Isu rakyat Syria mesti diselesaikan melalui satu pungutan suara rakyat secara adil dan saksama. Sebuah pilihanraya yang diselenggara oleh Pertubuhan Negara-Negara Islam mesti diadakan segera.

PAS bertegas menentang sebarang campurtangan kuasa asing di Syria, samada ianya ditaja oleh kuasa barat atau timur.

PAS melahirkan dukacita di atas tindakan badan dunia yang terus membiarkan kezaliman berlanjutan, sehingga mengorbankan ribuan nyawa rakyat Syria. Tindakan ini nyata sangat jauh bezanya dengan tindakan segera badan antarabangsa di Libya, Iraq dan Afghanistan. 

Sikap double standard ini akan hanya merendahkan martabat dan kedudukan badan dunia di mata umat Islam khasnya dan mereka yang cintakan keadilan dan kesaksamaan.

PAS juga ingin menegaskan bahawa pendirian rasmi parti berhubung isu keganasan Bashar di Syria sangat jelas. Kita menentang kezaliman pimpinan Syria dan beliau mesti turun dari tampuk pemerintahan.

Kezaliman adalah kegelapan di hari akhirat. Dan kita tidak sesekali menyokong kezaliman ke atas rakyat Syria. Bahkan kezaliman pemimpin ke atas rakyat sendiri adalah malapetaka besar yang sering berlaku di dunia Islam semata-mata dalam usaha mempertahankan kekuasaan yang ada.

Pendirian berbeza daripada mana-mana ahli PAS adalah pandangan peribadi mereka.
 

Ustaz Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man
Ketua Penerangan PAS Pusat