Thursday, October 23, 2008

HAJI MABRUR Siri 4 - Tiga Pantang Larang

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Moga kita semua dalam selamat "as-Salam" di bawah kekuasaan TUHAN yang bernama as-Salam.

Haji adalah kemuncak ibadat seorang muslim.

Syahadah adalah perjanjian untuk kita taat beribadat kepada ALlah dan ikut syariat Muhammad RasuluLlah.
Solat adalah gambaran perhubungan baik kita dengan ALlah (حَبْلٌ مِنَ الله ), bawa jasad dan hati-jiwa tanpa harta.
Zakat adalah gambaran perhubungan baik kita dengan manusia ( حَبْلٌ مِنَ النَّاس ), bawa harta tanpa jasad.
Puasa adalah gambaran kita menguasai nafsu supaya baik hubungan kita dengan ALlah dan hubungan dengan manusia.
Haji kita kena bawa semua ibadat di atas samada jasad, harta dan hati-jiwa(nafsu). Haji adalah kemuncak ibadat. Kita sanggup berkorban masa, tenaga, harta dan jiwa demi kerana taat dan ketundukan kepada ALlah.

Dengan pergorbanan yang besar itu MAKA pastikan kita mendapat haji yang MABRUR(maqbul + mabruk); haji yang mabrur ganjarannya ialah syurga. BEGITU juga, jagalah tiga pantang larang utama ketika mengerjakan Haji iaitu

... Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji…al-Baqarah : 197

1. Melakukan rafath samada bersetubuh atau muqqadimahnya.

2. Melakukan maksiat dan kedurhakaan kepada ALlah dan manusia.

3. Bertengkar dan berbalah apatah lagi memaki hamun dan bertumbuk.

Larangan utama Haji (wpun telah tahallul awal) ialah berhubung dengan nafsu kejantinaan(seks). Seks yang biasanya dikaitkan dengan wanita. Inilah jenayah terkeji selepas murtad. Inilah punca keruntuhan moral/akhlak manusia terutama golongan muda. Benarlah kata Nabi saw, "
حَدِيثُ أُسَامَةَ بْنِ زَيْدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً هِيَ أَضَرُّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ

Diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Tidak ada fitnah yang paling membahayakan kaum lelaki selepas zaman aku kecuali fitnah dari kaum wanita (Bukhari dan Muslim)

Begitu juga kita dilarang melakukan maksiat kepada ALlah. Samada dosa kecil mahupun dosa besar. Jangan mencuri harta orang. Jangan menzalimi orang lain. Jangan mencerca, mengeji dan mengumpat manusia. Dan bagai-bagai lagi yang melibatkan hak ALlah dan hak manusia.

Kita juga dilarang bertengkar. Tempat orang ramai, berjuta manusia, berjuta bangsa dan perangai. Nak makan payah. Nak kencing berak kena berebut dan beratur berpuluh minit. Kenderaan banyak, orang bersesak-sesak.........Mana mungkin tak bertengkar. Melainkan kita kena banyak bersabar, sabar yang diajar oleh puasa Ramadhan.

Maka mohonlah pertolongan daripada ALlah. Ibadat Haji adalah penuh dengan ujian dan cubaan. Sentiasalah bergantung harap kepada ALlah. Berdoalah agar dipermudahkan, jangan dipersusahkan. "Rabbi yassir, walaa tu'assir - Ya Tuhanku Engkau permudahkanlah dan jangan Engkau persusahkan".

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ حِجًّا مَبْرُوْرًا وَسَعْيًا مَشْکُوْرًا ، وَذَنْبًا مَغْفُوْرًا ، وَعَمَلاً صَالِحًا مَقْبُوْلاً ، وَتِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ
Ya Allah ya Tuhanku, jadikanlah hajiku haji yang diterima, usaha yang dipuji, dosa yang diampunkan, amal salih yang makbul dan berdagangan yang tidak rugi.

رَبَّنَا آتِنَا فِيْ الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِيْ الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Wahai Tuhan kami berilah kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan, peliharalah kami dari azab neraka .

moga ALlah mencatatkan tulisan saya ini sebahagian daripada amal ibadat. Aamien ya Rabb al-'Aalamien.

Baca Selanjutnya...

