Saturday, May 14, 2011

Negara Islam adalah Solusi Perpaduan Kaum

Negara Islam [ negera yang aman dan mendapat keampunan Allah swt] solusi Perpaduan Kaum. Sila lihat surah Saba' ayat 15.

1. Isu perkauman [rasis] kini ditiup oleh pihak yang cuba menangguk dari kekeruhan air yang dicipta sedang negara kita adalah negara berbilang kaum dan bangsa [majmuk]. Sehari dua ini pula, isu agama juga dieksplolaitasi sepenuhnya untuk menjayakan agenda pecah dan perintah mereka sedang negara ini juga adalah negara yang berbilang agama [majmuk].

2. Setiap kali mereka buntu bagaimana untuk mempertahankan survival kuasa mereka, isu bangsa dan agama ini akan menjadi modal utama bagi merencana plan konspirasi mereka berasaskan kaedah divide dan rule. Surat khabar dan televisyen digunakan sepenuhnya sebagai misionery untuk mencetus api pertelingkahan dan permusuhan antara agama dan bangsa.

3. Selagimana minda pemerintah mahupun pembangkang dibelenggu oleh fahaman sempit seperti ini, maka selama itulah rakyat dan negara ini akan terus mengalami igauan yang mengancam keselesaan dan keselamatan mereka setiap kali perkara ini marak menyala disimbah minyak.

4. Penuh keinsafan dengan hasrat untuk membantu semua pihak keluar dan bebas dari belenggu fahaman sempit ini, marilah saya tunjukkan kepada anda semua sebuah solusi yang perlu dinilai dengan ikhlas, jujur tanpa sebarang prejudis setelah menyaksikan kegagalan mencari penyelesaian sejak puluhan tahun lamanya, lalu membiarkan negara dan rakyatnya terus dihambat "hantu" perpecahan dan pergolakan yang berisiko tinggi ini.

5. Suatu yang saya mahu tunjukkan ini adalah pelan penyelesaian yang telah digezetkan oleh tuan empunya langit dan bumi ini. Dia jugalah yang menciptanya dan mencipta seluruh ummat manusia malah Dialah juga yang mencipta seluruh makhluk di atas muka bumi ini. Tiada syak pada menamakan siapakah Dia yang saya maksudkan, justeru semua akan mengakui bahawa yang mencipta langit, bumi dan seluruh isinya ialah Allah Jalla wa A'la.

6. Allah swt adalah Tuhan yang Maha Mencipta dan Dia jualah yang akan mengurus dan mentadbir apa yang diciptaNya. Perjalanan galaksi menepati orbitnya, peralihan iklim yang menepati waktunya, pertukaran siang dan malam yang melunasi saatnya serta seluruh kehidupan bergerak meneladani jadual yang telah ditetapkan oleh penciptanya. Allah swt mencipta manusia bersama syariat [peraturan] yang perlu dipatuhi agar mereka tidak binasa sebagaimana sebuah syarikat kenderaan menghasilkan produknya bersama dengan buku manual operasi kepada pihak pengguna agar dapat menggunakan produk yang dihasil dengan baik dan tidak rosak. Pengguna sekali - kali tidak boleh menggunakan buku manual yang dikeluarkan oleh syarikat lain yang tidak berkenaan.

7. Begitulah kita sebagai pengguna di atas alam buana ini tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh yang Maha Pencipta. Tuhan yang mahukan agama terjaga, nyawa terpelihara, maruah tidak dicabul, harta tidak diragut, keturunan tidak dinodai, keadilan ditegakkan, kasih sayang dipupuk, silaturrahim dihubung, tiada paksaan beragama, hormat - menghormati antara satu sama lain, mengawal keselamatan, bina kedamaian, kerajaan bertanggungjawab, pemimpin beramanah, rakyat yang harmonis, politik yang stabil, ekonomi yang membangun dan negara yang berkebajikan.

8. Segalanya perlu berlaku secara hubungan 2 hala tanpa terpisah antara satu sama lain. Hubungan antara manusia selaku makhluk [yang dicipta] dan khaliq [yang mencipta] perlu erat dan melandasi syariat yang ditetapkan oleh pencipta. Bertolak mula dari nokhtah ini, saya sekali lagi mengusulkan pembentukan kerajaan dan pemerintahan negara dengan berasaskan peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang Maha Mencipta. Saya percaya, ialah solusi kepada perpaduan kaum yang dicari selama ini.

9. Usah panik dan usah fobia dengan cadangan dan usul saya. Apa yang perlu ialah semua pihak melihat, meneliti dan memikirkan ke arah solusi yang saya usulkan dengan jujur, adil dan rasional setelah sekian lama negara dan rakyat dipaksa menelan segala kepahitan dan trauma dengan kesengsaraan yang berpanjangan dibawah sitem pentadbiran, pengurusan dan pemerintahan ciptaan manusia yang derhaka kepada Tuhan yang Maha Mencipta.

10. Tentu sahaja Allah swt Tuhan yang Maha Mencipta tidak akan menzalimi dan mengkhianati hambaNya jauh sekali merosakkan apa yang telah diciptaNya kecuali mereka yang derhaka lalu merosak dan membinasakan diri sendiri dari angkara perbuatan tangan mereka. Saya sedar solusi ini tidak mudah diterima dan dilaksana semudah diungkap dan diusulkan. Namun saya menyeru agar semua pihak dengan melibatkan semua agama dan bangsa melihat, mengkaji dan membincangkan solusi yang diusul demi masa depan rakyat dan perpaduan kaum di dalam negara ini.


Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan


Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment