Sunday, September 21, 2008

FATH MAKKAH - PEMBUKAAN KOTA MAKKAH

Kemenangan Agung Milik Islam
Sebagai pejuang Islam yang mendokong cita - cita besar untuk mendaulatkan syariat Allah diatas muka bumi ini , khasnya tanahair tercinta sewajarnya kita mendalami dan menghayati peristiwa Fathul Makkah semoga ia mampu menyuntik kekuatan dan kesedaran kepada kita .
Tambahan pula akhir - akhir ini kedengaran suara yang membisik agar kita tidak perlu lagi bercakap soal menegakkan negara Islam kerana bimbang perjuangan kita tidak diterima oleh orang - orang bukan Islam atas alasan golongan bukan Islam belum dan tidak memahami pasal negara Islam . Lebih jauh mereka berhujjah bahawa Nabi saw. pun tidak pernah menyebut mengenai negara Islam .

Saya melihat realiti ini dari sudut yang berbeza . Benar masih terdapat orang bukan Islam yang tidak dan belum memahami Islam apatah lagi mengenai negara Islam . Maka penyelesaian yang patut diambil bukan dengan kita tidak menyebutnya ( bimbang mereka tidak sokong ) tetapi dengan langkah memberi penjelasan kepada mereka mengenai negara Islam.
Kalau kita tidak mahu sebut mengenai negara Islam dan perjuangan untuk menegakkannya , maka sampai bila pula orang - orang bukan Islam akan memahami isu negara Islam ini ? Justeru itu , kita mesti banyak menyebutnya dan banyakkan medan perbincangan mengenainya malah kita mengajak non muslim hadhir dalam perbincangan yang berkait dengan isu negara Islam .
Jelaskan kepada mereka bukan sembunyikan dari mereka . Ada setengahnya berpendapat kita hanya bercakap soal kandungan negara Islam berbanding menyebut slogan negara Islam .

Suka saya tegaskan , hanya menyebut istilah negara Islam tetapi kosong dari penjelasan dan tindakan mengenai negara Islam yang sebenar juga satu kesilapan sebagaimana hanya bercakap soal kandungan ( subtance ) tanpa mahu menyebut mengenai negara Islam ( Daulah Islamiyyah ) juga satu tindakan yang tidak betul.

Maka yang betulnya ialah sebut " ini negara Islam dan ini kandungan negara Islam serta ini cara Nabi saw berjuang mendapatkan negara Islam" .

Mana boleh kita berniaga , kita jual produk yang hanya ditampal label tetapi kandungannya kosong atau kandungan tidak seperti apa yang dilabelkan . Demikian juga tidak wajar kita jual produk yang hanya terdiri dari bahannya sahaja tanpa label yang ditampal .
Saya belum jumpa orang jual kicap sahaja dengan botolnya kosong tanpa label . Kalau ada orang jual kicap macam tu , saya rasa kicapnya tidak akan laku . Sebab label itu menarik perhatian dan turut memberi penjelasan apakah yang terkandung didalamnya . Biasanya dilabel itulah tersenarai ingredientnya .

Berbalik kita kepada persoalan negara Islam , bagaimana ia diperjuangkan oleh Nabi saw. membentuk sebuah negara yang tunduk dan taat kepada Allah swt.
Benar Nabi saw. tidak menyebut perkataan Negara Islam sebagai Nabi juga tidak menyebut pasal Negara Kebajikan dan Makkah Baru dan sebagainya . Tetapi ulama' telah menyediakan satu dasar perbincangan yang luas dan lebar mengenai perjuangan Rasulullah saw. sehingga lahir topik atau kitab yang membahas khusus mengenai Feqhud Daulah.
Fathul Makkah.
Peristiwa Fathul Makkah telah membuka mata dunia khasnya kuasa besar dunia pada waktu itu terhadap keupayaan dan kekuatan yang dimiliki oleh Islam dan ummatnya di bawah kepimpinan Baginda Rasul saw.

Fathul Makkah atau Pembukaan Kota Makkah juga meletakkan Islam sebagai kuasa baru yang tidak lagi boleh dipandang ringan apatah lagi untuk di “buli” oleh musuh-musuhnya.
Namun Pembukaan Kota Makkah bukanlah isu persaingan kuasa atau merebut empayar pemerintahan di persada dunia tetapi bermatlamatkan Redho dan Rahmat Ilahi dalam misi menyelamatkan aqidah ummah dari belenggu fahaman Jahiliyyah.