Wednesday, October 22, 2008

HAJI MABRUR Siri 3 - Haji tidak sah dan tertolak

Macamana haji boleh batal?
Macamana haji tak sah? Duit habis 10 ribu, tinggal kampong halaman 45 hari.
Itu sebab kita kena belajar, menuntut ilmu, baru tahu cara2 mengerjakan haji. Kejahilan adalah punca utama tidak mendapat Haji Mabrur.

27 tahun dahulu saya belajar di Kolej Islam Kelang. Masih segar dalam ingatan saya pesanan Ustaz Abdul Rahman tentang ibadat Haji. Katanya, “Ramai orang yang tidak sah Hajinya kerana tawaf”.

Jom kita teliti apa sebab tidak sahnya tawaf. Nampak mudah tetapi kalau kita amati betul-betul memang benar kenyataan ustaz saya tu bahawa ramai yang mengerjakan haji tetapi hajinya tidak sah kerana TAWAF. Tawaf ialah salah satu daripada rukun Haji. Rukun Haji bila tertinggal atau tak sah, maka tak sahlah haji.

Syarat-syarat sah Tawaf
1. Suci daripada hadas dan najis.
2.
Menutup aurat.
3. Tujuh kali keliling.
4. Bermula dan berakhir di Hajar Aswad.
5. Kaabah di sebelah kiri orang yang bertawaf.
6. Tawaf di luar Kaabah dan Hijir Ismail tetapi di dalam masjid.
7. Dalam niat dan tujuan tawaf.


Perhatikan betul-betul pada perkara yang bertulisan merah dalam syarat-syarat sah tawaf. Di situlah berlakunya kecuaian orang yang tawaf.

Pertama: Orang yang tawaf wajib suci daripada hadas kecil dan hadas besar.
Hadas kecil hilang/terangkat apabila kita mengangkat wuduk. Persoalannya ialah adakah wuduk kita betul dan sah?

Ramai orang yang mengambil wuduk tetapi tak sah. Bila wuduk tak sah maka tawaf tak sah. Bila tawaf tak sah maka haji pun tak sah.

Di mana silapnya dalam berwuduk? Terutamanya ialah ketika menyapu kepala(hukum asalnya bukan menyapu rambut). Hukumnya ialah menyapu sebahagian kepala. Tetapi yang ramainya ialah menyapu hujung rambut atau dahi(termasuk dalam bahagian muka). Agak payah saya nak terangkan di sini. Mereka yang mengikuti kuliah saya sangat memahami persoalan ini.

Kedua : Orang yang tawaf wajib menutup aurat.
Batal tawaf kerana tidak menutup aurat. Ia biasanya berlaku kepada jemaah haji wanita ketika istilam(sunat sahaja). Fahami betul-betul apa yang hendak saya utarakan ini.

Aurat wanita ialah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan telapak tangan.
Terbuka aurat berlaku(kalau tidak diambil berat) iaitu ketika istilam/isyarat tangan ke arah Penjuru Hajar Aswad dan Penjuru Yamani.
Jemaah haji wanita sewaktu mengangkat tangan untuk istilam, lengan bajunya turun/terlondeh ke bawah maka terdedahlah aurat tangannya, Bila terdedah aurat maka batallah tawafnya, bila batal/tidak sah tawaf maka tidak sah hajinya. Sebab itulah seorang wanita hendaklah berhati-hati ketika istilam, alangkah baiknya wanita memakai stoking lengan.

Ketiga : Orang Tawaf wajib sentiasa mengirikan Ka’abah.
Dada hendaklah sentiasa hala ke depan manakala bahu sentiasa mengirikan Ka’abah. Jemaah haji hendaklah berhati-hati ketika istilam ke penjuru Hajar Aswad jangan sampai berpusing dada ke arah Ka’bah. Jadi ketika istilam tangan sahaja diisyaratkan ke penjuru hajar aswad, pastikan bahu kita sentiasa mengirikan Ka’bah.

Jemaah haji juga hendaklah berhati-hati ketika asyik membaca buku nota/doa semasa tawaf. Dibimbangi bahunya sudah tidak mengirikan Kaabah lagi kerana tumpuan matanya pada buku nota, berjalan ikut kaki. Apalah ertinya sibuk membaca doa-doa itu sedangkan hati kosong kerana tidak memahami maknanya.

Saya menasihati para jemaah haji khususnya ketika tawaf tak payahlah membawa sebarang buku nota/doa atau menyibuk diri dengannya. Berikan tumpuan sepenuhnya pada tawaf, bacalah mana-mana doa yang kita ingat.

