Wednesday, September 28, 2011

ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN MALAYSIA - ada ke jaminan ? . Sedutan Titah Diraja - KETIGA

Berdasarkan konsepsi baru ini, Raja hanya bertaraf wakil atau khalifah di bumi dengan sifat-sifat kemanusiaan. Kuasa Raja disandarkan dengan hukum kerana Raja juga tidak boleh mengingkari tuntutan syarak. Kemuliaan Raja dinilai dari sudut amar makruf Baginda menyempurnakan tanggung jawab, lantas menginsafkan Raja bahawa kuasa pemerintahan adalah satu amanah ILAHI yang sama sekali tidak boleh disalahgunakan. Raja wajib menjunjung amanah pemerintahan dengan melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat mengikut hukum yang telah ditetapkan oleh ALLAH Subhanahu Wata’ala16

11. Islam dan Melayu adalah tunggak utama Tanah Melayu. Undang-undang Islam diguna pakai untuk mentadbir negeri-negeri di Tanah Melayu. Negeri Melaka telah mengkanunkan Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka berdasarkan Hukum Syarak17. Di negeri Perak, Undang-Undang 99 juga digubal berdasarkan prinsip Hukum Syarak; Terengganu, Kelantan dan Kedah menyerap pengaruh Islam dalam pentadbiran masing-masing18.


12. Selepas kejatuhan Melaka, kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu meneruskan tradisi pemerintahan beraja yang kekal berpandukan undang-undang Islam sehingga munculnya penglibatan Inggeris dalam pentadbiran negerinegeri Melayu. Inggeris telah memisahkan urusan pentadbiran negeri dengan agama Islam. Proses peralihan kepada sistem pentadbiran perundangan Inggeris telah dilakukan dari negeri ke negeri. Hal ehwal Islam ditadbirkan secara
berasingan dengan penubuhan institusi-institusi khusus untuk urusan Agama Islam dan adat istiadat Melayu.


13. Di negeri Perak, pentadbiran Islam dipertanggungjawabkan kepada beberapa Orang Besar Negeri yang dilantik oleh Sultan19. Salah seorang Orang Besar Delapan, Imam Paduka Tuan dilantik memegang jawatan Kadi20. Di pertengahan abad kesembilan belas, terdapat gelaran-gelaran Imam Seri Raja Kota Lama Kanan, Imam Siraja Pakih Kota Lama Kiri, Imam Malaikat Amin Ketior, Imam Siraja Diraja Geronggong, Imam Seri Jidin Sayong, Imam Siraja Mahkota Bota, Imam SyakuI-Islam Pasir Salak dan Imam Siraja Dalam Istana Sultan21. Dalam abad kedua puluh, Majlis Orang Besar-Orang Besar dan ulama ditubuhkan untuk mengambil tanggung jawab mengurus tadbir hal ehwal Islam di Perak22.


14. Amat ketara, urus tadbir berpaksikan Islam yang merangkumi aspek perundangan, toleransi, ekonomi dan sosial ketika itu, telah diterima sebagai cara hidup masyarakat berbilang kaum dan berbilang agama di bumi ini23. Pengiktirafan tersebut selanjutnya diterjemahkan melalui kes Raman – lawan Laton, apabila Mahkamah Rayuan bagi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu memutuskan bahawa Islam adalah “lex loci of the land”24. Begitu ketara Inggeris mengakui hakikat
bahawa Islam merupakan satu-satunya agama yang diiktiraf sebagai agama bagi negeri-negeri Tanah Melayu, berkedudukan tertinggi berbanding agama-agama lain.


15. Berasaskan hakikat tersebut, Hakim Abdul Hamid yang menganggotai Suruhanjaya Reid telah bersetuju dengan memorandum yang dikemukakan oleh Parti Perikatan supaya Islam dijadikan agama bagi Persekutuan Tanah Melayu. Parti Perikatan adalah gabungan parti-parti politik yang mewakili masyarakat Melayu, masyarakat Cina dan masyarakat India, tiga kaum utama di kalangan penduduk Tanah Melayu. Dengan pertimbangan bahawa sudah terdapat 15 buah
negara di dunia ketika itu meletakkan agama dalam Perlembagaan mereka, Hakim Abdul Hamid mengakui bahawa Islam memiliki kedudukan istimewa di Negeri-Negeri Tanah Melayu dengan menyatakan:
Petikan:
“ If in these countries a religion has been declared to be the religion of the State and that declaration has not been found to have caused hardships to anybody, no harm will ensure if such a declaration is included in the Constitution of Malaya. In fact in all the Constitutions of Malayan States a provision of this type already exists. All that is required is to transplant it from the State Constitution and to embed it in in the Federal”25


16. Tradisi pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan- kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), meletakkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di Negeri-Negeri. Islam adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.


