Saturday, April 6, 2013

Selepas daftar 2 hari, dapat kontrak 7 tahun


Harakahdaily,05 Apr 2013

TEMERLOH: Syarikat YP Maintenance Sdn Bhd yang dimiliki Johari Harun dan Syufina Yaakob mencipta sejarah apabila mendapat kelulusan kontrak untuk menyelenggara jalan seluruh negeri Pahang selama tujuh tahun hanya selepas 2 hari ditubuhkan.

Mengikut carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia, syarikat YP Maintenance didaftarkan pada 4 Februari 2013 dengan nombor pendaftaran 1033787.

(Surat kelulusan kontrak tujuh tahun dari kerajaan negeri Pahang kepada YP yang diluluskan pada 6 Februari 2013)

“Ini bermakna syarikat itu dianugerah projek sebegitu besar pada usia 2 hari. Ini jelas satu salahguna kuasa dan cara merompak duit rakyat sinomim dengan budaya kerajaan Umno-BN yang diketahui umum,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut carian SSM, terdapat dua ahli lembaga pengarah syarikat iaitu Johari Harun  (No KP: 700120-06-5739) yang beralamat di Janda Baik dan Syufina Yaakob (No KP 800912-02-5514) yang beralamat di Batu Caves. (SSM3.jpg)

Tidak dapat dipastikan samada mereka khasnya Syufina Yaakob mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Semakan Harakahdaily dengan laman web SPR mendapati, Johari Harun mengundi di Janda Baik, Ketari di bawah parlimen Bentong, kawasan datuk Adnan Yaakub. Namun begitu semakan terhadap nama Syufina berdasarkan no kad pengenalannya mendapati  tidak ada sebarang rekod dinyatakan.

Sebelum ini, Harakahdaily mendedahkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang bersidang pada 6 Februari 2013 telah menganugerahkan kontrak berkenaan kepada YP Maintenance.

Kontrak 7 tahun itu diketahui umum dengan kemunculan sepucuk surat yang ditandatangani Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang Datuk Ir Haji Rosman Haji Yahya bertarikh 27 Februari 2013. (lihat SSM4.jpg)

Satu surat rasmi mendedahkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang bersidang pada 6 Februari 2013 telah menganugerahkan satu kontrak penyelenggaraan jalan negeri Pahang kepada sebuah syarikat selama tujuh tahun.

Dalam surat yang ditandatangani Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang Datuk Ir Haji Rosman Haji Yahya, kontrak tersebut diberikan kepada Syarikat YP Maintenance Sdn Bhd bermula 1 April 2013.

“Pembiayaannya adalah dari peruntukan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri,” baca surat tersebut yang ditujukan kepada “Jurutera Daerah JKR Kuantan/ Temerloh / Jerantut / Pekan / Maran / Bentong / Rompin / Kuala Lipis / Cameron Highlands / Raub / Bera.”

“Ia telah menimbulkan persoalan kenapa ia dibuat untuk tempoh yang begitu panjang?” soal Tuan Ibrahim.

Surat itu turut menyatakan bahawa jalan-jalan yang terlibat dalam kontrak ini ialah jalan-jalan negeri di bawah JKR seperti yang disenaraikan dalam Malaysia Road Record Information System (MARRIS) tetapi tidak termasuk jalan di dalam kategori yang lain.

(Bukti syarikat YP baru ditubuhkan pada 4 Februari)

Surat itu turut mengarahkan sebarang rundingan yang belum dimuktamadkan dengan kontraktor lain perlu dibatalkan.

“Oleh yang demikian, segala kerja-kerja undi dan sebut harga untuk kategori Jalan Raya Negeri Di Bawah JKR yang masih di peringkat tawaran dan masih belum disetuju terima kepada kontraktor hendaklah dibatalkan.

"Walaubagaimanapun, kerja-kerja undi dan sebut harga yang telah disetujuterima oleh kontraktor boleh diteruskan sehingga siap,” tulis surat itu lagi.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim, yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat turut menuntut penjelasan daripada Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai kontrak berkenaan.


1.     Mengapa Syarikat YP Maintenance dipilih? Apakah nasib bakal melanda kontraktor-kontraktor jalan Kelas F dan peluang kerja anak tempatan?

2.     Apakat butiran perjanjian antara kerajaan negeri dengan Syarikat YP Maintenance?

3.     Bagaimana perjanjian ini boleh menguntungkan warga Pahang? Apakah sebutharga YP Maintenance jauh lebih rendah berbanding kontraktor lain?

4.     Apakah YP Maintenance memenangi kontrak ini melalui tender terbuka?

5.     Berapa jumlah nilai kontrak 7 tahun tersebut? Mengapa 7 tahun dan bukan diperbaharui setiap tahun?

6.     Jika YP Maintenance tidak dapat melaksanakan tugas kontrak, apakah kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk mendenda dan membatalkan kontrak?

“PAS dan Pakatan Rakyat Pahang berjanji akan menilai kembali kontrak ini, dan tidak akan mengagak-agak mengambil tindakan susulan untuk menjaga nasib kontraktor F dan anak tempatan apabila kami diberi mandat menerajui Pahang selepas PRU13,” tegas Tuan Ibrahim.

PAS dan Pakatan Rakyat Pahang, katanya tidak akan membiarkan perkara ini berlarutan menjadi ‘SYABAS’ kedua seperti di Selangor dan syarikat bekalan air PAIP di Pahang, di mana kerajaan terpaksa menghabiskan berjuta ringgit tanpa mendapat kembali perkhidmatan yang sewajarnya.

“Kontrak ini menunjukkan bahawa kerajaan pimpinan Umno-BN tengah membuat persiapan untuk tewas dengan menganugerahkan kontrak kerajaan kepada syarikat kroni untuk menjamin pendapatan mereka pada masa hadapan,” tambah beliau.

2 comments:

  1. soalan satu tu macam tak percaya rezeki dari Allah SWT...tak dgar pulak kontraktor kelas F lapor tak makan di Pahang

    ReplyDelete
  2. Kesemua soalan menunjukan x pernah masuk tender kerajaan...kalau nk tunggu bertahun baru buleh dpt tender matilah org yg baru nk berniaga ada kepakaran sebelum ni ambil sub saja

    ReplyDelete