APAKAH jawapan yang dapat diberi kepada Dr. Mahathir apabila dia menempelak PAS supaya keluar dari Pakatan Rakyat supaya dapat bebas meneruskan perjuangannya ketika ia ditubuhkan dulu?
Jawapan yang paling tepat ialah PAS bukan seperti Dr. Mahathir yang boleh dikeluarkan dari Umno dan boleh keluar dari Umno.
PAS ialah sebuah parti siasah Islam yang bergerak mengikut panduan siasah syariyah. Tidak cukup ilmu Dr. Mahathir yang ada bagi mengajar PAS kerana ilmu politik yang dianutnya adalah berasaskan siasah duniawi.
Mungkin orang mahu melihat pandangan Dr. Mahathir supaya PAS tinggalkan Pakatan Rakyat sebagai satu nasihat.
Tetapi Dr. Mahathir selama-lamanya adalah musuh PAS. Seorang musuh tidak akan memberi nasihat kepada musuhnya. Seelok mana pun pandangannya ia adalah pandangan seorang musuh. Politiknya adalah untuk menjahanamkan musuhnya.
Semasa PAS berlawan dengan Umno dikiranya sebagai musuh dan ketika PAS bersama Umno dalam kerajaan campuran PAS-Perikatan dan sebagai komponan Barisan Nasional pun dikiranya sebagai musuh juga.
Jika dia jujur terhadap PAS tidaklah dia menjadi batu api utama menyingkirkan PAS dari Barisan Nasional. Dia tidak pernah menyesal dengan tindakannya itu.
Pandangan terbarunya iaitu suka kalau PAS meninggalkan Pakatan Rakyat dibuat ketika tema Umno setahun setengah ini ialah mahu menggagalkan muafakat Pakatan Rakyat yang muncul sebagai pengancam kuasa Umno yang pertama sejak Umno berkuasa tahun 1955 dulu.
Sekali pun PAS sudah menjadi penentangnya pada masa itu tetapi PAS tidak pernah dilihat sebagai pencabar kepada kuasanya. Pakatan Rakyat yang disertai oleh PAS inilah yang menjadi pencabar pertama paling mengancam dalam sejarahnya.
Dr. Mahathir sudah kecut perut melihat percubaan siasah syariah pertama ketika mengikat persefahaman dengan Team B Umno pimpinan Tengku Razaleigh. Kiranya DAP dapat ditarik kepada perkongsian itu, maka ia akan jadi amaran kiamat awal kepada monopoli kuasa Umno itu.
Nasibnya baik ketika itu masa belum cukup matang bagi PAS untuk duduk sebangku dengan DAP dan Tengku Razaligh pula tidak cukup kuat untuk menghadapi risiko. Dia sudah mengambil risiko tetapi tidak tahan dengan risiko itu.
Kata Ibrahim Ali yang menjadi hulubalang Dr. Mahathir dalam Majlis Tertinggi Umno, bahawa Dr. Mahathir amat gembira dengan kegagalan siasah syariah awal PAS untuk mengadakan kerjasama dengan DAP itu. Sekali pun ia dipolitikkan sebagai meniru politik Umno yang bersekutu dengan MCA dan MIC, tetapi dia tidak suka politik itu ditiru orang.
Walau pun dikatakan meniru tetapi politik Perikatan dulu dan BN sekarang dibuat semata-mata untuk politik dunia, sedang PAS dan DAP yang dikatakan meniru itu dibuat oleh PAS berdasarkan kehendak siasah syariah.
Dan sekarang dengan penyertaan dan perantaraan PKR dan kesungguhan Anwar Ibrahim mewujudkan muafakat alternatif itu, ia benar-benar muncul sebagai pencabar bertenaga untuk mengambil alih kuasa di Putrajaya.