Justeru itu , Baginda saw. yang memimpin 10 ribu tentera dan ummat Islam telah keluar dari Madinah menuju Kota Makkah pada hari Rabu tanggal 10 Ramadhan Tahun ke 8 Hijrah selepas waktu A’sar [1] dengan membawa slogan keamanan dan kesejahteraan bersama Islam .
Jauh sekali untuk melepaskan dendam ke atas penduduk Makkah, sungguhpun mereka pernah di seksa dan dihalau dari Makkah pada peringkat awal perjuangan mereka bersama Gerakan Islam yang di pimpin oleh Rasulullah saw.

Baginda saw. telah mengisytihar slogan keamanan dan kesejahteraan itu dengan sabdanya :[2] مَنْ دَخَلَ دَارَ أَبِيْ سُفِيَانَ فَهُوَ آمِنٌ , وَ مَنْ دَخَلَ اْلكَعْبَةَ فَهُوَ آمِنٌ , وَ مَنْ دَخَلَ الْمَسْجِدَ فَهُوَ آمِنٌ , وَ مَنْ دَخَلَ دَارَ حَكِيْمَ بْنِ حِزَام فَهُوَ آمِنٌ , وَمَنْ أَغْلَقَ عَلَيْهِ بَابَهُ فَهُوَ آمِنٌ .[3
“ Barangsiapa memasuki rumah Abi Sufian maka ia aman , barangsiapa memasuki al Kaabah maka ia aman , barangsiapa memasuki Masjidil haram maka ia aman , barangsiapa memasuki rumah Hakim ibn Hizam maka ia aman dan barangsiapa mengunci pintu rumahnya maka ia aman.”

Sahabat seperjuangan .
Islam Agama Keamanan.
Perhatikanlah , itu bukan slogan penjajahan dan bukan juga slogan peperangan yang penuh dengan semangat membalas dendam , tetapi itu adalah slogan keamanan dan kesejahteraan yang datang dari Rasul ‘Nabiyyul ummah’ untuk menyelamatkan mereka dari terperangkap dalam kegelapan Jahiliyyah kepada cahaya Hidayah .
Saksikan juga bagaimana tindakan Baginda Rasul saw. sejurus memasuki Masjidil Haram dan memusnahkan 360 berhala yang berada di sekeliling Kaabah , Baginda saw. mengisytiharkan di hadapan kaum Quraisy yang masih terpinga – pinga pada waktu dengan membaca Firman Allah swt. dari surah Yusuf :[4]
قال لا تثريب عليكم اليوم يغفر الله لكم وهو أرحم الراحمين
Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu Yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada Segala Yang Mengasihani.( Surah Yusuf . Ayat 92 )


Lalu Baginda saw. berkata :
إِذْهَبُوْا وَ أَنْتُمُ الطُّلَقَاء
“ Pergilah kamu semua , kamu semua dibebaskan ”

Fathul Makkah bukan peristiwa Balas Dendam.
Sejurus nabi menerima anak kunci pintu Kaabah daripada Saiyidina Ali Karramallahu wajhah. , Saiyidina Ali memohon agar urusan mengendali kunci Kaabah dan juga melayan tetamu Masjidil Haram diberikan kepadanya sedang sebelumnya , urusan kunci Kaabah dipegang oleh Keluarga Bani Abdil Daar dan kunci itu berada di tangan Othman bin Talhah Rha. yang memeluk Islam bersama Khalid ibn Walid Rha. sebelum pembukaan Kota Makkah.

Kemudian turun wahyu Allah :
إن الله يأمركم أن تؤدوا الأمانات إلى أهلها و إذا حكمتم بين الناس أن تحكموا بالعدل
إن الله نعما يعظكم به إن الله كان سميعا بصيرا
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan Segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum Dengan adil. Sesungguhnya Allah Dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran Yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
( Surah an Nisaa’ . Ayat : 58 )

Sebaik sahaja menerima wahyu tersebut , Baginda saw. menyerahkan anak kunci Kaabah kepada Othman bin Talhah Rha. seraya berkata : “ Ambillah selama – lamanya , siapa pun tidak boleh merampasnya daripada kamu melainkan oleh orang yang zalim . Wahai Othman ! sesungguhnya Allah meminta supaya kamu memegang amanah memelihara rumahnya , maka makanlah daripada apa yang sampai kepada kamu daripada rumah ini dengan baik .”
Peristiwa ini meninggalkan kesan Iman yang mendalam kepada Othman bin Talhah Rha. kerana dia pernah berkasar dan menghalang Nabi saw. memasuki Kaabah sebelumnya. Dia menyangka urusan memegang kunci Kaabah ini tidak mungkin diserahkan kepadanya lagi.[5]
Inilah bukti nyata bahawa Islam adalah agama yang sangat murni dan ianya bukan ciptaan Muhammad saw. tetapi datang dari Allah Jalla wa A’la .

Fathul Makkah membawa Nusrah .
Antara detik peristiwa penting dalam Kegemilangan Fathul Makkah ialah Islamnya seorang tokoh yang begitu kuat menentang Islam sebelumnya. Tidak syak , tokoh itu ialah Abu Sufian ibn al Harb .
Berurutan dengan peristiwa besar ini , dilihat berduyun – duyun manusia menerima Islam dan beriman kepada Allah swt . Firman Allah swt .
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa Engkau Wahai Muhammad berjaya Menguasai negeri Makkah), Dan Engkau melihat manusia masuk Dalam ugama Allah beramai-ramai, Maka Ucapkanlah tasbih Dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, Sesungguhnya Dia amat menerima taubat.
( Surah an Nasr . Ayat 1 – 3 )

Apa yang lebih menarik , kemenangan yang menjadi ujian besar kepada ummat Islam ini di ajar oleh Allah agar menyambut dan meraikan kemenangan tersebut dengan Tasbih dan Istighfar .
( Justeru kemenangan itu adalah kurniaan dari Allah maka bertasbihlah memuji Allah . Namun kemenangan juga adalah ujian , semoga tidak teruja lalu leka dengan kemenangan maka beristighfarlah .)

Nilai Perjuangan Selepas Menang .
Kemenangan yang dicapai oleh Nabi saw dan ummatnya ke atas Kota Makkah telah meletakkan mereka aman dan selesa untuk melaksanakan kerja – kerja agama pada waktu itu berbanding sebelum Pembukaan Kota Makkah .
Justeru itu Allah swt. berfirman :
Dan mengapa kamu tidak membelanjakan harta benda kamu pada jalan Allah? - padahal Allah jualah Yang mewarisi langit dan bumi (serta Segala isinya). tidaklah sama di antara kamu, orang-orang Yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sebelum kemenangan (Nabi Menguasai Makkah). mereka itu lebih besar darjatnya daripada orang-orang Yang membelanjakan hartanya serta turut berperang sesudah itu. dan tiap-tiap satu puak dari keduanya, Allah janjikan (balasan) Yang sebaik-baiknya. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya akan apa Yang kamu kerjakan.
( Surah al Hadiid . Ayat : 10 )


Iktibar dari Fathul Makkah .
Persoalannya , kenapa kita begitu sukar untuk berjuang dan berkorban demi agama Allah swt. sedang cabaran dan halangan yang kita hadapi tidaklah sehebat mereka yang berjuang dan berkorban sebelum daripada kita, khasnya sebelum Fathul Makkah?
Selayaknya kita mengambil seluruh ruang dan peluang mudah yang ada di hadapan kita untuk berbakti kepada agama dan menghampirkan diri kepada Allah swt.

Lebih penting kepada kita ialah meneruskan perjuangan Nabi saw. untuk mengembalikan semula kegemilangan Islam yang pernah dicapai .

Bukankah hari ini kita melihat bagaimana Islam dan ummatnya ditindas dan dipersenda . Musuh berani melakukan demikian lantaran ummat Islam kini tidak lagi mempunyai daya juang yang tinggi untuk memelihara dan menjulang agama mereka sendiri.
Lebih malang , terdapat mereka yang mengaku muslim tetapi menikam Islam dari belakang dan menjadi tali barut musuh yang melemahkan Islam dari dalam .

Sahabat seperjuangan .
Islam perlu menang demi maruah ummah ! namun untuk memenangkan Islam , kita wajib turun ke medan juang ! menyebarkan agama Allah , membasmi kejahilan dan kebathilan , memimpin dan membimbing ummah . Firman Allah swt :
يا يها الذين ءامنوا إن تنصروا الله ينصركم و يثبت أقدامكم
Wahai orang-orang Yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
( Surah Muhammad . Ayat : 7 )


[1] Rujuk Fiqhus Sirah Karangan Syaikhuna Dr. Muhammad Sai’d Ramadhan al Buuti .
[2] Rujuk : Silsilah Ghazawat ar Rasuulil A’zham saw. di bawah Tajuk Fathu Makkah :Karangan Dr. Syauqi Abu Khalil . Muka Surat 69 . Terbitan Darul Fikri Damsyik .
[3] Rujuk : Sohih Muslim . Terbitan Darul Ihya’ Turath al A’rabi Beirut . Jilid ke 3 / Muka surat 1407 . Hadis ke 1780 dengan lafaz hadis :
من دخل دار أبي سفيان فهو آمن و من ألقى السلاح فهو آمن و من أغلق بابه فهو آمن .
[4] Rujuk : Fiqhul Harakah Fi Sirah an Nabawiyyah . Karangan Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang . Jilid ke 3 / Muka surat 65 . Terbitan Harakah . ( Cetakan pertama 2006.)
[5] Rujuk Fiqhul Harakah Fi Sirah an Nabawiyyah . Muka surat 66 - 67

oleh :Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi
Baca Selanjutnya...

