Monday, April 20, 2009

HAK PERSAHABATAN DAN PERSAUDARAAN .....adakah kita telah laksanakannya SIRI 3

Sahabat-sahabat seperjuangan,

Kita boleh memilih sesiapa sahaja di kalangan ahli untuk menjadi pemimpin. Kita sendiri pun boleh 'menawarkan' diri untuk jadi calon pemimpin. Kita boleh berkempen. Kita boleh menyebut kebaikan orang yang kita nak jadikan pemimpin. Yang tak bolehnya melobi, mengampu, memfitnah dan memburukkan calon lain. So jagalah lidah dan ucapan kita.

(4) HAK MEMELIHARA LIDAH DALAM UCAPAN
Persaudaraan itu bukanlah semata-mata dengan menutup mulut dari menyebut-nyebut segala yang dibenci oleh saudara itu, malah menyebut-nyebut segala yang disukai dan digemarinya juga, bahkan yang akhir ini lebih utama lagi. Sebab jika memadai dengan berdiam diri saja, maka lebih baiklah kita bersahabat dengan ahli-ahli kubur.

Berkata Rasulullah s.a.w dalam sabdanya.
“Kiranya seseorang kamu mencintai saudaranya, maka hendaklah diberitahukan kepadanya.

Sebabnya Rasulullah s.a.w. menyuruh kita memberitahukannya kerana hal itu akan melahirkan perasaan kasih sayang yang lebih. Jika kawan anda mengetahui, bahwa anda mencintainya, tentulah dia akan mencintai anda sama, bahkan barangkali lebih dari itu.

Di antaranya hendaklah anda:
1.Memanggilnya dengan nama-nama yang amat disukai olehnya sama ada pada masa dia berada di hadapan anda ataupun tidak.
2.Memuji perilakunya yang baik kepada orang-orang yang memang dia senang kalau diceritakan tentang perilakunya. Itu juga akan membawa sebab rasa gembiranya kepada anda.

Ataupun anda memuji anak-anaknya, isterinya, usahanya dan perbuatannya yang baik, malah patut juga anda memuji akal pemikirannya, budi pekertinya dan lain-lain.

Tetapi itu semua tidak boleh dilakukan secara berpura-pura, atau secara berlebihan-lebihan, hanya yang dibolehkan ialah mengindahkan mana-mana berita yang patut diindahkan saja.

Lebih digalakkan lagi, ialah supaya anda menyampaikan pujian orang jika memang ada yang memujinya, kemudian anda tunjukkan rasa gembira atas pujian itu, kerana menyembunyikan berita itu boleh dikira semacam dengki dan iri hati.

3. Hendaklah anda berterima kasih kepada kawan anda, bila dia membuat sesuatu perkara baik terhadap anda.

Lebih berkesan lagi dalam menarik rasa cinta kawan anda, ialah membela dirinya pada masa dia tidak hadir. - bersambung
Baca Selanjutnya...

Friday, April 17, 2009

HAK PERSAHABATAN DAN PERSAUDARAAN .....adakah kita telah laksanakannya SIRI 2

Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Tilik-tiliklah diri masing-masing adakah kita telah menunaikan HAK PERSAHABATAN? Jangan sampai ALLah murka kepada kita kerana mengabaikan hak persahabatan dan persaudaraan. Lebih-lebih lagi sewaktu kita sedang memilih kepimpinan di setiap peringkat.

2. Hak Memberikan Bantuan Jiwa dan Raga.
-Menunaikan hajat dan keperluan sahabat termasuk membantu anak isterinya.
-Tingkat yang paling rendah ialah memenuhi hajat dan keperluan sahabat, bila dia meminta, sedangkan sahabat itu mampu membantunya. Bila memberi bantuan dengan muka manis dan lahirkan rasa kegembiraan kerana sahabat itu sanggup menerima bantuannya.

Para Salaf mengambil berat terhadap keluarga sahabat yang telah mati; dengan memenuhi keperluan dan menziarah mereka, sehinggakan dirasakan semuanya ada kecuali batang-tubuh ayah mereka. Kadang-kadang mereka tidak tahu siapa yang memberikan bantuan.
-Ada waktu perlu diselidiki supaya kita tiada terlalai dengan keperluan sahabat atau ahli keluarganya.
-Semua ini akan dapat membina kasih sayang dalam persahabatan.

3- Hak Memelihara Lidah dan Hati.
-Diam daripada menyebut keburukannya samada di depan atau belakangnya. Termasuklah menjaga rahsianya serta menjaga maruah anak isteri dan kawannya.
-Bercakap dengan menyebut pujian orang padanya. Bercakap mengukuhkan kebaikannya.
-Bercakap menegur perbuatannya yang menyalahi suruhan agama.
-Hati yang baik sangka dan tidak hasad kepadanya.

