Tuesday, August 9, 2011

Pemuda PAS Konsisten Pertahan Aqidah Ummah

1. Setuju benar saya dengan pendekatan yang diambil oleh PAS Pusat untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja sebelum membuat keputusan muktamad dalam menangani isu sensitif seperti ini. Sewajarnya PAS melangkah dengan penuh waspada sebelum mengambil apa jua pendirian setelah dilihat isu ini cuba dimanipulasi oleh pihak tertentu bagi menangguk "political millage" dalam kekeruhan situasi yang dialami.

2. Saya melihat PAS seperti "roundabout" yang sekelilingnya bercapah jalan menuju ke arahnya. Semua pihak sedang memerhati apa langkah PAS berikutnya selepas meletus isu JAIS dan Gereja ini. Lalu timbul pula pelbagai tafsiran, tanggapan dan telahan dibuat kepada PAS. Saya boleh mengenal pasti beberapa kategori untuk saya tegaskan kali ini ekoran tercetusnya isu ini.

Pertama : isu Aqidah Ummat Islam

Kedua : isu JAIS dan tindakannya

Ketiga : isu Gereja dan kedudukannya

Keempat : isu keadaan Ummat Islam secara umumnya.

3. Kami Pemuda PAS bertegas dalam apa jua keadaan, dengan komitmen tenaga, wang ringgit, masa malah darah dan nyawa akan dipersembahkan demi mempertahankan aqidah ummah. Inilah yang telah dilakukan oleh pemuda PAS terdahulu apabila ada dari kalangan mereka terpaksa meringkuk di dalam penjara kerana memperjuangkan aqidah ummah dan menentang sebarang usaha yang cuba untuk merosakkan aqidah, pemikiran dan keperibadian ummat Islam. Insyaallah, ketegasan itu akan diwarisi oleh saya dan seluruh warga pemuda PAS. Pemuda PAS senantiasa diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk menjadi benteng aqidah ummah.

4. Namun kita tidak boleh terburu - buru tanpa usul dalam memutuskan tindakan. Kita perlukan satu bukti kukuh dan meyakinkan untuk mengambil sebarang ketetapan. Saya telah mendengar penjelasan dari Yb. Dato" Dr Hassan Ali selaku AJK PAS Pusat dan juga Exco Kerajaan Negeri Selangor yang mempengerusikan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam. Saya memahami kedudukannya, menghormati pendiriannya, menerima keikhlasannya dan menyokong tindakannya dalam hal ini, demi melihat aqidah Islam dipertahan dan diperjuangkan.

5. Insyaallah, saya juga akan bertemu dengan pihak JAIS bagi meneliti perkara ini dengan lebih dekat. Biarpun JAIS pernah memburu saya dan cuba untuk menangkap saya seketika dulu atas kesalahan saya membaca kitab di sebuah surau di Damansara, biarpun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka itu, namun saya sekali - kali tidak pernah bermusuh dengan institusi itu. Sebagaimana saya pernah ditahan, dipukul dan diherdik oleh PDRM kerana kesalahan saya mennyampai ceramah atas pentas PAS di Parit Sempadan Johor dan menyertai himpunan - himpunan aman, biarpun saya tidak bersetuju dengan tindakan mereka tetapi saya juga tidak pernah memusuhi institusi itu. Saya sedar peranan institusi - institusi tersebut.

6. Justeru itu, saya perlu adil dalam menilai institusi atau jabatan - jabatan kerajaan. Ada masa tindakan mereka salah maka saya membantahnya dan ada masa tindakan mereka betul maka saya menyokongnya. Insyaallah, dalam menangani isu JAIS dan Gereja ini, saya menyokong penuh tindakan PAS Pusat untuk bertemu dengan JAIS dan pihak Gereja. PAS sebagai sebuah Gerakan Islam tidak memusuhi mana - mana pihak atau agama yang tidak memusuhi Islam malah menghormati hak - hak mereka. Justeru itu kita mengecam pencabulan hak walau berlaku ke atas siapa jua sebagaimana kita jua mengecam sekeras - kerasnya usaha untuk merosakkan aqidah, pemikiran dan akhlak ummat Islam.

