الحمد لله الذي علم الإنسان بعد جهل و هداه بعد ضلال و فقهه بعد غفلة والصلاة و السلام على محمد رسول الله الذي أرسله ربه للناس كآفة بشيرا و نذيرا و هاديا و معلما ليهلك من هلك عن بينة و يحي من حي بينة
Keiltizaman Beramal.
1. Islam adalah agama wahyu. Ia diturunkan oleh Allah swt Tuhan Yang Maha Mencipta kepada Nabi Muhammad saw. Ia adalah cara hidup yang sempurna dan dimuktamadkan oleh Allah swt sebagai satu - satunya jalan yang lurus dan benar.
وَأَنَّ هَٰذَا صِرَاطِي مُسْتَقِيمًا فَاتَّبِعُوهُ وَلَا تَتَّبِعُوا السُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمْ عَن سَبِيلِهِ ذَٰلِكُمْ وَصَّاكُم بِهِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Sesungguhnya ini Jalanku jalan yang lurus maka hendaklah kamu mengikutinya dan jangan sekali - kali kamu mengikut jalan - jalan yang lain kelak kamu akan menyeleweng dari jalanNya. Demikian itu Allah telah wasiatkan kamu dengannya semoga kamu bertaqwa.
Surah Al Ana'am : ayat 153
2. Seorang yang mengaku Islam [ muslim ] wajib melaksanakan peraturan dan ketetapan syariat Islamiyah sebagai komitmen beragama. Mereka tidak boleh mengingkari syariat yang telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya saw. Juga mereka tidak boleh mendustakannya. Tiada pilihan dan kebebasan bagi mereka yang mengaku beriman kepada Allah swt melainkan mesti akur dan patuh pada ketetapanNya.
a] Tiada Kebebasan memilih
وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلَا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَن يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَن يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلَالًا مُّبِينًا
Tidak layak bagi mereka yang beriman lelaki dan perempuan apabila telah ada ketetapan Allah dan RasulNya saw. lantas mereka membuat pilihan yang lain dalam urusan mereka [ selain dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah swt dan RasulNya saw ] dan barangsiapa yang menderhakai Allah dan RasulNya saw maka sesungguhnya ia telah sesat dengan satu kesesatan yang nyata.
Surah Al Ahzaab : Ayat 36
b] Tidak boleh Ingkar [ menolak dan menafikan syariat ]
إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
Sesungguhnya orang - orang yang ingkar [ kufur ] terhadap ayat - ayat kami, nescaya kami akan salai mereka di atas para api. Setiap kali luntur kulit mereka, kami gantikan mereka dengan kulit yang baru supaya mereka merasai azab. Sesungguhnya Allah swt adalah Tuhan yang Maha Gagah lagi Maha Bijak.
Surah An Nisa' : Ayat 56
c] Tidak boleh dustakan syariat
إِنَّ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَاسْتَكْبَرُوا عَنْهَا لَا تُفَتَّحُ لَهُمْ أَبْوَابُ السَّمَاءِ وَلَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ حَتَّىٰ يَلِجَ الْجَمَلُ فِي سَمِّ الْخِيَاطِ وَكَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُجْرِمِينَ
Sesungguhnya orang - orang yang mendustakan ayat - ayat kami dan berlagak sombong terhadapnya, nescaya tidak dibuka pintu langit dan mereka tidak boleh memasuki syurga Allah sehinggalah seekor unta boleh memasuki lubang jarum. Demikianlah balasan buat penjenayah.
Surah Al A'raaf : Ayat 40
3. Seorang muslim bukan sahaja tidak boleh mengabaikan perintah dan larangan Allah swt, malah mereka juga mesti memastikan aqidah atau keyakinan mereka kepada Islam adalah muktamad tanpa sebarang keraguan dan berbelah bahagi terhadap kebenaran Islam. Berpaling daripada Islam selepas menganutnya [ murtad ] adalah satu jenayah besar dalam Islam justeru ia satu pengkhianatan dan persendaan terhadap agama Allah swt. Tuhan Yang Mencipta sekelian alam termasuk manusia.
