Friday, March 25, 2011

FITNAH : Senjata Tertua Di Dunia


1. Meskipun senjata ini adalah senjata yang paling tua dan klasik, namun ia adalah senjata yang bahaya dan berbisa malah kesan radiasinya lebih dahsyat membawa kemusnahan berbanding letupan loji nuklear. Ia bukan sahaja mampu membunuh jasad manusia bahkan fitnah adalah senjata yang mampu membunuh jiwa manusia dan peradabannya. Firman Allah swt :

و الفتنة أكبر من القتل و لا يزالون يقاتلونكم حتى يردوكم عن دينكم إن استطاعوا

dan fitnah itu adalah suatu yang sangat besar [ dahsyat dosa dan akibatnya ] dari membunuh dan senantiasalah mereka memerangi kamu sehingga mereka boleh memalingkan kamu dari agama kamu jika sekiranya mereka mampu melakukannya.

Surah Al Baqarah Ayat : 217

2. Bermula dari zaman pertarungan antara Qabil dan Habil yang bermula dengan api fitnah merebut seorang perempuan untuk dicintai akhirnya meletus satu kesan radiasi yang membawa kepada berlakunya pembunuhan dan itu adalah pembunuhan manusia pertama direkodkan di atas muka bumi dan ianya bermula dari fitnah serta dendam. [boleh rujuk kisahnya di dalam surah al Maaidah ayat 27 hingga 32].

3. Nabi Yusuf as terpaksa meringkuk di dalam penjara angkara fitnah. Nabi Yusuf as dituduh bermukah dengan Zulaikha, isteri kepada seorang pembesar istana. Plot dan drama fitnah itu dirancang selicik mungkin oleh orang - orang dalam istana yang bermula dari api fitnah Zulaikha akhirnya Nabi Yusuf as diseret ke penjara sementara Nabi Yusuf as sedia ke penjara demi mempertahankan maruah dan kesucian dirinya. Firman Allah : [boleh rujuk kisahnya di dalam surah Yusuf ayat 21 - 36]

قال رب السجن أحب إلي مما يدعونني إليه

Ia [ nabi Yusuf as ] telah berkata : Tuhanku , Penjara lebih aku suka berbanding apa yang mereka suruh aku lakukanya

Surah Yusuf. Ayat 33

4. Senjata fitnah sebagai senjata yang tiada nombor siri ini terus digunakan secara berleluasa di sepanjang zaman sehinggalah ke zaman Nabi kita Muhammad saw. Apabila Isteri Nabi saw, Aisyah rha. difitnah dan dituduh berzina dengan Sofwan bin Mua'attal al Sulami. Plot cerita yang disusun rancang oleh Abdullah bin Ubai bin Salul cukup meyakinkan sehingga sebahagian sahabat Rasulullah saw mencadangkan agar Nabi saw menceraikan sahaja Aisyah rha sementara sebahagian yang lain mempertahankannya. Malah Nabi saw diam tidak terkata, tambahan pula wahyu terhenti kira - kira sebulan lamanya. Sehinggalah akhirnya turun wahyu membebaskan keluarga Rasulullah saw dari belenggu fitnah yang direka.

5. Allah swt berfirman di dalam surah an Nuur ayat 11, bermaksud :

Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah dari golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.

6. Melalui sejarah tamadun moden hari ini juga dapat disaksikan bagaimana kuasa manusia di dunia ini, biarpun mereka telah memiliki peluru berpandu, jet pejuang, kereta perisai, bom nuklear dan 1001 jenis senjata canggih termasuk pesawat tanpa pemandu, namun mereka tetap menggunakan senjata tanpa nombor siri [fitnah] ini untuk menjatuhkan lawan mereka samaada musuh mereka dalam persaingan ekonomi atau musuh mereka dalam pergolakan politik.

7. Malah kuasa besar dunia sekalipun lengkap dengan segala kekuatan tentera dan senjata, demi menjayakan misi penaklukan mereka ke atas negara - negara lain turut menggunakan fitnah bagi mencetus huru hara dan perang saudara serta pergolakan politik dalaman sebelum mereka menjadi "super hero" yang datang kononnya untuk misi menyelamat dan damai.

8. Dunia disepanjang zaman diletakkan dalam persaingan dan pertarungan fitnah. Manusia walaupun baik, lebih - lebih lagi manusia buruk memang berpotensi untuk menjadi mangsa senjata fitnah ini. Namun kebiasaannya manusia yang jahat [faajir] akan menggunakan senjata ini untuk diacu kepada lawannya. Justeru manusia yang baik [soleh] sekali - kali tidak akan bermain dengan senjata tanpa tuan ini.