16 T. Arnold, The Caliphate, (Karachi: Oxford University Press, 1965), 50; S,N.H. Naqvi, Ethicsand Economy: An Islamic Approach,
(Leicester: Islamic Foundation, 1981) 45-47.
17 Mahamad Naser bin Desa, “Kekebalan Islam Dalam Perlembagaan Persekutuan”, Wacana Ilmiah, ILIM 2009, 1
18 Ibid.
19 Abdullah Alwi Hassan, opcit, 19.
20 R.J. Wilkinson, Notes on Perak, History: Papers on Malay Subjects, History Pt. II, (Kuala Lumpur: F.M.S. Govt. Press, 1924) 69-
71; E. Sadka, “The Journal of Sir Hugh Low, Perak. 1887”, JMBRAS, Vol. XXVII, Pt. 4, No. 168 (1954), 107-108. dlm Abdullah
Alwi Hassan., 19.
21 R.J. Wilkinson, opcit, 72, dalam Abdullah Alwi Hassan, 19.
22 Perak State Council Minutes, 1877-82, dicetak di dalam R.J. Wilkinson, Papers on Malay Subjects, Ser 1, History Pts 3 and 4,
(1907-1909), Passim; Perak Annual Report, 1932, 3. dalam Abdullah Alwi Hassan, 20.
23 Ibid.
24 (1927) 6, FMSLR 128, dipetik dari Mahamad Naser bin Desa.
25 Ahmad Ibrahim: The Position of Islam in The constitution of Malaysia, 213



17. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang diperlengkap dan diperkukuh dengan beberapa peruntukan lain26, telah memartabatkan Agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan; dan hakikat akan penerusan kedaulatan Raja-Raja Melayu di Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya dikenali sebagai Malaysia. Adalah penting untuk Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan secara menyeluruh untuk memastikan kesemua peruntukan yang terkandung di dalamnya adalah berikat dan berkuasa.27


18. Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah. Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.


19. Dalam kes Dato’ Menteri Othman bin Baginda & Anor melawan Dato Ombi Syed Alwi bin Syed Idrus28,
Ketua Hakim Negara ketika itu, Yang Amat Arif Raja Azlan Shah memutuskan antara lain:
Petikan:
“ In interpreting a constitution two points must be borne in mind. First, judicial precedent plays a lesser part than is normal in matters of ordinary statutory interpretation. Secondly, a constitution, being a living piece of legislation, its provision must be construed broadly and not in a pedantic way – with less rigidity and more generosity than other Acts”
(see Minister of Home Affairs v Fisher (1979) 3 All ER 21)

Yang Amat Arif Raja Azlan Shah seterusnya menyatakan:
Petikan:
“It is in the light of this kind of ambulatory approach that we must construe our Constitution. The Federal Constitution was enacted as a result of negotiations and discussions between the British Government, the Malay Rulers and the Alliance Party relating to the terms on which independence should be granted. One of its main features is the enumeration and entrenchment of certain rights and freedoms. Embodied in these rights are the guarantee provisions of Article 71 and the first point to note is that, that right does not claim to be new. It already exists long before Merdeka, and the purpose of the entrenchment is to protect it against encroachment.”


20. Segala yang terpahat di dalam Perlembagaan adalah dalam semangat menjunjung Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang secara tegas menetapkan antaranya, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Tanah Simpanan Melayu diperuntuk dan dipertahankan, kedudukan istimewa Orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain dilindungi, kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara kekal terjamin. Perkaraperkara ini tidak boleh dipinda di dalam Perlembagaan semata-mata melalui suara majoriti dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat atau ahli-ahli Dewan Negara tanpa perkenan Raja-Raja. Perkara-perkara ini tidak boleh sewenang-wenangnya dijadikan modal politik untuk kepentingan politik. Perkara-perkara tersebut adalah prinsip asas, prinsip utama yang tidak boleh sama sekali diperdagangkan.


21. Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan29. Yang Arif Hakim Mohd. Noor Abdullah dalam penghakiman kes Meor Atiqulrahman Ishak dan yang lain – lawan – Fatimah Sihi dan yang lain,30 telah memberikan tafsiran berikut:
Petikan:
“... Peruntukan ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai’ bermakna Islam adalah agama utama di antara agama-agama lain yang dianuti di negara ini. Islam bukan setaraf dengan agama lain, bukan duduk berganding bahu atau berdidiri sama tegak. Ia duduk di atas, ia berjalan dahulu, terletak di tempat medan dan suaranya lantang kedengaran. Ini bermakna Kerajaan bertanggung jawab memelihara, menyemarak dan mengembangkan Islam seperti mana yang termampu dilakukan oleh Kerajaan sekarang, dan agama-agama lain hendaklah diatursuai dan dihalatuju ke arah yang menjamin supaya ia diamalkan dengan aman damai dan tidak menggugat kedudukan utama agama Islam....”


22. Setelah lima puluh empat tahun tanah air mencapai kemerdekaan, setelah tiga belas Raja Melayu secara bergilir bertakhta di singgah sana Ketua Utama Negara, setelah dua belas kali pilihan raya umum dilangsungkan, dan setelah enam Perdana Menteri memimpin Kerajaan Persekutuan, pentafsiran Perlembagaan dengan perspektif yang menghormati sejarah penubuhan Malaysia, amatlah penting diperingatkan semula, malah wajib terus diperingatkan -BERSAMBUNG di
http://www.islam.gov.my/sites/default/files/bahagian/bpict/titah_diraja.pdf

26 Perkara 11(4), 12 (2), 121 (1A), Senarai 2-Senarai Negeri – Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.
27 Abdul Kadir bin Sulaiman, Ucaptama: “Kedudukan Islam Sebagai Agama Bagi Persekutuan Dalam Perlembagaan Persekutuan”, 4.
28 (1981) 1 MLJ 29
29 Mahamad Naser bin Disa, opcit, 6.
30 (2000) 1 CLJ 393

1 comments:

  1. assalamualaikum.wm.wbr. ZM DIP.EDU. UIA 1988/89

    ReplyDelete