Pesanan Nabi saw
من ستر عورة أخيه ستره الله تعالى فى الدنيا والأخرة
Barangsiapa menutup rahsia saudaranya, niscaya ALLAH akan menutup rahsianya di dunia dan di akhirat.

Al-Abbas, bapa saudara Nabi s.a.w. pernah memesan kepada anaknya Abdullah, katanya: Aku lihat orang ini (maksudnya) saiyidina umar Ibnul-Khattab r.a.) sering mengkedepankan engkau dari banyak orang-orang yang tua, maka peliharalah nasihatku yang lima ini:
(1) Janganlah engkau bocorkan rahsianya sama sekali
(2) Janganlah engkau mencaci orang lain dihadapannya
(3) Janganlah engkau membiasakan bohong kepadanya
(4) Janganlah engkau melanggar perintahnya
(5) Janganlah sampai ia melihat sesuatu pengkhianatan berlaku daripadamu.
-bersambung
Baca Selanjutnya...

HAK PERSAHABATAN DAN PERSAUDARAAN .....adakah kita telah laksanakannya

Salam teman-teman,

'sahabat saya tu' atau 'saudara saya tu' mudah disebut tetapi tak mudah untuk melaksanakannya.

Adakah kita hanya setia dan bersahabat di kala aman damai. Bila tiba waktu susah, sahabat dilupakan. Bila tiba waktu mencari kedudukan/jawatan hilang adab bersahabat dan bersaudara.

Benarlah pesanan Nabi saw bahawa tidak semua orang boleh dijadikan sahabat.
Tidak semua manusia patut dijadikan sahabat. Berpesan RasuluLlah saw,
الْمَرء على دين خَليله فلينظرْ أحدكُم مَن يُخَالِل
“Seseorang itu mengikut agama(perjalanan) temannya, maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapa yang hendak dijadikan teman”.

Sifat Orang Yang Hendak Dijadikan Sahabat
i- Waras fikiran – jangan cari yang kurang akalnya.
ii- Jiwa mulia – jangan pilih yang pemarah, kedekut, penakut dan menurut runtunan nafsu.
iii- Bukan orang fasiq kerana tidak mengingatkan kita kepada Allah dan memadamkan rasa benci pada maksiat.
iv- Bukan penagih/pencinta keduniaan.

HAK PERSAUDARAAN DAN PERSAHABATAN
1.Hak di bidang harta.
2.Hak memberikan bantuan jiwa dan raga.
3.Hak memelihara lidah dan hati.
4.Hak memelihara ucapan.
5.Hak memberi kemaafan.
6.Hak mendoakan.
7.Hak menepati janji dan ikhlas diri.
8.Hak memberi kemudahan.

1. Hak di bidang harta.
مَثَلُ الأخوَين مِثْلُ اليدَين تَغسِلُ إحداهما الأخرى
“Perumpamaan kedua saudara itu adalah seperti dua tangan; yang satu membasuh-bersih yang lain”- al-Hadith
…. dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya” as-Syura=36

Tiga Peringkat Bantuan Harta
1.Menganggap sahabatnya seperti seorang khadam, apabila ada lebih harta baru dibagi atau diberi. Inilah tingkat paling rendah.
2.Menganggapnya sebagai seorang saudaramu, redha berkongsi harta.
3.Mendahulukan hajat dan keperluannya dahulu. Inilah tingkat yang paling tinggi.
- bersambung
Baca Selanjutnya...

Thursday, April 16, 2009

UGUTAN BUNUH di Terengganu - KESAN BURUK DARIPADA "politik wang" = JAKIM

Muslimin muslimat serta rakan-rakan sekalian,
Apa jenis parti politik sehingga nak berbunuhan, ugut sana, ugut sini(malu nak mengaku orang Terengganu -uye). Tak sudah-sudah rasuah sana, rasuah sini. Penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan terus berlaku. Pemimpin saling bertelagah. Semua ini kerana "POLITIK WANG" atau "RASUAH POLITIK"......lihat khutbah Jumaat terbitan JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) pada 27 Mac 2009.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini bukan saja mimbar ini tetapi ramai pihak yang waras melahirkan rasa bimbang mengenai perkembangan politik wang atau rasuah politik di negara ini. Berdasarkan pemerhatian mimbar, penggunaan wang untuk mendapatkan pengaruh kepimpinan dan politik telah menjadi budaya segelintir daripada pemimpin masyarakat.
Dalam isu ini, mereka yang kaya raya dan bernafsu besar dalam politik tanpa merasa malu melantik proksi atau agen tertentu untuk menjalankan kempen membeli undi, menawarkan ganjaran, kemudahan, dan sebagainya secara tidak sah dalam usaha mendapatkan penyokong dan kuasa.