9. Bukan sahaja individu akan derita sebaik sahaja terkena kesan radiasi fitnah ini, malah rumahtangga akan runtuh, masyarakat akan huru hara, negara akan binasa malah dunia hilang pertimbangan. Jika dunia mengutuk sekeras - kerasnya mana - mana negara yang membina dan menggunakan senjata nuklear kerana menyedari kesan buruknya, maka saya kira dunia wajar mengutuk berganda kali penggunaan senjata fitnah yang membawa kesan buruk dan dahsyat berlipat ganda.

10. Bagi kita ummat Islam malah juga perlu diambil iktibar [pengajaran] oleh non muslim akan nasihat dan panduan nabi kita Muhammad saw dalam menghadapi zaman penuh fitnah, krisis dan konflik ini. Terutama kepada mereka yang sering menjadi mangsa fitnah tanpa mengira apa tujuan atau objektifnya, wajar sekali menghayati wasiat dan pedoman Rasulullah saw. Sabda Rasulullah saw :

أوصيكم بتقوى الله عزوجل و السمع و الطاعة و إن تأمر عليكم عبد فأنه من يعش منكم فسيرى اختلافا كثيرا فعليكم بسنتي و سنة الخلفاء الراشدين المهديين عضوا عليها بالنواجذ و أياكم و محدثات الأمور فإن كل بدعة ضلالة

Maksudnya : Aku berwasiat kepada kamu supaya bertaqwa kepada Allah swt dan dengar serta taat sekalipun yang dilantik pemimpin ke atas kamu hanyalah seorang hamba. maka sesungguhnya, sesiapa yang masih hidup dari kalangan kamu, nescaya ia akan melihat berlakunya ikhtilaf [ krisis, konflik dan fitnah ] yang begitu berleluasa , maka wajiblah ke atas kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah khulafa' ar Rasyidin yang mendapat petunjuk dari Allah swt dan hendaklah genggam sunnah itu seerat - eratnya dengan geraham kamu. Waspadalah akan perkara yang direka cipta maka sesungguhnya setiap perkara baru yang direka cipta [ dalam urusan agama kamu ] adalah sesat.

Hadis riwayat : Abu Dawud dan at Turmuzi dan katanya Hadis ini Hasanun Sohih.

Penutup : Hanya taqwa serta keiltizaman kita kepada syariat dan sunnah Rasulullah saw akan menjadi perisai berkesan dalam menghadapi peluruh fitnah dan kesan radiasinya. Meskipun fitnah itu melanda diri dan keluarga kita, insyaallah ketaqwaan akan menjadikan kita mendapat lindungan Allah swt dan kita berjaya mengatasinya dengan jaya.

Bersabarlah insan yang terfitnah dan semoga mereka yang menabur fitnah mendapat petunjuk Allah swt untuk kembali ke jalan yang benar, memohon ampun dan diredhai Allah swt.

Salam dari Lembah Multazam

Masjidil Haram Makkah Al Mukarramah.


Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.


Sidang Jamaah yang dirahmati Allah sekelian.

1. Fitnah adalah perbuatan keji yang sangat dicela oleh syara' justeru kesan radiasi fitnah jauh lebih dahsyat dari membunuh. Allah swt telah menegaskan perkara ini di dalam firmanNya yang berbunyi : والفتنة أشد من القتل : bermaksud Fitnah itu lebih dahsyat [kesan dan akibatnya] dari membunuh. ~ surah al Baqarah Ayat 191 ~

2. Fitnah adalah angkara perlakuan manusia jahat yang suka mencetuskan kekacauan, pergolakan, permusuhan, pengkhianatan, dendam, huru hara dan 1001 kerosakan dikalangan masyarakat ummat manusia. Sedang Islam yang diturunkan oleh Allah swt adalah agama yang harmoni, memelihara kesejahteraan bermasyarakat dan melarang sekeras - kerasnya sebarang tindakan yang mencetus perpecahan dan permusuhan seperti fitnah, tohmah dan khianah.

3. Firman Allah swt :

إن الذين فتنوا المؤمنين و المؤمنات ثم لم يتوبوا فلهم عذاب جهنم و لهم عذاب الحريق

Sesungguhnya orang-orang yang mencetuskan bencana fitnah [untuk memesong dan memporak - perandakan] orang-orang lelaki yang beriman dan orang-orang perempuan yang beriman, kemudian mereka tidak bertaubat, maka mereka akan beroleh azab neraka jahannam (kerana perbuatan keji itu), dan mereka akan beroleh lagi azab api yang kuat membakar (kerana mereka tidak bertaubat).

Surah Al Buruj. Ayat : 10

4. Sebagai insan yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. selayaknya kita menjauhkan diri, malah memerangi perbuatan fitnah agar ia tidak menjadi amalan yang berleluasa dikalangan masyarakat di dalam negara kita. Sebagaimana yang telah saya tegaskan tadi, bahawa fitnah adalah perbuatan yang dicetuskan oleh manusia fujur [jahat] yang dipengaruhi pemikiran dan jiwanya oleh syaithan durjana.