Keempat: Orang Tawaf hendaklah sentiasa dalam tujuan tawaf.
Sewaktu tawaf jangan mengejar seseorang atau mempercepatkan langkah untuk mendapatkan seseorang di depannya. Ini sudah dikira tidak dalam tujuan tawaf.
Bagi mereka yang bergerak dalam kumpulan kena lebih berhati-hati termasuk suami isteri. Kerana bimbang ditinggalkan kumpulan atau suami maka dipercepatkan langkah kerana mengejar bukan kerana tujuan tawaf.
Berhati-hati, inilah yang kerap berlaku sewaktu tawaf.

Saya fikir itulah beberapa peringatan saya kepada jemaah haji.
Slot berikutnya ialah berhubung pantang larang besar ketika mengerjakan haji, insyaALlah.

Baca Selanjutnya...

Tuesday, October 21, 2008

HAJI MABRUR Siri 2 - Haji tidak sah dan tertolak

Assalamu'alaikum.
Apa sahaja yang kita lakukan samada ibadat, berpakaian, bekerja dan berhiburan.....kita mengharapkan keredhaan dan diterima oleh ALlah.
Antara sebab haji tidak sah ialah berkait dengan 'aqidah. Cuba teliti syarat-syarat wajib dan sah haji;
1. Islam, tidak wajib dan tidak sah kepada orang kafir.
2. Baligh, tidak wajib ke atas kanak-kanak.
3. Berakal, tidak wajib ke atas orang gila.
4. Merdeka, tidak wajib ke atas hamba.
5. Berkemampuan.
Bakal-bakal haji hendaklah memasti bahawa 'aqidah mereka adalah benar. Begitu jangan merosakkan iman dengan melakukan perkara-perkara syirik dan khurafat. Kalau iman rosak atau batal macamana haji nak dapat haji mabrur?
Lihat syarat no 1. 1. Islam, tidak wajib dan tidak sah kepada orang kafir.
Seseorang yang menganut Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah tidak akan kekal selama-lamanya. Dia ada peluang rosak dan batal sebagaimana wuduk dan solat APABILA melakukan perkara-perkara samada dari segi iktikad (hati), perkataan dan perbuatan.
Jagalah 'aqidah-iman supaya tidak batal. Kerana mulut, aqidah binasa. Lihat apa yang diutara dalam kitab Mustika Hadith keluaran Jabatan Perdana Menteri;
Dalam kitab Mustika Hadith (Dato’ Haji Muhammad Noor Ibrahim dll) telah membahagikan perkara yang merosakkan iman dan Islam kepada tiga bahagian:

1- Iktikad - اعتقاد
Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar Islam iaitu:
a- Iktikad bahawa alam ini qadim, tidak ada penciptanya, atau alam ini kekal selama-lamanya.

b- Iktikad bahawa pencipta alam ini baharu (lawan qadim) atau menyerupai mana-mana jenis makhluk atau bersifat dengan sifat-sifat baharu ataupun mempunyai anak isteri atau berbilang-bilang atau menerima mati.

c- Iktikad menafikan kebenaran apa yang disampaikan oleh RasuluLlah saw atau iktikad bahawa Nabi Muhammad saw yang sebenarnya ialah disebutkan oleh Muhammad batin bukan Muhammad yang zahir, atau iktikad bahawa kerasulan Nabi Muhammad saw hanya untuk orang-orang Arab sahaja atau iktikad bahawa hukum-hukum Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw ialah hukum-hukum lapuk yang tidak sesuai dengan keadaan zaman.


2 - Perkataan - قول .
Perkataan iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengejek dan mempermain-mainkan nama Allah, sifatNya, MalaikatNya, RasulNya, KitabNya dan hukum-hakam yang diterangkan oleh RasulNya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu daripada agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

a- Hukum apa ini?
b- Hukum ini sudah lapuk.
c- Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana menghalangi kemajuan.
d- Dalam zaman serba maju ini kaum wanita tak perlu dibungkus-bungkus.
e- Berzina kalau suka sama suka apalah salahnya.
f- Minum arak kalau bertujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya.
g- Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya.
h- Kalau hendak sangat menurut hukum Islam sampai Qiamat kita tak maju.