Thursday, September 18, 2008

@PERANG BADAR - غَزوَةُ بدر الكبرى- khutbah

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 123 surah Ali Imran yang bermaksud: Sesungguhnya Allah telah membantu kamu dalam peperangan Badar sedangkan kamu ketika itu adalah orang-orang yang lemah. Kerana itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukuriNya.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,

Kedatangan bulan Ramadhan untuk sekian kalinya disambut dengan penuh kesyukuran dengan berpuasa disiang harinya dan mendirikan malamnya dengan solat terawih dan sebagainya disamping membaca al-Quran serta berzikir bagi mendekatkan diri kepada Allah. Kedatangan Ramadhan bersama rahmat Allah dan keampunanNya disamping berlipat gandanya pahala dan juga anugerah lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan. Kedatangan Ramadhan juga mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang berlaku pada bulan ini yang boleh kita sama-sama renungi. Pada bulan ini telah menyaksikan berlakunya pembukaan Kota Mekah yang gemilang oleh Rasulullah s.a.w pada tahun 8 Hijrah, pembebasan Baitul Maqdis dan Masjid Aqsa daripada cengkaman Kerajaan Rom oleh pahlawan Islam Salehudin al-Ayyubi.

Pada 17 Ramadhan sahaja kita dapat menyaksikan beberapa lagi peristiwa yang bersejarah iaitu pada tarikh ini telah turunnya wahyu yang pertama kepada Rasulullah s.a.w yang sewaktu itu berumur 40 tahun melalui malaikat Jibril ketika nabi sedang bermunajat di Gua Hira’. Pada Subuh pagi Jumaat 17 Ramadhan tahun 40 Hijrah pula Sayyidina Ali bin Abi Talib telah ditikam oleh Ibnu Maljam ketika menuju ke masjid dimana tikaman itu telah terkena dibahagian kepala Sayyidina Ali. Tikaman dengan menggunakan senjata yang beracun ini telah menyebabkan Sayyidina Ali menghembus nafas yang terakhir pada malam Ahad 19 Ramadhan tahun 40 Hijrah ketika berumur 63 tahun.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Apa yang mahu ditekan pada hari ini ialah mengenai peristiwa peperangan Badar al-Kubra yang merupakan tapak kemenangan Islam dalam melebarkan penguasaan seterusnya. Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah s.a.w sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang telah menuju ke Badar bertujuan untuk menyekat qafilah perniagaan Quraisy pimpinan Abu Sufian bin Harb yang baru pulang dari Syam menuju ke Mekah. Jumlah tentera Islam tidak begitu ramai kerana ia pada asalnya merupakan suatu operasi dalam menyekat qabilah tersebut dan Rasulullah s.a.w sendiri tidak meramalkan akan berlakunya suatu peperangan terbuka yang besar dan bersejarah. Oleh itu ramai di kalangan sahabat tidak menyertai gerakan ini.
Malangnya kemaraan tentera Islam telah diketahui oleh Abu Sufian melalui pengintip yang telah ditugaskannya lalu dia memerintahkan agar wakil qafilah untuk meminta bantuan daripada Kafir Quraisy di Mekah. Disamping itu Abu Sufian telah melalui jalan lain iaitu melalui pantai sehingga mereka berjaya menyelamatkan diri daripada bertembung dengan tentera Islam. Setelah itu dia menghantar utusan untuk bertemu Abu Jahal bagi menyatakan bahawa mereka telah selamat dan tidak memerlukan bantuan tentera lagi tetapi Abu Jahal dengan sombongnya menyatakan : " Demi Allah! Kita tidak mahu pulang sekarang sehingga kita sampai di Badar. Kita berpesta di sana selama 3 hari, kita sembelih unta. Minum arak dan menyanyi sehingga seluruh bangsa arab mengetahui perhimpunan dan kedatangan kita. Maka kehebatan kita terus menerus dapat dilihat oleh mereka ".