مَن كَفَرَ بِاللَّهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ صَدْرًا فَعَلَيْهِمْ غَضَبٌ مِّنَ اللَّهِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman [ maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah ] kecuali orang yang dipaksa [ melakukan kufur ] sedang hatinya tenang tenteram dengan iman, akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah dan mereka pula beroleh azab yang besar.
Surah An Nahl : 106
Kebebasan menganut
4. Islam tidak pernah memperjuangkan kebebasan beragama justeru Islam telah menegaskan bahawa satu - satunya agama yang benar ialah Islam. Bahkan Islam memerintahkan ummatnya berjuang bagi mempertahankan Islam dan menyebarkan dakwah Islam ke serata pelusuk dunia menembusi setiap sanubari manusia. Agama atau cara hidup yang diiktiraf oleh Allah swt hanya Islam.
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ
Sesungguhnya cara hidup [ Ad Deen ] di sisi Allah ialah Islam dan tidaklah bercanggahan orang - orang yang diberikan kitab kecuali setelah sampai kepada mereka ilmu pengetahuan, ekoran hasad dengki yang melampau dikalangan mereka dan barangsiapa yang mengingkari ayat - ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat pantas hitunganNya.
Surah Aali Imran : Ayat 19
5. Namun Islam tidak pernah bahkan melarang ummatnya memaksa non muslim untuk menganut Islam. Justeru Islam adalah agama fitrah yang datang dari Tuhan Yang Maha Benar, maka ia mesti diterima dengan benar dan yakin tanpa sebarang paksaan. Bahkan Islam sekali lagi melarang ummatnya mempersenda agama lain dan tuhan - tuhan yang disembah oleh mereka.
a] Tiada paksaan dalam menganut Islam.
لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ
Tidak ada paksaan dalam menganut agama Islam. Sesungguhnya telah nyata petunjuk iman berbanding kekufuran. Maka barangsiapa yang mengingkari toghut dan beriman kepada Allah swt maka sesungguhnya ia telah berpegang teguh dengan tali Allah yang kukuh yang tidak akan putus selamanya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Surah al Baqarah : Ayat 256
Asbabun Nuzul ayat ini menurut satu riwayat adalah kerana seorang Ansar yang bernama Abul Hushain أبو الحصين dari suku Bani Salim bin Auf. Ia mempunyai dua orang anak lelaki yang telah menganut agama Nasrani sebelum kedatangan Islam ke Madinah. Sewaktu kedua - dua anak ini datang ke Madinah bersama orang Nasrani, lalu mereka singgah di rumah bapanya .
Kemudian bapanya menahan kedua - dua anaknya dan tidak boleh pergi melainkan mereka mestilah menganut Islam. Apabila berlaku pertengkaran antara bapa dan anak - anaknya, lalu kes ini dirujuk kepada Rasulullah saw.
Bapa mengadu : Ya Rasulallah, adakah patut anak saya masuk neraka sedang saya hanya melihatnya ?
Sejurus itu Allah swt menurunkan ayat ini yang bermaksud : "Tidak ada paksaan dalam menganut agama Islam, sesungguhnya telah nyata petunjuk iman berbanding kekufuran"
b] Tidak boleh mempersenda agama lain.
وَلَا تَسُبُّوا الَّذِينَ يَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ فَيَسُبُّوا اللَّهَ عَدْوًا بِغَيْرِ عِلْمٍ كَذَٰلِكَ زَيَّنَّا لِكُلِّ أُمَّةٍ عَمَلَهُمْ ثُمَّ إِلَىٰ رَبِّهِم مَّرْجِعُهُمْ فَيُنَبِّئُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Dan janganlah kamu cerca apa - apa yang mereka sembah selain dari Allah swt, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap ummat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.
Surah Al Ana'am : Ayat 108
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
No comments:
Post a Comment