7. Saya boleh kesan bagaimana isu ini cuba dieksploit oleh pihak tertentu yang mencari laba politik murahan dan mengalih isu sebenar yang menjadi punca kepada polemik ini. Ringkasnya saya tegaskan pendirian umum saya bersama pemuda - pemuda PAS bahawa :

a] kami konsisten berjuang untuk menegak dan memelihara aqidah Islamiyyah dan dalam masa yang sama, kami menghormati hak non muslim sebagaimana yang telah diajar oleh syariat islam itu sendiri.

b] kami menasihati dan memberi peringatan tegas kepada semua pihak agar aqidah ummat Islam, pemikiran dan akhlak mereka jangan diganggu dan dirosakkan dengan pelbagai dakyah, aktiviti dan gerakan samaada bersifat terbuka dalam aktiviti sosial atau sembunyi di sebalik badan - badan bukan kerajaan.

c ] kami memberi peringatan tegas kepada kerajaan yang memerintah samaada kerajaan pusat dan negeri yang diitadbir oleh UMNO dan BN, juga kepada kerajaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat agar mengambil pendekatan yang berkesan untuk membantu rakyat. Jangan kerana miskin, akhirnya mereka menjadi murtad kerana menagih simpati dan bergantung harap kepada pihak yang mengambil kesempatan untuk merosakkan pegangan agamanya.

8. Polisi PAS dan pemudanya jelas dalam perkara seperti ini. Masyarakat usah gundah, resah dan ragu terhadap PAS. jangan buka ruang kepada media untuk menghakis kepercayaan rakyat terhadap kemampuan PAS memperjuangkan Islam dan isu - isu ummah. Insyaallah, Pemuda PAS akan terus bangkit dengan aktiviti dan gerakkerjanya untuk membentengi aqidah ummah sekaligus memerangi segala anasir yang cuba merosakkan agama Islam dan aqidah ummatnya.

9. Kerajaan yang memerintah mesti mengambil langkah yang lebih tegas untuk memastikan tiada aktiviti mungkar dan maksiat yang menghela ke arah rosaknya keperibadian ummat Islam dan lunturnya nilai keimanan mereka. Jaga kebajikan dan keperluan asas rakyat dengan meletakkan agensi - agensi tertentu seperti Pusat Pungutan Zakat dapat berorientasi dengan lebih berkesan. Bukan hanya memungut zakat tetapi cepat dan cekap mengagihkannya kepada asnaf yang berhak menerimanya. Begitulah Baitul Maal , Pusat Kebajikan Masyarakat dan lain - lain agensi yang berkaitan. Jangan ghairah membeli lampu kristal, carpet tebal dan khat hiasan dinding masjid yang mencecah ratusan ribu dan jutaan ringgit tetapi masih ada ummat Islam yang terpaksa menadah tangan di pintu gereja.

10. Tanggungjawab ini mesti dipikul oleh semua orang Islam dan pemimpinnya justeru ia melibatkan maslahah ummat Islam. Ummat Islam mesti bersatu di bawah payung aqidah ini dan memastikan tiada ruang retak dan bocor sebagai laluan dan peluang musuh Islam menyelinap masuk meruntuhkan struktur kekuatan ummat Islam dari dalam. Justeru harga aqidah ummat Islam tidak boleh dibayar dengan nilai sebuah atau lebih kerusi Parlimen mahu pun DUN, demikian juga tidak boleh ditebus dengan nilai jawatan bertaraf menteri atau wakil rakyat sebaliknya nilai aqidah, taruhannya ialah darah dan nyawa.

Nasrudin bin Hassan

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Baca Selanjutnya...

JADUAL HARIAN MUKMIN DI BULAN RAMADHAN

Salam sahabat-sahabat,

Kita tidak mahu puasa yang kita tunaikan hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja.
Kita mahu puasa itu menatijahkan keredhaan ALlah serta mendapat keampunanNYA. Dan itulah janji Nabi saw kalau kita menunaikan puasa dengan SEMPURNA.

حَدِيثُ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ
مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ *
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang melakukan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu * (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Berikut dicadangkan

JADUAL HARIAN MUKMIN DI BULAN RAMADHAN
.
4.00 PAGI
1. Bangun tidur dan baca doa.
2. Berniat untuk melakukan sebanyak mungkin kebaikan pada hari ini.
3. Mandi dan membersihkan diri.
4. Mengambil wudhu' dan memakai pakaian yang suci dan wangian.