Rasulullah s.a.w ini telah mengetahui tentang qafilah Abu Sufian telah berjaya menyelamatkan diri disamping bala tentera kafir Quraisy yang besar iaitu seramai 1300 orang dan lengkap bersenjata telah tiba di Badar. Oleh itu tentera Islam tidak boleh mengelak lagi daripada bertempur kerana jika mereka berundur bererti kafir Quraisy akan mendapat kemenangan moral dari segi politik dan tentera serta mendapat kedudukan yang kuat di Semenanjung Arab dan memungkinkan mereka bermaharajalela sesuka hati. Walau pun dengan jumlah yang sedikit dan kelengkapan yang tidak mencukupi namun semangat jihad demi mempertahankan Islam terus membara dalam diri tentera Islam.

Sidang Jumaat yang dikasihi,
Selepas itu Rasulullah s.a.w telah membentuk 2 pasukan pengintip dalam meninjau kekuatan musuh. Pada malam itu Allah menurunkan hujan sebagai pertolongan kepada tentera Islam dan bencana kepada tentera musuh. Kemudian tentera Islam telah membina markaz disebuah tempat yang terletaknya mata air paling dekat dengan musuh di mana di situ mereka telah membina kolam disamping menimbus tempat-tempat air yang lain. Dengan cara ini musuh akan keputusan bekalan air.

Kemudian Sa’ad bin Mu’adz telah mencadangkan kepada Rasulullah s.a.w : " Wahai Rasulullah! Saya cadangkan agar dibina tempat perlindungan untuk menjamin keselalamtan Rasulullah. Biar kami bertempur dengan musuh. Jika Allah mengurniakan kemenangan kepada kita dan kita dapat mengatasi musuh maka itulah yang sangat kami kehendaki. Sekiranya Allah mengkehendaki berlaku sebaliknya maka engkau tetap berada dalam keadaan selamat di tempat itu. Engkau boleh terus bersama dengan orang-orang yang masih ada dan mereka juga kasih kepadamu seperti kami juga. Jikalau engkau mahu meneruskan lagi peperangan, mereka sekali-kali tidak akan meninggalkanmu dan terus mempertahankanmu dengan sama-sama berjihad bersamamu". Lalu para sahabat membina tempat untuk Rasulullah s.a.w di satu tempat yang tinggi yang membolehkan baginda memerhati ke arah medan pertempuran. Pada malam Jumaat 17 Ramadhan itu tentera Islam diberikan ketenangan oleh Allah di mana mereka dapat tidur dengan nyenyak kerana keesokan harinya mereka akan bertempur dengan musuh Allah itu.

Pada pagi Jumaat 17 Ramadhan, kedua-dua belah pihak bersedia untuk berperangan di mana Rasulullah s.a.w sendiri telah menyusun sof tentera dengan susunan yang kemas dan rapi. Selepas itu Rasulullah s.a.w telah mengangkat tangan memohon pertolongan Allah. Antara doa baginda ialah yang bermaksud :
" Ya Allah! Wahai Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, kurniakanlah apa yang dijanjikan kepadaku. Ya Allah! Wahai Tuhanku, jika Engkau binasakan pasukan kecil ini maka Engkau tidak akan disembah lagi di bumi selepas ini ".

Pertempuran bermula dengan Rasulullah s.a.w meminta agar Ubaidah bin Harith, Sayyidina Hamzah dan Sayyidina Ali mara untuk menentang tiga pemimpin Quraisy yang telah mencabar tentera Islam. Ketiga-tiga pahlawan Islam telah berjaya membunuh musuh mereka di mana kemenangan ini merupakan kemenangan awal dalam menyemarakkan lagi semangat jihad. Selepas itulah berlakunya pertempuran di mana pada peringkat pertama tentera Islam mengambil tindakan bertahan di mana tentera musuh berjaya dilumpuhkan dengan kehilangan banyak jiwa. Dalam saat yang genting ini Rasulullah terus bermunajat kepada Allah sehingga kain yang disangkut dibahunya terjatuh di mana Sayyidina Abu Bakar yang melihat perkara ini terasa begitu sedih dan berkata kepada Rasulullah : " Cukuplah wahai nabi Allah! ". Allah mengabulkan doa baginda dengan menghantar tentera malaikat.

Pada peringkat kedua tentera Islam mula mengambil tindakan menyerang di mana serangan ini turut dibantu oleh tentera daripada kalangan malaikat di mana antara yang dapat disaksikan ialah bagaimana terputusnya kepala dan tangan musuh tanpa dapat dilihat sesiapa yang memancungnya. Seorang tentera Islam yang sedang mengejar musuh tiba-tiba terdengar pukulan cemeti dari atas dan terdengar suara pahlawan berkuda. Seorang sahabat lagi dapat melihat bagaimana kepala musuh terputus sebelum pedangnya mengenai batang tengkuk musuh itu.

