Saturday, October 31, 2009

PRA SYARAT KEJAYAAN JAMAAH ISLAM @GERAKAN ISLAM Siri 3

3. Watak peribadi (syakhsiyyah fardiyyah)
Kelayakan yang ketiga ialah tindakan seseorang itu mencerminkan apa yang dia pertuturkan. Dia akan terus mengamalkan apa yang dianggap betul (benar) dan menjauhi apa saja yang difikirkan sebagai salah.

Kehidupan dan tingkah lakunya mengambarkan kefahaman yang ada padanya. Dia akan melaksanakan apa saja yang dia serukan kepada dunia. Dia tidak perlu kepada tekanan luar untuk mematuhi peraturan Islam. Dia juga tidak perlu kepada tekanan luar untuk menjauhi larangan-larangan yang ditetapkan Islam. Baginya kenyataan bahawa setiap amalan itu perlu mendapat keredhaan Allah adalah alasan yang cukup untuk membuatnya menjalankan sesuatu tindakan dengan penuh keazaman dan penumpuan. Dengan mengetahui bahawa sesuatu perbuatan itu tidak disukai Allah sudah cukup untuk membuatnya menjauhi perbuatan tersebut. Syakhsiyyah fardiyyah yang begini bukan sahaja terhad kepada perkara-perkara biasa di dalam kehidupan sahaja. Sebaliknya syakhsiyyah fardiyyah tadi juga cukup kuat untuk menghadapi ancaman dan pengaruh daripada suasana kerosakan yang begitu luar biasa hebatnya. Dalam keadaan demikian, mereka sepatutnya berupaya untuk menangkis segala tentangan dan tetap utuh di dalam menegakkan jalan kebenaran.

Sesiapa yang tidak mempunyai mutu peribadi begini boleh juga membantu di dalam membawa pembaharuan, tetapi kita tidak bolehlah meletakkan mereka sebagai tenaga penggerak (muharrik) yang sebenarnya. Sesiapa sahaja yang ada sedikit keimanan Islam boleh membantu di dalam perjuangan ini. Bahkan orang-orang yang tidak beriman dan menjadi seteru Islam pun dapat memberi bantuan tertentu. Sebaliknya pembantu-pembantu yang sedemikian tidak akan dapat mewujudkan peraturan Islam walaupun mereka berjumlah ratusan ribu. Mereka juga tidak mampu untuk menyekat arus perkembangan jahiliyyah daripada terus merebak dengan hebatnya. Ringkasnya, tugas berat ini akan berjaya kalau dijalankan oleh orang-orang yang lengkap dengan iman, ilmu dan peribadi yang utuh. Dengan kekuatan sebenar di sebalik keazaman mereka untuk menyahut seruan Islam, mereka pun sepatutnya meneruskan usaha suci tadi. Mereka akan melaksanakan usaha itu dengan kekuatan serta dorongan dari dalam diri mereka sendiri. Mereka akan meneruskan tugas tadi tanpa memerlukan tekanan dari luar. Apabila penggerak yang begini melaksanakan tugas mereka, pertolongan yang datang daripada penyokongpenyokong serta orang-orang bukan Muslim adalah berguna juga. Tetapi patutlah kita ingat bahawa cirri begini bukan ada pada masyarakat Islam sahaja.

4. Islam sebagai matlamat hidup.
Selain dari tiga kelayakan di atas, ada satu lagi kelayakan yang keempat yang perlu ada pada sesiapa sahaja yang terlibat di dalam usaha tajdid (pembaharuan). Iaitu mereka hendaklah meletakkan perjuangan menegakkan Islam sebagai matlamat (tujuan) hidup mereka dan bukannya sebagai suatu cita-cita sahaja.

Ada manusia yang mempunyai ilmu Islam, meyakini ilmu itu dan mengamalkannya, tetapi matlamat hidup mereka bukanlah untuk menegakkan peraturan Islam itu sendiri. Mereka asyik dengan urusan duniawi mereka di samping amalan-amalan baik dan benar yang mereka lakukan. Sudah tentu mereka ini adalah orang baik-baik dan mereka kelak akan menjadi rakyat negara Islam yang baik jika negara tersebut tertegak. Namun di dalam suasana di mana unsur jahiliyyah tersebar luas ke dalam seluruh peraturan hidup manusia dan usaha menggantikannya dengan peraturan hidup Islam perlu dilaksanakan, mereka ini tidaklah berguna sangat. Dalam keadaan begini, manusia yang paling sesuai ialah mereka yang meletakkan perjuangan menggantikan peraturan jahiliyyah itu sebagai tujuan (matlamat) hidup mereka. Mereka mungkin terlibat di dalam kegiatan-kegiatan lain untuk faedah pegabungan (kesihatan) ruhani dan jasmani mereka, tetapi tujuan hidup mereka tetap merupakan perjuangan tadi.
Mereka hendaklah bersungguh-sungguh di dalam hal ini. Bahkan hati mereka pun sepatutnya ghairah dengan tugas tersebut. Semestinyalah mereka mempunyai ketegasan dan keazaman yang kuat untuk mencapai tujuan tadi. Untuk tugas ini, mereka sepatutnya bersedia untuk mengorbankan masa, harta, jasad dan hatta jiwa mereka sekalipun. Mereka mesti bersedia untuk mempergunakan seluruh kemampuan akal fikiran mereka ke arah pencapaian matlamat tadi. Mereka tidak patut teragak-agak untuk lenyap dari muka bumi ini andainya perjuangan tadi memerlukan pengorbanan yang sedemikian. Orang-orang beginilah sahaja yang mampu menebas belukar jahiliyyah dan menyediakan tapak untuk menegakkan peraturan Islam.

Kelayakan-kelayakan asas beginilah yang patut ada pada setiap diri perseorangan yang ingin berusaha menegakkan peraturan hidup Islam. Begitu pentingnya kelayakan-kelayakan tadi sehingga andainya tiadalah golongan yang berkelayakan sedemikian, jangan mimpi bahawa perjuangan ini akan mencapai kejayaan. Perlulah diterangkan bahawa orang-orang yang sanggup menjalankan tugas mulia ini hendaklah bersatu di dalam suatu gerakan Islam (harakah Islamiyyah) yang tersusun. Hal ini penting. Nama dan bentuk susunan dan pertubuhan ini tidaklah penting sangat. Setiap orang tahu bahawa sesuatu peraturan masyarakat tidaklah boleh diubah melalui usaha diri perseorangan semata-mata. Hal ini memerlukan penyatuan tenaga. Kerana memikirkan kenyataan inilah, saya cadangkan supaya kita bincangkan pula kelayakan-kelayakan yang perlu ada pada sesuatu gerakan itu sendiri.
akan disambung dalam siri ke 4, insyaALlah.

2 comments:

  1. Salam
    ustaz syukran atas post ni..
    kebetulan naqibah ana suruh cari topik ni..
    Alhamdulillah ana jumpa kat blog ustaz..
    teruskan usaha dakwah ustaz ni..
    semoga sentiasa dalam redhaNYA..
    wassalam

    ReplyDelete
  2. tk. sama2 kita teruskan gerakerja dakwah, tarbiyah dan siasah. tk

    ReplyDelete