4.30 PAGI

1. Solat sunat Taubat (التوبة) 2 rakaat.
-Angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa lalu.
2. Solat sunat Tahajjud 2/4… rakaat.
–Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.

3.Solat sunat Hajat 2 rakaat.
-Ketika sujud terakhir sertakan di dalam hati segala hajat ‘DUNIAWI & UKHRAWI.
4. Solat sunat Witir 3, 5, 7, 9 ATAU 11 rakaat.

5.Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita dan menerima amalan kita.
6.Baca dan tadabburlah al- Quran.
7.Berzikir.

5.15 PAGI
1.Makan sahur
2.Bersiwak atau mengosok gigi dan membersihkan mulut.

5.30 PAGI
1.Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat/berzikir.
2.Solat sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah dan berwirid atau membaca ma’thurat.
3. Baca dan tadabburlah al-Quran.

10.00 PAGI

1.Sembahyang sunat Dhuha 2/4/6/8 rakaat.
2. Bersedekah harta/tenaga.
3. Baca dan tadabburlah al-Quran walaupun beberapa ayat sahaja.

12.45 tengahari

1.Bersiap untuk solat Zohor.
2.Menunggu waktu sembahyang dengan berselawat/berzikir
3.Solat Zohor berjemaah.
4.Laksanakan juga solat sunat Rawatib.
5. Baca dan tadabburlah al-Quran.

4.00 PETANG

1.Bersedia untuk solat Asar.
2.Laksanakan solat sunat Qabliyah.
3.Solat Asar berjemaah.
4.Berwirid atau membaca ma’thurat.
5. Baca dan tadabburlah al-Quran.

5.30 PETANG

1. Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur tanpa berlebih-lebih serta tidak membazir dan boros.
2.Ingatlah walaupun Syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dalam diri kita!

6.30 PETANG

1.Siap sedia anak isteri untuk berbuka puasa.
2.Memperbanyakkan doa sebelum berbuka kerana di waktu itu adalah saat dimustajabkan doa.
3.Berbuka puasa dengan makanan yang manis seperti buah kurma dan jangan makan terlalu banyak. Solat maghrib berjemaah.

8.00 MALAM

1.Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Tarawih
2.Bacalah Al-Quran dengan penuh tadabburتدبر , seeloknya baca dengan bertadaarus (seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatam-kan Al-Quran.

11.00 MALAM

1.Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.
2.“Berniatlah untuk puasa esok hari .
3.Tidur awal agar dapat bangun awal untuk beribadah.
4.Bacalah doa tidur.
5.Ingatlah tidur adalah mati yang sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur.

SEMOGA KITA SEMUA DAPAT MENJALANI IBADAH PUASA TAHUN LEBIH BAIK DARI TAHUN-TAHUN YANG LALU.

Semoga kita mendapat apa yang dijanjikan oleh ALlah sekiranya berpuasa dengan sempurna iaitu KEAMPUNAN DOSA dan BEBAS DARI NERAKA.

Baca Selanjutnya...

Sunday, August 7, 2011

ORANG BERTAQWA.....ambil Islam sebagai ad-Dien الدِّين dan ad-Daulah الدَّولة

Assalamu'alaikum.

Taqwa dengan makna melaksanakan apa yang diperintah dan menjauhi apa yang dilarang.

Orang yang bertaqwa malamnya bagaikan rahib, menangis dan bermunajat pada ALlah di kala malam hari. Siangnya bagaikan kuda tangkas , berjuang dan berjihad menegakkan ajaran ALlah. Rujukan dan teladan kita hanyalah RasuluLlah saw dan para sahabat. Merekalah contoh kita, kalau nak dapat redha ALlah dan masuk syurgaNYA.

Orang Yang Bertaqwa tidak membeza-bezakan perintah ALlah. Samada mengenai ibadat, munakahat, muamalat, undang-undang, politik, hiburan, ekonomi dan lain-lain.

Begitulah kita umat Islam wajib melaksanakan hukum-hakam dan undang-undang Allah yang ada di dalam al-Quran. Bukan sekadar baca dan khatam al-Quran di bulan Ramadhan tetapi hukum dan undang-undangnya diketepikan. Itu maknanya ORang Pekak Yang Khatam al-Quran(slot lepas).