Iblis yang menyerupai dirinya sebagai Suraqah bin Malik merasa gementar apabila melihat penyertaan malaikat. Dia terus lari dan terlanggar Al-Harith bin Hisyam sehingga rebah. Apabila ditanya mengapa dia cuba lari lalu dia menyatakan bahawa dia nampak apa tidak mampu dilihat oleh tentera kafir dan dia begitu takut kepada Allah yang amat pedih siksaanNya. Kemudian dia lari sekuat hatinya dan mencampakkan dirinya ke laut.

Abu Jahal sendiri berjaya dibunuh apabila Mu’adz bin Amru telah merempuh lapisan lembing dan tombak yang mengelilingi Abu Jahal sehingga dia berjaya menetak di tengah betisnya. Tiba-tiba Ikramah anak Abu Jahal menetak ke leher pemuda itu lalu terkena tangannya sehingga hampir putus dan hanya tergantung dikulitnya sahaja. Dia meneruskan serangan terhadap Abu Jahal dengan mengheret tangannya yang terkulai di mana ketika terasa sakit lalu dia memijak tangan itu dengan kakinya supaya putus. Kemudian Mu’adz berjaya menetak Abu Jahal sehingga hampir maut. Abdullah bin Mas’ud yang mencari-cari Abu Jahal telah menjumpainya lalu terus memancung lehernya di mana kepalanya telah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. Baginda menyatakan bahawa inilah dia Firaun umat ini.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Peperangan yang bersejarah ini berakhir dengan kemenangan yang nyata kepada tentera Islam di mana 70 orang musyrikin terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan. Manakala 14 orang tentera Islam telah gugur syahid. Kemenangan ini terus diberitahu kepada penduduk Madinah melalui 2 orang utusan yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w bagi menafikan berita bohong yang disampaikan oleh puak munafik dan yahudi yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Berita kemenangan ini disambut dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan yang menjadi lambang kepada keagungan Islam yang bakal menguasai dunia. Mereka bertakbir dan bertahlil menyambut berita ini dan ada para sahabat yang terkemuka yang tinggal di Madinah telah menuju ke Badar bagi menyampaikan ucapan tahniah kepada Rasulullah s.a.w. Manakala Sayyidina Othman pula mendapat berita gembira ini ketika sedang mengkebumikan jenazah anak Rasulullah s.a.w Ruqayyah yang baru meninggal dunia.

Kemenangan ini telah meletakkan Islam agama yang tertinggi dan umat Islam menjadi bangsa yang kuat bukan lagi sebagai mangsa penindasan para kuffar. Semoga semangat jihad Badar ini akan membakar semangat kita dalam memastikan Islam menjadi agama yang memerintah bukannya agama yang diperintah.
Firman Allah dalam ayat 9 surah al-Anfal yang bermaksud : Ingatlah ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu lalu diperkenankannya bagimu. Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut.

Firman Allah dalam ayat 16 surah as-Sajadah yang bermaksud : Lambung mereka jauh daripada tempat tidurnya sedangkan mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan mengharap dan mereka menafkahkan sebahagian daripada rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka.

Perasaan antara al-Raja’ iaitu terlalu mengharap dan al-Khauf iaitu takut mestilah sentiasa kita sematkan dalam hati agar kita tidak terlalu yakin bahawa segala amalan kita samada solat, puasa, sedekah dan amalan soleh yang lain memang telah diterima oleh Allah sehingga kita tidak berusaha untuk memperelokkannya dan kita juga tidak boleh merasa terlalu takut segala amalan tadi sentiasa ditolak sehingga timbul perasaan malas untuk beribadat sehingga kita terus hanyut dengan maksiat. Kita mesti berada antara keduanya iaitu antara takut dan mengharap agar segala amalan kita tidak dilakukan sambil lewa serta ia dilakukan dengan penuh keyakinan dan ikhlas sambil mengharap ia diterima oleh Allah.

@ saya sedut dalam salah satu artikel yang sedia ada dalam laptop saya. Siapa punya tulisan saya tidak tahu. Saya hanya memanjangkan kalam. tk
Baca Selanjutnya...

Monday, September 15, 2008

AMBIL KEDUA-DUANYA SEKALI - kemaskini

Assalamu'alaikum warahmatuLlah.

Sudah 3 atau 4 hari saya tak jenguk ke blog ini. Ada sikit kesibukan urusan kerja-kerja dakwah di Kuala Lumpur.

