(Orang ramai yang memenuhi Bandar Pusat Jengka dalam jelajah Negara Berkebajikan)


JENGKA: Susah nak membuat perancangan cuti, kahwin, lawatan ke luar negara, umrah mahupun tugasan kerja kerana masih tidak mengetahui tarikh pilihanraya umum?

Usah bimbang. Perkara ini tidak akan berulang apabila Pakatan Rakyat mengambilalih Putrajaya selepas pilihanraya umum ke 13.

“Pakatan Rakyat berjanji tarikh PRU yang seterusnya akan diketahui satu tahun lebih awal supaya rakyat boleh bersedia,” kata Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) di dalam ceramah bersama Treler Negara Berkebajikan di Bandar Nadi Jengka semalam.

Ceramah semalam menerima sambutan yang mengejutkan dengan ribuan hadirin. Ia turut disiar secara langsung oleh TVMakmur dan TVMAKMUR.fm yang dikendalikan Jabatan IT PAS Pahang.

Dalam ucapannya, Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata ramai yang merintih dengan kepayahan membuat perancangan kerana tarikh PRU13 masih tidak diketahui.

“Ada yang nak pergi berumrah bimbang bila pergi, PRU13 diadakan. Ada yang nak kahwin takut bertembung dengan tarikh PRU13,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata beliau sendiri turut mengalami kesusahan yang sama ketika melangsungkan perkahwinannya pada tahun 1986.

“Hari saya kahwin ialah hari mengundi. Awal pagi saya pergi mengundi di Batu Balai sebelum bergegas ke Kuantan. Nasib baik tunang tak lari,” katanya yang menghiburkan hadirin.