca Selanjutnya...

Thursday, January 10, 2013

KENYATAAN MEDIA DATO TUAN IBRAHIM TUAN MAN - HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT

PAS mengalu-alukan kebenaran Pihak Stadium Merdeka yang memberi kebenaran kepada peserta HKR berhimpun pada 12hb ini serta jaminan pihak polis untuk mengawal bagi  mempastikan tiada kekecohan yang sengaja diwujudkan oleh pihak-pihak tertentu.

Sehubungan itu, seluruh jentera keselamatan dan Unit Amal PAS dan orang ramai disaran turut berperanan bagi merakam sesiapa sahaja yang cuba lakukan provokasi pada hari tersebut. Sebarang ucapan yang menyerang peribadi mana-mana individu, mengapi-apikan isu perkauman dan agama, perkataan bersifat provokasi mesti dielakkan.


PAS juga menerima maklumat terdapat pihak-pihak tertentu yang dibekalkan baju HKR yang akan menyusuk masuk dalam himpunan bagi tujuan yang meragukan.

 
PAS berharap pihak polis dan pasukan keselamatan mestilah mengutamakan keselamatan rakyat dan menggunakan uniform rasmi beserta tanda nama bagi menyakinkan orang ramai dan mengelak berulangnya kekecohan di perhimpunan Bersih 3.0.



Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat
Baca Selanjutnya...

Monday, January 7, 2013

Mufti syor Majlis Fatwa jemput Hadi


Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad
SHAH ALAM – Majlis Fatwa Kebangsaan mesti menjemput Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk mendapatkan penjelasan bagi menyelesaikan kemelut berkaitan dengan apa yang dipanggil Amanat Haji Hadi.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad menegaskan, isu yang menjadi kontroversi itu tidak boleh diselesaikan hanya dengan berdasarkan laporan akhbar.

"Ia mesti mengikut prosedur. Datuk Seri Abdul Hadi perlu dijemput untuk berbincang dan bagi mendapatkan penjelasan. Ia tidak boleh diselesaikan mengikut andaian," katanya.

Mengenai fatwa yang dikeluarkan mengenai amanat itu, Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan tidak boleh bergantung kepada fatwa yang dikeluarkan oleh majlis fatwa di peringkat negeri.

Kuasa mengeluarkan fatwa, katanya, adalah kuasa negeri dan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tidak semestinya satu keputusan mutlak kerana kuasa agama kekal di bawah kuasa negeri.

Beliau menjelaskan, fatwa sesebuah negeri boleh diguna pakai oleh negeri yang menggazetnya.

“Jika fatwa yang dikeluarkan di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan hanya di peringkat kebangsaan, dan ia tidak akan dibawa ke negeri, ia tidak menjadi undang-undang keseluruhan kerana ia berperanan menyelaras sahaja,” katanya.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya pula menegaskan tiada fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan secara khusus mengenai Amanat Haji Hadi yang menjadi isu kontroversi itu.
Katanya, beberapa fatwa yang dikeluarkan mengenai isu seumpama itu adalah dibuat oleh majlis fatwa peringkat negeri.

Sebuah daripadanya adalah Majlis Fatwa Negeri Melaka, yang dikeluarkan pada 2002.

Fatwa yang diputuskan di peringkat negeri, katanya, tidak semestinya boleh diguna pakai oleh negeri lain.

“Fatwa yang ada itu ialah mengenai isu kafir-mengkafir, sama seperti fatwa (yang dibuat) oleh Kelantan. Fatwa yang ada dalam laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hanya fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Negeri Melaka,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, fatwa yang dikeluarkan oleh negeri tertentu terhad kepada negeri berkenaan sahaja, sementara negeri yang mempunyai raja atau sultan perlu mendapat perkenan raja atau sultan masing-masing.

"(Untuk) isu yang berlaku di negeri tertentu, hanya negeri (yang terlibat) itu patut mengeluarkan fatwa mengenainya,” katanya

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/mufti-syor-majlis-fatwa-jemput-hadi-1.118705
Baca Selanjutnya...