Hari ini saya nak mengemaskinikan tajuk dulu "AMBIL KEDUA-DUANYA SEKALI" kerana ada sedikit perubahan dan tokok tambah.

Moga-moga kita semua berada dalam payung rahmat-kasihsayang ALlah. Islam adalah agama yang lengkap. Ianya lengkap kerana datangnya daripada ALlah swt Yang Maha Mencipta.

إنَّ الدِّين عند الله الإسلام
Sesungguhnya agama (cara hidup) yang diredhai di sisi ALLAH ialah Islam. (Aali Imran:19)
Janganlah memilih Islam mengikut selera kita sendiri, rasa sesuai ambik, bila bercanggah dengan hawa nafsu tinggal.

Ambillah Islam kedua-duanya sekali;
1. ‘AQIDAH(عقيدة ) DAN SYARI’AH( شريعة )
إنَّ الدِّين عند الله الإسلام
Sesungguhnya agama (cara hidup) yang diredhai

di sisi ALLAH ialah Islam. (Aali Imran:19)

2. DUNIA DAN AKHIRAT

رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِيْ الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
"Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka“ AL-BAQARAH=201.

Ambil dunia, tinggal akhirat adalah salah. Ambik akhirat, tinggal duniapun salah.
"Dunia ini habuan orang kafir, kita ambil ala kadar sahaja". Ini adalah ucapan yang salah.
Orang Islam hendaklah mencari kesenangan hidup di dunia tanpa mengabaikan akhirat. Kita kena ada rumah, kereta dan lain-lain. Yang pentingnya, semua itu diperolehi secara yang halal dan diredhai ALlah Ta'ala.

3. PUASA DAN KUASA
Kita wajib berPUASA kerana mengikut perintah ALlah dalam surah al-Baqarah ayat 183. Kita juga wajib melaksanakan QISAS kerana mengikut perintah ALlah dalam surah al-Baqarah ayat 178.

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. AL-BAQARAH=183

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan menjalankan hukuman "Qisas" dalam perkara orang-orang yang mati dibunuh…. AL-BAQARAH=178

Puasa boleh dilaksanakan tanpa adanya kerajaan.
Qisas termasuk hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa adanya kerajaan.

Oleh kerana itu umat Islam bukan sahaja wajib berpuasa bahkan wajib juga mendapatkan kuasa untuk membolehkan kita melaksanakan hukum-hukum ALlah.

Apakah tujuan ditubuhkan gerakan Islam, jamaah Islam dan parti Islam? Jom kita lihat dalam Perlembagaan Parti Islam;

Dasar dan pernyataan perjuangan yang jelas ini telahpun termaktub dalam Perlembagaan Parti Islam: Dalam Fasal 5 Tujuan Parti Islam>

- Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan ALLAH.
- Mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

4. RUPA DAN RUH PUASA

Rupa Puasa ialah menahan diri daripada makan minum, berjimak dan perkara yang membatal-kan puasa dari terbit fajar sodiq hingga terbenam matahari.

Ruh Puasa ialah menahan diri daripada segala jenis dosa dan larangan ALlah. Sebaliknya sentiasa mengerjakan yang fardu dan wajib.
Inilah bentuk puasa yang dikehendaki oleh ALlah. Puasa yang akan melahirkan insan yang bertaqwa.

Bila berpuasa jagalah supaya jangan batal. Jagalah daripada BATAL PUASA dan BATAL PAHALA PUASA. Barulah puasa kita diterima oleh ALlah.

Iaitu dengan:
a)Meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan minum (المفطرات الحسية )
b)Meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan pahala puasa bercakap kotor (المفطرات المعنوية )

5. ZAKAT BADAN DAN HARTA
Kita hendaklah mengeluarkan kedua-dua jenis zakat apabila cukup syarat-syaratnya. Iaitu Zakat Badaniah بَدنية – Zakat Fitrah(فطرة) dan Zakat Maaliah مالية – Zakat Harta.


6. SUCI ZAHIR DAN BATIN.
i- at-Taharah az-Zohiriyyah
a-Taharah Qubuth (najis) dengan cara menghilangkan najis pada pakaian, badan dan tempat solat dengan menggunakan air atau alatan bersuci.

b-Taharah Hadath (hadas) dengan cara menghilangkan hadas kecil atau besar dengan wudhuk atau mandi atau bertayammum..

ii- at-Taharah az-Zohiriyyah (الطهارة الباطنية)
a-Menyucikan diri daripada kesan-kesan dosa dan maksiat iaitu dengan cara bertaubat yang sebenar (taubat nasuha)‎‎‎ .
b-Menyucikan hati daripada kekotoran syirik dan sifat tercela seperti kedekut.