# ramai orang-orang Melayu Islam menutur ucapan-ucapan di atas.

3- Perbuatan - فعل
a- Tiap-tiap perbuatan yang dilakukan untuk menghormati dan mengagungkan mana-mana makhluk dengan cara yang ditentukan hanya untuk membesar dan mengagungkan Allah, seperti sujud kepada makhluk walaupun tidak berniat menghormatinya sama seperti Tuhan atau tunduk kepada mana-mana makhluk sehingga sampai kepada had sekurang-kurangnya rukuk sembahyangdengan tujuan menghormatinya seperti menghormati Allah. Kalau tidak dengan tujuan itu maka tidaklah menjadi orangyang melakukan itu murtad,tetapi hukumnya tetap haram.

b- Melakukan upacara ibadat terhadap sesuatu makhlukyang disembah aleh arang-arang kafir menurut upacara yang mereka lakukan.

c- Melakukan mana-mana upacara ibadat terhadap yang lain dari Allah
.
d- Meletakkan ayat-ayatsuci,Hadis-hadis Nabi,nama-nama Tuhan,Rasul-rasulNya,Malaikat-malaikatNya,dan ilmu-ilmu agama di tempat najis atau kotor dengan tujuan menghina dan merendah-rendahkannya,kalau tidak dengan tujuan tersebut maka hukumnya tetap haram.

e- Meninggalkan sembahyang. Orang yang meninggalkan sembahyang fardhu,jika ia ingkar wajibnya,jadilah ia kafir murtad keluar dari Islam,kerana ia mengingkari satu perkara yang memang diketahui oleh orang ramai bahawa perkara ituadalah satu perkara yang wajib di atas tiap-tiap orangIslam,selama akalnya sihat.


Bagaimana pula yang buat syirik/khurafat di Mekah dan Madinah. Antaranya:

1. Memohon sesuatu hajat kepada tuan kubur samada kubur Nabi atau para sahabat.
2. Mempercayai kelambu Ka'bah boleh mendatangkan manfaat seperti untuk pengubatan.
3. Bergayut pada dinding Ka'bah atau Kelambu kerana memohon hajat.

- Siri berikut kita akan menyentuh batal haji dalam bahagian feqah khususnya tentang bersuci dan tawaf.
Baca Selanjutnya...

Monday, October 20, 2008

HAJI MABRUR Siri 1 - Persediaan dan Bekalan

(Gambaran sekitar Masjid al-Haram; bangunan sekitar diruntuh
untuk dibina hotel-hotel baru, siap 2010)
Assalamu'alaikum.

Dua sebab utama kegagalan menyempurnakan ibadat Haji ialah kejahilan dan kedegilan. Kita mahu ibadat Haji dan Umrah diterima oleh Allah, bukan sekadar sah sahaja.

Haji yang kita mahu ialah haji yang maqbul(diterima) dan mabruk(diberkati) oleh ALlah. Bila ada maqbul dan mabruk barulah dapat Mabrur.

Haji Mabrur inilah yang akan membawa kita ke syurga.

Sebagaimana sabda RasuluLlah saw,
حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلا الْجَنَّةُ *
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Ibadat Umrah hingga ibadat Umrah berikutnya adalah kifarat dosa di antara keduanya. Manakala ibadah Haji yang Mabrur iaitu Haji yang diterima, tiada ganjarannya selain dari Syurga

Oleh itu kita kena jaga adab-adab berikut sebelum pergi mengerjakan haji.
Adab Sebelum Mengerjakan Ibadat Haji
1-Ikhlaskan diri semata-mata untuk mendapat keredhaan ALlah.
- Betulkan niat, bukan nak cari glamour, bukan nak menunjuk2, bukan nak jaga status dan lainnya.

2- Menuntut ilmu dan tahu kaifiat-cara mengerjakan amalan-amalan Haji.
- Yang nie sangat penting. Bermula daripada soal aqidah(tauhid), taharah dan akhlak. Inilah ilmu-ilmu yang sangat penting dalam menentukan kita mendapat haji mabrur atau tidak. SAYA AKAN SENTUH DALAM SIRI BERIKUT, insyaALlah.


3- Memohon taubat dan keampunan daripada ALlah termasuk dengan manusia.


4. Memastikan punca perbelanjaan Haji dari sumber yang halal.

5. Mengucapkan selamat tinggal kepada sanak saudara dan teman.


6. Banyakkan doa dan zikir dalam perjalanan ke Makkah.


7. Dan lain-lain.

ALlahu Akbar.........
Baca Selanjutnya...