Sekali pun PAS itu musuh kekal Dr. Mahathir, tetapi seteru utamanya masa ini ialah Anwar Ibrahim. Dia amat takut kepada kemenangan Anwar Ibrahim. Bukan kejayaan Anwar itu akan menguburkan politik Najib tetapi ia akan mengakhiri legasi Dr. Mahathir.
Cara bagi menyekat Anwar yang degil itu tidak mudah. Jalan yang mudah ialah cuba memperdaya PAS supaya menjauhkan diri daripada Anwar.
Tidak berbangkit dia sayangkan PAS dan sayang kepada cita-cita dan perjuangan PAS. Yang dia mahu supaya Anwar mati kering dan PAS terpaksa menunggu 50 tahun lagi untuk menumbangkan Umno.
Tidak berbangkit perjuangan PAS tersekat dengan kerjasama DAP dan PKR itu. Siasah syariah mengajar mengambil apa jua kaedah, memanfaatkan suasana yang ada bagi menyalurkan cita-citanya. Tidaklah PAS itu beku dan jumud. Ia hidup dengan panduan Islamnya.
PAS diajar supaya tidak berputus asa. Dan ia berpegang kepada janji. Ia berpolitik tetapi ia tidak akan mengkhianati janji yang diikat dengan PKR dan DAP sekarang. Janji PAS itu hanya batal kalau ia dibatalkan oleh DAP dan PKR.
Seperti janji PAS dengan Ku Li. Bukan PAS yang memulakan sayonara kerjasamanya. Orang Ku Li dan Ku Li sendiri memulakan kerja untuk kembali kepada Umno. Bukan PAS yang hendak meninggalkan BN tetapi pengkhianatan Dr. Mahathir memulakan pengusiran PAS itu.
oleh : Subky Latif (http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/3210-perlukah-pas-dengar-nasihat-musuhnya)
ada kewajarannya
ReplyDeleteSalam,
ReplyDeleteKatakan lah apa yang saudara tulis mengenai Mahathir itu betul.
Persoalan disini, kiranya PR memenangi Pilihanraya ke13 nanti, apakah jaminan bahawa PAS akan jadi parti Dominan dan seterusnya menjadi pemimpin dan mentadbir negari kita ini. Sedangkan kerusi yang ditandingi PAS tidak cukup untuk menjadi ketua kepada PR.
Apakah ada perjanjian bertulis diantara parti2 didalam PR yang menyetujui bahawa PAS akan menerajui negari ini dan seterusnya melaksanakan hukum dan syariat ISLAM.
Apa yang saya tahu, DAP adalah parti yang paling membenci melayu dan ISLAM. DAP sanggup melakukan apa saja untuk mencapai cita cita politik mereka. Belajar dari sejarah DAP. Apa dasar mereka.
Kita tidak mahu, negara ISLAM ditadbir olih kafir.Negara ISLAM mesti di tadbir olih ISLAM.
Kita jangan hanya pandai berkata kata, tapi dari segi perlaksanaan,O.
Saya ingin bertanya lagi. Apa kah Mahatir itu bukan golongan ISLAM? Sehingga dendam terhadapnya tak boleh nak dimaafi langsung. ALLAH menerima taubat dan memberi kemaafan kepada hamba hambaNYA. Begitu jua dengan NABI S.A.W. memberi maaf dan memohonkan keampunjan dari ALLAH untuk umatnya.Apakah kita tak dapat nak berbuat demikian? Sekali bermusuh, musuh sampai mati?Kalau begini keadaannya, bermakna kita telah jauh terpesong dari ajaran Al-Quran dan As-Sunnah.
Saya tak bersimpati dengan Mahathir. Kerana sebagai PM dulu, dia tak laksanakan syariat ISLAM seperti yang dituntut olih ALLAH dan RASUL.
Tapi, saya bersimpati dengan saudara. Penat beramal dan beribadah. Ditakuti...... Hanya kerana tak dapat atau tak mahu memberi kemaafan sesama insan.
Renungkan lah....
Salam.