7. KORBAN NYAWA DAN HARTA.
Semua kita nakmasuk syurga. Syurga Tuhan bukannya percuma. Kita wajib berjuang-berjihad dengan harta dan nyawa(tenaga) demi menegak dan mempertahankan Islam. Menegakkannya sekiranya hukum ALlah belum didaulatkan, mempertahankannya sekiranya hukum ALlah telah didaulatkan.

Itulah coretan dan nota ringkas buat tatapan kita bersama. Mudah-mudahan menjadi bahan yang baik untuk para ustaz.


Pembaca budiman yang tidak berapa faham maka mohonlah penjelasan daripada para ustaz dan orang-orang yang lebih mengetahui.


Sekian, terima kasih.

Baca Selanjutnya...

Friday, September 12, 2008

ZAKAT??? HARTA SEBAGAI PENYELAMAT - sambung

HIDUP DI DUNIA INI ADALAH UJIAN

ALlah menguji sejauhmana kesabaran dan ketaatan hamba-hambaNYA melalui:
1- Tubuh badan seperti kesihatan.
2- Harta benda seperti wang ringgit.
3- Pangkat kedudukan dan pengaruh.

•Semua nikmat kurniaan ALlah hendaklah digunakan mengikut perintah dan peraturan TUHAN yang menjadi 'tuan' kepada alam ini.

HARTA PENYEBAB NIKMAT atau NIQMAT DI AKHIRAT

a- Harta jadi penyebab NIKMAT yang akan membawa kita mendapat redha ALlah dan syurga ALlah di akhirat nanti sekiranya dimanfaatkan secara yang benar seperti zakat, bantu anak yatim, golongan fakir dan fi sabiliLlah.


b- Harta juga menjadi penyebab mendapat NIQMAT(azab) di akhirat nanti jika digunakan pada jalan yang tidak benar(haq) seperti berjudi, menipu, rasuah dan membazir.

PENGERTIAN ZAKAT

Dari Segi Bahasa
Berkat, Tumbuh, Bersih dan Subur

Dari Segi Istilah
Sejumlah harta tertentu yang diwajibkan oleh ALlah supaya diserahkan kepada orang-orang yang berhak menerimanya dengan syarat-syarat yang tertentu.

Pembahagian Zakat
1- Badaniah(Fitrah) 2-Maaliah(Hartabenda)

HIKMAT ZAKAT

•Tuntutan dua Kalimah Syahadah dan Ibadah(pengabdian kepada ALlah).
•Tanda bersyukur atas nikmat kurniaan ALlah.
•Menghilangkan perasaan kedekut dan tamak daripada hati si kaya.
•Membersihkan harta & jiwa orang yang kaya daripada hak-hak orang miskin, fi sabiliLlah dan lain-lain.
•Menyubur & mengembangkan harta.


SYAITAN JANJIKAN KEMISKINAN, ALLAH MENJANJIKAN KEAMPUNAN

Janji syaitan boleh nampak di mata. Kalau kau berpuasa, apa yang engkau dapat? Kalau engkau bersedekah dan berzakat, apa yang engkau dapat? ............ Pahala? Syurga?. Yang engkau dapat hanyalah lapar, dahaga dan harta engkau susut. Engkau kerja penat-penat kemudian bagi pada orang lain.

TUHAN menjanjikan keampunan dan syurga. Mana syurga? Mana keampunan@maghfirah? ........... Semua itu adalah di akhirat.

Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang ALLAH menjanjikan kamu (dengan) keampunan dari-padaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan ALLAH Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya. AL-BAQARAH = 268

GANJARAN 700 KALI GANDA
Bandingan (derma) orang-orang yang membelanja-kan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tang-kai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. al-Baqarah : 261

ANCAMAN AZAB NERAKA

Maksud Firman Allah Ta’ala at-Taubah : 34 & 35 :
Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): “Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu”.


Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya - menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalongkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. AaLI-IMRAN=180

Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. AL-BAQARAH=195

DOA SELAMAT
اللهم إنى أعوذبك من العجز والكسل وأعوذبك من الجبن والبخل وأعوذبك من غلبة الدين وقهر الرجال


“YA ALLAH AKU BERLINDUNG DENGAN ENGKAU DARIPADA LEMAH DAN MALAS, PENAKUT DAN KEDEKUT, DIBELENGGU HUTANG DAN LELAKI YANG JAHAT”

Sekian, terima kasih.

Baca Selanjutnya...