Bagaimana kita hendak melaksanakan undang-undang tersebut kalau umat Islam sendiri khususnya orang Melayu di Malaysia hanya menerima Islam dari segi ad-Dien الدِّين (agama) sahaja KEMUDIAN menolak Islam dari segi ad-Daulah الدَّولة(negara).

Agama yang difahaminya itupun dalam skop yang sempit. Agama dalam bentuk ibadat, nikah kawin dan soal kematian. Soal-soal lain seperti ekonomi, undang-undang tidak dipedulikan. Inilah natijah daripada memisahkan di antara agama dan negara, agama dan politik, TUHAN dan kerajaan, agama dan kehidupan. Agama(ad-Dien) dan negara(ad-Daulah) dipisahkan.

Bercakap mengenai ad-Daulah ertinya bercakap soal kerajaan dan kekuasaan. Kalau tak ada kerajaan macamana nak melaksanakan hukum ALlah. Kalau nak kerajaan mesti ada kuasa, nak dapat kuasa mesti menang pilihanraya(Malaysia Negara Demokrasi Raja Berparlimen).
Memisahkan di antara agama dan politik(negara) adalah jalan pintas menjadi MURTAD.

Wajib menjadi cita-cita umat Islam untuk menegakkan sebuah Negara Islam di Malaysia dan berjuang/bekerja ke arah itu. Negara yang akan melaksanakan hukum-hakam dan undang-undang Allah. Negara sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad saw dan para Khulafa' ar-Rasyidin di Madinah dan Makkah al-Mukarramah.

JANGAN LUPA bahawa di antara amanah yang paling besar ialah amanah untuk ‘menegakkan agama dan memerintah dunia ini dengan agama itu-

إقَامَةُ الدِّينِ وَسِيَاسَةُ الدُّنيَا بِه
# Ini adalah amanah ke-pimpinan ummah dan negara.

Baca Selanjutnya...

Thursday, August 4, 2011

Ramadhan bukan sekadar ruhiyah tapi bulan siyasah(politik)


Umat Islam seluruh dunia termasuk di Malaysia menyambut kedatangan bulan yang paling mulia dalam kalendar Islam, Ramadan al-Mubarak dengan penuh kegembiraan dan keinsafan.

Ia bukan sekadar bulan diwajibkan berpuasa tetapi lebih penting pada bulan ini hukum dan perlembagaan tertinggi buat umat manusia, al-Quran, diturunkan Allah SWT.

"Bulan Ramadhan, yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah)." (maksud al Baqarah: 185)

Melalui al-Quran, maka Allah SWT menyelesaikan segala kemelut dan permasalahan manusia khasnya bagi mereka yang mahu menjunjung dan melaksanakannya.
Oleh itu bulan Ramadan ini bukan sekadar bulan ruhiyah (spiritual) bagi mereka yang tekun menghayatinya tetapi ia sebenarnya bulan siyasiyah (politik) kerana di bulan inilah hukum dan peraturan lengkap bagi manusia diperturunkan Allah SWT kepada Rasul-Nya SAW.

Di samping kita mengejar manfaat dan kelebihan Ramadan sebagai bulan ruhiyah kita juga wajar menghayatinya sebagai bulan siyasiah bagi mengembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

Di bulan penuh barakah ini jangan sekali-kali kita lupa nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.

Titipkanlah doa di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kemenangan dan kejayaan kepada mereka setelah sekian lama hidup dan menderita dalam kesengsaraan, darah dan air mata.

Semoga Ramadan tahun ini mampu membangkitkan kesedaran kita untuk mempertingkatkan amal ibadat menuju keredaan Allah di samping menyedarkan kita bahawa hanya Islam penyelamat kita di dunia dan di akhirat, lantas marilah kita sama-sama kembali kepadanya, InsyAAllah dengan bantuan Allah SWT, PAS Perak akan memimpin rakyat Perak kearah keredhaan Allah SWT

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Ramadan Kareem” kepada semua umat Islam, mudah-mudahan kekuatan dan semangat yang terbentuk sepanjang Ramadan ini akan terus memperteguhkan iltizam kita untuk sama-sama membela, mempertahan dan memperjuangkan Islam hingga ke akhir hayat.

Ustaz Abu Bakar Hussain
(Pesuruhjaya PAS Perak)
Baca Selanjutnya...