Berdasarkan kempen sengit dalam tempoh bertahun-tahun menggunakan politik wang ini, sebenarnya telah membuktikan sikap tidak amanah dan menimbulkan perpecahan di kalangan pemimpin. Apabila pemimpin asyik bertelagah merebut jawatan hingga lalai dan lupa tanggungjawab membela nasib rakyat menyebabkan rakyat merasa bosan. Keadaan bosan yang berterusan ini mampu mengugat sistem bernegara kerana rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pemimpin.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam sejarah silam tamadun Islam, dapat disaksikan bagaimana pemimpin yang terlibat dengan politik wang, tamak kuasa, mengutamakan puak dan keluarga, dan gila wanita adalah penyebab utama tumbangnya kerajaan Umaiyah, Abbasiah dan Uthmaniah. Persoalan besar timbul ialah jika pemimpin sendiri berpecah belah dan terlibat pula dengan amalan-amalan buruk, maka bagaimana dia mahu menyuruh rakyat bersatu padu dan berakhlak mulia?.

Rasulullah s.a.w menegah umat Islam daripada meminta-minta untuk menjadi pemimpin dalam urusan pentadbiran negara. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa satu ketika Abdul Rahman bin Samurah telah ditegur oleh Rasulullah s.a.w:

Mafhumnya: “Wahai Abdul Rahman bin Samurah, janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan, tetapi jika yang diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan.

Hadith ini menjelaskan bahawa dalam Islam, jawatan pemimpin adalah satu tanggungjawab yang berat. Ia bukan suatu status yang direbut bagi mendapatkan sanjungan dan keistimewaan tertentu. Oleh sebab itu, Islam menegaskan bahawa jawatan kepimpinan tidak boleh ditagih-tagih mengikut desakan naluri dan nafsu semata-mata. Bahkan, dalam proses pemilihan pemimpin atau pentadbir hendaklah dilakukan dengan adil yang berasaskan kepada kelayakan, karisma dan ciri kepimpinan seperti bertaqwa, berakhlak tinggi, bertanggungjawab, sabar, boleh merancang dan bijak melaksanakan tugas.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Allah s.w.t telah mengingatkan bahawa kepimpinan yang paling berkesan ialah kepimpinan melaui teladan sebagaimana yang dicontohi oleh Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam surah at-Taubat ayat 128:
Maksudnya: “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri, yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahanmu, yang sangat inginkan kebaikan bagimu, (dan) amat belas lagi penyayang kepada orang yang beriman.”

Ayat tadi mengajar kita bahawa pemimpin yang bersikap belas kasihan, penyayang, prihatin terhadap kebajikan rakyat adalah bukti ketinggian iman mereka. Justeru, mimbar ingin mengingatkan bahawa memegang kuasa melalui kemenangan politik wang hanya memberi keseronokan sementara waktu untuk diri sendiri dan beberapa kerat kuncu-kuncu mereka, tetapi memberi kesan penderitaan jangka panjang kepada negara dan rakyat jelata.

Kita perlu insaf dan sedar bahawa budaya politik wang akan mewariskan pemimpin yang tidak berkualiti, pemimpin korup, tidak berakhlak, dan tidak berintegriti. Selain itu, amalan politik wang akan menutup proses demokrasi secara sihat kerana orang yang berduit sahaja berpeluang menjadi pemimpin besar, manakala mereka yang tidak berduit terhalang walaupun mempunyai karisma dan benar-benar layak menjadi pemimpin.

Keadaan ini jika terjadi merupakan satu kerugian besar kepada agama, negara dan rakyat jelata. Isu-isu politik wang di kalangan pemimpin ini akan menyukarkan usaha untuk menyatu padukan umat Islam di negara ini. Kita perlu ingat bahawa kelemahan kepimpinan Islam menyebabkan pihak tertentu mengambil peluang memperhebatkan tekanan yang mencabar institusi Raja sebagai ketua agama Islam, mempertikai Islam dalam perlembagaan, dan pelaksanaan undang-undang Islam di negara ini.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Dalam prinsip ketiga pendekatan Islam Hadhari ada menetapkan bahawa sesebuah kerajaan perlu berlaku adil dan beramanah. Untuk mencapai matlamat ini maka amalan buruk dalam berpolitik seperti politik wang, menyalahguna kuasa, rasuah, dan sebagainya hendaklah ditolak dan dihapuskan. Sewajarnya mereka yang mengamalkan budaya ini tidak diberi ruang sebagai pemimpin.

Sebagai kesimpulan, mimbar ingin menasihatkan kepada pemimpin yang diberi kepercayaan supaya memikul amanah dan tanggungjawab dengan meletakkan hala tuju negara selari dengan al-Qur'an dan as-Sunnah serta memastikan rakyat hidup bersatu padu. Waspadalah dengan penyokong yang cuba merosakkan kita kerana pemimpin yang berwibawa tidak mudah terpengaruh dengan tekanan penyokong yang rosak. tk.. uye 019-9188181= yusofembong@yahoo.com
Baca Selanjutnya...