Memahami Fitnah (Cabaran) Dalam Dakwah & Jamaah (3)
3. Pendokong fitnah (pemecahbelah jamaah) biasanya memiliki sedikit hujjah yang disangka benar, lalu dicampurkan dengan sangkaan-sangkaan yang berlebih-lebihan.
Sesuatu fitnah (isu yang memecahbelah) amatlah sukar untuk berkembang selagimana ia tidak bersandar kepada sedikit kebenaran (hujjah). (Fitnah Aisyah - peristiwa ifk- sebagai contoh adalah berdasarkan fakta Aisyah sampai ke Madinah lewat dari rombongan dan ditemani oleh seorang lelaki yang bukan mahram, maknanya berdua-duaan - pen). Api yang memusnahkan sudah pasti ada permulaannya...
(Haruslah disedari) Fitnah adalah salah lantaran ia membawa kepada kerosakan (pecahbelah), bukan disebabkan (benar atau salah) pendapat yang menjadi dasar kepada fitnah itu. Bahkan menjadi satu kaedah umum bahawa seringkali fitnah yang berlaku adalah bergantung kepada sedikit kebenaran tetapi ahli yang mendokong fitnah ini mencampur adukkan sedikit kebenaran tersebut dengan berbagai-bagai kebatilan (andaian dan prasangka).
Mereka mencampurkan di antara keyakinan yang sedikit dan sangkaan yang banyak, lalu sesuatu perkara itu tidak diletakkan pada tempat yang sepatutnya dan sesuatu sikap (tindakan) tidak ditafsirkan sebagaimana sepatutnya. Cerita-cerita bercampur aduk. Sebab-sebab dan alasan-alasan tidak lagi dikaji. Khususnya ijtihad yang dilakukan oleh para pemimpin adalah berasaskan banyak faktor dan suasana tertentu, ditentukan oleh sebab-sebab, disempadankan oleh beberapa suasana dan rahsia, juga dikelilingi oleh kesukaran dan halangan.
Jika kita kembali kepada fitnah pertama yang berlaku di zaman Uthman r.a., kita akan dapati bahawa beliau tidak pernah mempunyai aib dan kekekurangan, tetapi ahli fitnah telah mencampur adukkan kebatilan (rekaan-rekaan) yang banyak dengam sedikit kebenaran yang ada bersama mereka. (Dalam isu Saidina Uthman, baginda difitnah sebagai mengamalkan kronisme sedangkan beliau memberi jawatan kepada kerabatnya yang memang layak untuk memegang jawatan tersebut-pen).
Pada setiap masalah Uthman r.a. mempunyai sebab dan ijtihadnya yang tersendiri (sila rujuk buku Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w. : Antara Ketulenan Fakta dan Pembohongan Sejarah tulisan Dr Mohd Asri Zainul Abidin-pen). Kita tidaklah mahu mempertahankan Uthman r.a. di sini (dalam kesempatan ini). Tetapi kita mahu membuktikan tentang fenomena ini, bagaimana ahli fitnah sentiasa menambah-nambah dan melebih-lebihkan sesuatu. Selepas itu disebarkan berita-berita dan gosip-gosip yang tidak benar, tetapi kelihatan kepada umum seolah-olah ia adalah kebenaran dan mereka nampak bahawa ketepatan itu bersama ahli perpecahan.
Dalam waktu yang sama, ahli kebenaran sukar untuk menangkis segala serangan dan tuduhan, serta mustahil untuk para pemimpin membincangkan tentangnya secara terang-terangan, mungkin kerana ;
- bimbangkan rahsia jamaah akan terbongkar,
- atau kerana menjaga maklumat-maklumat penting dari terlepas kepada pihak musuh,
- atau bertujuan tidak mahu menyebabkan timbul masalah yang lebih besar,
- atau kerana tidak ingin membangkitkan perasaan tidak senang sesama sendiri,
- ditambah lagi dengan keinginan untuk menjaga kejernihan hati dan jiwa,
- tidak mahu melampaui adab-adab Islam,
- atau terheret sama ke arah perdebatan (yang membuang masa dan bukan keutamaan)
Ke semua faktor-faktor yang dinyatakan di atas akan menyebabkan orang menyangka bahawa kebenaran berada di pihak ahli fitnah dan urusan jamaah sekarang tidak berada di atas landasan kebenaran.
* Petikan (bersama terjemahan bebas) dari buku Fitnah Dalam Kehidupan Pendakwah - Muhammad Ahmad Ar-Rashid m.s. 65-67
No comments:
Post a Comment