Angkatan tentera Islam tidak menyedari serang hendap melainkan setelah pedang-pedang menyerang mereka di sana sini. Ikatan barisan Islam menjadi kacau bilau. Ketika itu juga, tersebar khabar angin bahawa Rasul s.a.w. telah terbunuh. Sebahagian mereka telah lari pulang ke Madinah.
Orang musyrik dapat sampai kepada Rasul s.a.w.. Batu-batu yang mereka lontar mengenai Baginda sehingga Baginda jatuh pengsan, mukanya luka, kedua lututnya bercalar, bibir bawahnya berdarah dan topi di kepalanya pecah. Dua cincin rantai topi itu telah terbenam masuk ke pelipis Baginda. Orang musyrik bertambah ramai menyerang Rasul s.a.w. untuk membunuh Baginda. Baginda s.a.w. tetap bertahan bersama-sama sekumpulan orang mukmin, antara mereka ialah: Abu Dujanah yang bertindak menjadi perisai Rasulullah s.a.w.. Dia melindungi Baginda daripada anak-anak panah orang musyrik.
Anak-anak panah itu telah menembusi belakang tubuhnya. Antara mereka lagi, Saad bin Abi
Waqqas. Beliau telah memanah pada hari tersebut kira-kira 1,000 anak panah. Antaranya lagi, Nasibah Ummu 'Umarah al-Ansoriyyah. Dia meninggalkan tugas memberi minum tentera yang cedera, untuk bertempur menggunakan pedang dan memanah demi mempertahankan Rasulullah. Dia terus bertempur sehinggalah sebatang anak panah hinggap mengenai tengkuknya, menyebabkan luka yang dalam. Bersama-sama Nasibah juga, suami dan dua orang anaknya yang turut serta mempertahankan Rasulullah. Rasulullah s.a.w. mendoakan untuk mereka: “Semoga Allah memberkati kamu sekeluarga.” Lantas Nasibah berkata: "Doakan kepada Allah supaya kami menemanimu di syurga." Lantas Baginda berdoa: "Ya Allah, jadikan mereka teman-temanku di syurga." Nasibah r.ha. berkata selepas itu: "Aku tidak mempedulikan lagi bencana yang menimpaku dalam urusan dunia." Baginda s.a.w. telah berkata berkenaan Nasibah: "Aku tidak menoleh ke kanan dan he kiri pada hari Ghazwah Uhud, melainkan aku melihatnya berperang di hadapanku". Pada hari tersebut, Nasibah mendapat 12 luka, sama ada akibat tikaman tombak mahupun tetakan pedang.
Pada saat-saat genting itu, Ubai bin Khalaf telah cuba untuk sampai kepada Rasul
s.a.w. bertujuan membunuh Baginda. Dia bersumpah tidak akan berpatah balik. Maka Nabi
s.a.w. mengambil sebatang tombak daripada sahabat yang bersama Baginda, lalu
merejamnya ke leher Ubai. Rejaman tersebut menyebab kematiannya. Ubai bin Khalaf juga
merupakan satu-satunya orang yang dibunuh oleh Nabi s.a.w. dalam semua ghazwah Baginda.
Kemudian Baginda s.a.w. dapat berdiri dan bangun dipangku oleh Tolhah bin Ubaidillah. Baginda memandang ke arah orang musyrik dan ternampak sekumpulan daripada mereka berada di atas bukit. Lantas Baginda menghantar sahabat menghalau mereka turun seraya berkata:
"Tidak sepatutnya mereka berada lebih tinggi daripada kita. Ya Allah, tiada kekuatan bagi kami metainkan dengan Kamu".
Pertempuran telah berakhir. Abu Suffian menyatakan kelegaan hatinya dan hati orang
musyrik yang lain, setelah berjaya menebus kekalahan mereka dalam Ghazwah Badar dengan
kata-katanya: “Hari ini merupakan bayaran bagi hari Badar.”
Di antara mereka yang terbunuh dalam peperangan ini ialah Hamzah, bapa saudara
Rasul s.a.w.. Hindun, isteri Abu Suffian telah mengkelar-kelar mayatnya, membelah
jantungnya dan mengunyahnya. Dia merasa kepahitan jantung itu, lalu memuntahkannya.
Rasul s.a.w. merasa amat sedih melihat keadaan Hamzah, lantas berkata:
“Sekiranya Allah memenangkan aku ke atas Quraisy di sesuatu tempat, aku
akan kelar 30 orang lelaki daripada mereka.”
Namun selepas itu Allah melarang daripada mengelar mayat.
Bilangan orang Islam yang terbunuh dalam pertempuran ini ialah kira-kira 70 orang,
sementara jumlah orang musyrik yang terbunuh ialah 23 orang.
Sumber : Sirah Nabawiyyah oleh Mustafa Siba'ie.
No comments:
Post a Comment