5. Umumnya objektif pelaku dan penyebar fitnah adalah untuk menolak kebenaran yang gagal disangkal dengan hujjah mereka. Fitnah menjadi senjata yang paling murah dan mudah dihasilkan untuk memerangi kebenaran. Ia juga adalah senjata yang digunakan sejak berzaman termasuk untuk menolak kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi saw. Firman Allah swt :

ولقد ابتغوا الفتنة من قبل و قلبوا لك الأمور حتى جاء الحق و ظهر أمر الله و هم كارهون

Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu [wahai Muhammad] berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah [kemenangan] ugama Allah [Islam], sedang mereka benci kepadaNya.

Surah At Taubah. Ayat : 48

6. Sungguhpun demikian, akan pasti ada fitnah yang menjalar disetiap zaman dan tempat. Ianya dinyalakan dan ditiup agar ummat manusia bertelagah dan bermusuhan. Justeru itu, kita tidak boleh berpeluk tubuh membiarkan api fitnah ini membakar kesejahteraan ummah dan membinasakan kebenaran yang diperjuangkan. Sungguhpun perit dan sengsara berdepan fitnah yang dihadapi, yakinlah bahawa Allah swt bersama dengan mereka yang memperjuangkan kebenaran. Firman Allah swt :

ثم إن ربك للذين هاجروا من بعد ما فتنوا ثم جاهدوا و صبروا إن ربك من بعدها لغفور رحيم

Kemudian, Sesungguhnya Tuhanmu [memberikan pertolongan] kepada orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka difitnah [oleh kaum musyrik], kemudian mereka berjihad serta bersabar, Sesungguhnya Tuhanmu [sesudah mereka menderita dan bersabar dalam perjuangan] adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah An Nahl. Ayat : 110

7. Melalui suara mimbar yang penuh dengan keberkatan ini, saya menyeru seluruh mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah swt agar menghindarkan diri dari fitnah dan bangkit menentang sebarang usaha melakukan fitnah lantaran inilah yang diperintah oleh Allah swt :

و قاتلوهم حتى لا تكون فتنة و يكون الدين لله فإن انتهوا فلا عدوان إلا على الظالمين

dan perangilah mereka sehingga tiada lagi fitnah dan jadilah satu - satunya cara hidup [yang diamal] milik Allah [Islam], maka apabila ia telah berakhir maka tiada lagi permusuhan kecuali ke atas orang - orang yang zalim.

Surah al Baqarah. Ayat 193

8. Membiarkan fitnah berleluasa tanpa langkah berkesan diambil oleh orang - orang yang beriman dan bertaqwa untuk mencegahnya, maka tunggulah kebinasaan yang akan menimpa masyarakat ini. Kepada Allah swt kita mohon perlindungan dari kebinasaan yang tidak mampu kita hadapinya kelak. Malah apa yang lebih dibimbangi ialah murka dan azab Allah swt di akhirat ekoran sikap mendiamkan diri lalu memberi ruang kepada fitnah tersebar.

9. Nasihat saya jua kepada mereka yang berkuasa. Mereka yang memegang amanah untuk menjaga dan memelihara kesejahteraan rakyat sebagai pemimpin yang diberi mandat agar memberi perhatian serius terhadap perkara ini. Sekali - kali jangan membenarkan fitnah menjadi amalan dalam politik kita. Kerana politik sedemikian hanyalah politik kotor lagi jijik pula berdepan dengan kemurkaan Allah swt.

10. Akhirnya marilah kita berdoa kepada Alllah swt agar menghindarkan diri kita daripada menjadi mangsa fitnah dan dalam masa yang sama, kita juga berdoa agar kita tidak memfitnah orang lain. Sungguhpun antara kita berbeza fahaman politik, namun berpolitiklah dalam batas yang tidak mengundang kemurkaan Allah swt. Berpolitiklah dalam suasana yang sihat dan saling berlumba untuk berkhidmad kepada rakyat dan negara. Berpolitiklah dengan maksud untuk membebaskan rakyat dan negara dari kemungkaran, penyelewengan, rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penindasan. Berpolitiklah untuk mencari redha dari Allah swt.


Salam dari Lembah Multazam

Makkah al Mukarramah

Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan


Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

3 comments:

  1. as salam ustaz, ana ambik sdkit artikel ni nk dmasukkn k dlm fcebook ana..syukran yep ustaz..

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, Kak. kami mohon segenap keikhlasan utuk memberi komentar berupa kritik, saran dsb di postingan kami yang berkaitan dgn "School Contest V", melihat Kakak (Anda) pandai dalam menulis. tampak pada postingan Kakak (Anda) luar biasa. mohon bantuan dan dukungan, terima kasih. www.siteislami.co.cc ^^

    ReplyDelete
  3. terima kasih saya amat menyukai penulisan ini

    ReplyDelete